Isnin, 18 September 2017

Kelebihan Belajar Secara Berkumpulan

Soalan: Belajar secara berkumpulan merupakan satu daripada langkah untuk kita membuat persediaan menghadapi peperiksaan. Tulis sebuah karangan tentang kelebihan belajar secara berkumpulan.

Karangan: Kelebihan Belajar secara berkumpulan

Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kita boleh membaca buku, membuat banyak latihan, dan belajar secara berkumpulan. Belajar secara berkumpulan membawa maksud kita belajar bersama-sama rakan-rakan kita.
    Banyak kelebihan belajar secara berkumpulan. Antara kelebihan belajar secara berkumpulan ialah kita dapat menambah pengetahuan. Hal ini demikian kerana apabila kita belajar secara berkumpulan, kita dapat mengadakan perbincangan. Semasa perbincangan, pelbagai idea dan pendapat akan terhasil. Pendapat-pendapat tersebut merupakan pengetahuan baharu untuk kita.
   Selain itu, belajar dalam kumpulan juga memudahkan kita memahami sesuatu tajuk pelajaran. Sebagai contohnya sekiranya kita tidak dapat memahami sesuatu topik , rakan kita akan dapat menerangkan kepada kita secara lebih mendalam. Hal ini sudah tentu akan dapat membantu kita untuk menghadapi peperiksaan.
    Di samping itu, apabila belajar secara berkumpulan, kita dapat mengeratkan hubungan persahabatan dengan rakan-rakan yang lain. Semasa belajar sudah pasti kita akan saling bertanya khabar, kenal-mengenali dan bergurau senda. Hal ini sudah pasti akan  mewujudkan hubungan yang lebih akrab antara satu sama lain.
    Belajar secara berkumpulan dapat juga membantu kita mengatasi rasa bosan ketika belajar. Semasa belajar bersama-sama,  kita berpeluang mengadakan perbincangan, mengeluarkan pendapat, menjawab tugasan dan menulis nota. Aktiviti sebegini akan dapat mengelakkan kita merasa bosan dan tertekan. Aktiviti sebegini tidak dapat kita lakukan jika belajar secara bersendirian.

   Kesimpulannya, Belajar secara berkumpulan banyak memberi kebaikan kepada kita kerana ia merupakan kaedah belajar yang sihat dan dapat membantu kita mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. 

Label:

Khamis, 1 September 2016

Karangan UPSR " Faedah Amalan Berjimat Cermat"

Soalan:

Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. 

Tulis sebuah karangan tentang faedah  amalan ini.

Berjimat cermat membawa maksud berhemat atau berhati-hati dalam penggunaan wang, elektrik, air ataupun lain-lain keperluan seharian kita. Amalan berjimat cermat merupakan  satu amalan yang terpuji dan membawa pelbagai faedah kepada kita.

    Antara faedah amalan ini ialah kita dapat mengurangkan perbelanjaan harian kita. Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu perbelanjaan harian kita sekeluarga dapat dikurangkan dan kita mempunyai lebihan wang. Lebihan wang ini boleh kita simpan untuk keperluan pada masa kecemasan.

      Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat memupuk sikap berdikari dalam diri setiap orang. Hal ini demikian kerana orang yang mengamalkan sikap berjimat cermat sudah pasti akan berusaha melakukan sendiri atau menyelesaikan sendiri sesuatu perkara atau masalah tanpa mengupah orang lain. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga menambahkan pengalaman.

       Selain itu, amalan berjimat juga boleh membantu negara menjimatkan sumber. Sebagai contoh, sekiranya kita berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, air, dan petrol sudah pasti sumber terpenting kehidupan kita ini akan dapat dijimatkan. Secara tidak langsung kita membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

     Di samping itu, melalui amalan yang mulia ini juga kita dapat menambahkan wang simpanan kita. Wang simpanan sangat penting dalam kehidupan kita. Orang yang mempunyai simpanan akan terjamin masa depannya. Wang simpanan juga amat diperlukan sekiranya berlaku sesuatu musibah kepada kita atau orang-orang terdekat dengan kita.

     Kesimpulannya, amalan berjimat cermat perlu menjadi amalan setiap orang. Amalan yang mulia ini jika diamalkan membawa seribu kebaikan.

Label: ,

Sabtu, 14 Mei 2016

Karangan UPSR "Faedah-faedah apabila persekitaran sekolah dan bilik darjah ceria"


Soalan:

Kebersihan dan keceriaan persekitaran sekolah dan bilik darjah hendaklah selalu dijaga.

Bincangkan faedah-faedah apabila persekitaran sekolah dan bilik darjah bersih dan ceria.

    Persekitaran sekolah dan bilik darjah amatlah perlusentiasa  berada dalam keadaan bersih dan ceria. Hal ini sering diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah. Pelbagai cara telah dilakukan untuk memastikan persekitaran sekolah dan bilik darjah sentiasa bersih dan ceria seperti mewujudkan taman di kawasan sekolah dan menghias bangunan sekolah dengan mural yang menarik.

    Pelbagai faedah diperoleh sekiranya persekitaran sekolah dan bilik darjah berada dalam keadaan bersih dan ceria. Antaranya dapat menarik minat murid untuk berada di sekolah. Persekitaran sekolah dan bilik darjah yang bersih dan ceria membuatkan seseorang murid berasa tenang dan selesa . Hal ini akan mendorong murid-murid untuk selalu datang ke sekolah. Secara tidak langsung masalah ponteng sekolah dapat diatasi.

     Selain itu, sekolah dan bilik darjah yang bersih dan ceria juga mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif. Suasana sebegini akan memudahkan murid-murid menguasai ilmu pengetahuan yang dipelajari dan seterusnya mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan murid dalam peperiksaan adalah  kecemerlangan sekolah.

    Sekolah dan bilik darjah yang ceria juga akan menaikkan imej sekolah di mata masyarakat sekitar. Ibu bapa sudah tentu menyukai sekolah yang bersih dan ceria. Mereka pasti  berbangga sekiranya sekolah di kawasan tempat tinggal mereka memilikki persekitaran yang bersih dan  ceria. Hal ini akan mendorong mereka untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut.

   Di samping itu, persekitaran sekolah yang ceria juga akan mewujudkan suasana yang lebih selamat. Sekolah yang sentiasa bersih dan ceria akan menjauhkan serangga dan haiwan berbisa seperti kala jengking, lipan  dan ular yang boleh mengancam keselamatan warganya. Ibu bapa pasti berasa  yakin dengan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di sekolah.

   Kesimpulannya, persekitaran sekolah dan bilik darjah amat berfaedah kepada semua orang. Oleh itu setiap warga sekolah perlu memainkan peranan bersama agar sekolah kita sentiasa bersih dan ceria.

Label: ,

Khamis, 12 Mei 2016

Karangan UPSR "Punca Berlakunya Kemalangan Jalan Raya"


Karangan fakta / perbincangan

Soalan:

Kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap hari.

Bincangkan punca-punca berlakunya kemalangan di jalan raya.

Hampir setiap hari berita-berita mengenai kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan parah, kehilangan nyawa dan kerugian harta benda disiarkan melalui media massa. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemalangan adalah satu masalah serius yang sukar diatasi.

      Banyak faktor  yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Dalam hal ini, kecuaian manusialah yang menjadi penyebab utama. Ramai pemandu dan penunggang kenderaan yang gemar memandu secara cuai dan melulu. Mereka tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, ada pemandu yang gemar memotong kenderaan lain di selekoh yang mempunyai garisan berkembar. Perbuatan begini amat berbahaya kepada diri sendiri dan pemandu lain.

     Selain itu, keadaan kenderaan juga merupakan punca kepada berlakunya kemalangan. Ramai pemilik kenderaan tidak menyelenggara kenderaan mereka  dengan baik. Keadaan ini menyebabkan komponen -komponen kenderaan seperti brek dan tayar tidak dapat berfungsi dengan baik. Hal ini menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal dengan baik dan mudah terbabas ketika memandu.

     Kemalangan juga berpunca daripada keadaan jalan raya. Jalan raya  yang berselekoh , berbukit , dan berlubang-lubang amat berbahaya kepada pemandu. Seseorang pemandu yang kurang pengalaman dan tidak biasa melalui laluan sebegini sukar untuk mengawal kenderaan mereka dan amat berisiko mengalami  kemalangan.

       Di samping itu, kemalangan jalan raya juga berpunca daripada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen memandu.  Hal ini menyebabkan mereka tidak memahami undang-undang dan peraturan jalan raya dengan sepatutnya kerana tidak mendapat tunjuk ajar dan latihan yang diperlukan. Mereka akan terdorong memandu atau menunggang secara tidak berhemah.  Keadaan sebegini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

     Kesimpulannya, banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya. Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak perlu menggemblengkan tenaga dan usaha secara lebih efektif lagi.

Label: ,

Rabu, 27 April 2016

Karangan cerita "Persediaan untuk Menyertai Pertandingan Bercerita"



Soalan:
Kamu menyertai satu pertandingan bercerita anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu.

Ceritakan persediaan yang kamu lakukan untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pada minggu lepas, Persatuan Bahasa Melayu sekolah saya telah menganjurkan satu pertandingan bercerita. Saya turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut untuk mengasah kebolehan saya bercerita di hadapan orang ramai. Sebelum menyertai pertandingan ini pelbagai persediaan saya lakukan.

    Dua minggu sebelum pertandingan tersebut berlangsung,  saya telah membeli sebuah buku cerita yang menarik sesuai dengan tema pertandingan tersebut. Setelah itu, saya membaca buku cerita tersebut beberapa kali sehingga saya benar-benar faham  jalan ceritanya.

    Setelah memahami cerita daripada buku tersebut, saya mula menghafal untuk mengingati ceritanya. Untuk menguatkan lagi ingatan saya, saya menulis semula cerita tersebut dalam buku catatan. Buku tersebut saya bawa ke mana-mana sahaja, dan membacanya jika ada waktu terluang.

     Seminggu sebelum pertandingan tersebut berlangsung, saya mula berlatih menyampaikan cerita tersebut. Mula-mula saya berlatih secara bersendirian di hadapan cermin di dalam bilik. Kemudian saya meminta kakak saya menjadi pembimbing. Kakak menggunakan segala pengetahuannya untuk membetulkan gaya dan intonasi suara saya ketika bercerita. Kakak memang mahir dalam teknik bercerita kerana dia pernah menjadi johan pertandingan bercerita peringkat sekolah menengah.

    Selain itu, saya meminta  ibu menjahit satu set lengkap pakaian yang akan saya pakai semasa pertandingan tersebut. Warna dan fesyen pakaian itu sesuai dengan tema cerita yang akan saya sampaikan. Hal ini perlu saya ambil berat kerana kesesuaian dan kekemasan pakaian peserta diberi penilaian khas oleh juri pertandingan.

   Pada malam sebelum pertandingan tersebut, saya tidur lebih awal daripada biasa. Saya bimbang jika terlewat bangun pada keesokan harinya. Sebelum tidur saya berdoa kepada Nya agar saya dapat bangun awal dan tidak gugup ketika menyampaikan cerita itu nanti.

     Pada hari pertandingan tersebut,  saya tiba lebih awal di sekolah berbanding hari-hari  lain. Apabila pertandingan berlangsung, saya dapat menyampaikan cerita dengan gaya yang tersendiri dan penuh keyakinan. Saya mendapat tepukan yang gemuruh daripada para penonton. Pada akhir pertandingan, saya telah dinobatkan sebagai johan.  Saya sangat gembira kerana usaha yang saya lakukan membuahkan hasil.

Label: ,

Isnin, 25 April 2016

Karangan UPSR "Faedah Hidup Bersatu Padu"



Soalan:

Rakyat negara kita, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup bersatu padu.
Tulis sebuah karangan tentang faedah hidup bersatu padu dalam kalangan pelbagai kaum.

Malaysia ialah  negara yang unik kerana warganya terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku kaum yang dapat hidup dengan harmoni. Walaupun setiap bangsa dan suku kaum ini mengamalkan agama, adat-resam dan cara hidup yang berbeza,  namun mereka dapat hidup dengan semangat perpaduan yang tinggi.

    Banyak faedah yang diperoleh apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan bersatu-padu. Antaranya ialah kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Kesannya kita dapat belajar dengan tenang dan selesa di sekolah tanpa rasa bimbang akan keselamatan diri. Hal sebegini tidak dapat dinikmati oleh anak-anak di sesetengah negara. Ramai antara mereka tidak dapat ke sekolah kerana bimbang akan keselamatan diri.

      Seterusnya, melalui perpaduan yang jitu, rakyat Malaysia dapat bekerja dan mencari rezeki dengan baik dan selesa. Hal ini demikian kerana perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dapat membantu pihak kerajaan dan swasta mewujudkan pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan untuk rakyat. Kita juga tidak berasa takut untuk keluar bekerja di mana-mana sahaja.

     Selain itu, perpaduan yang teguh dalam kalangan rakyat juga telah mewujudkan kestabilan dari segi politik dan ekonomi. Hal ini sudah pasti menarik minat para pelabur asing melabur dalam pelbagai sektor di negara kita. para pelabur tidak perlu risau akan mengalami kerugian dalam pelaburan kerana perpaduan yang wujud menjamin keamanan. Pelaburan ini akan membantu meningkatkan ekonomi negara kita.

      Akhir sekali,  perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum juga telah menarik minat pelancong asing untuk melancong di negara kita. Para pelancong tidak risau akan keselamatan diri mereka sepanjang berada di negara kita. Mereka juga dapat menikmati pelbagai budaya yang ada di negara kita. Kedatangan pelancong asing ini memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara kita seperti dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan bidang kraftangan.

    Kesimpulannya, perpaduan kaum yang wujud di negara kita telah banyak memajukan negara kita dalam pelbagaai bidang. Oleh yang demikian, semua warga perlu memelihara dan mengekalkan semangat hidup bersatu-padu ini.


Label: ,

Sabtu, 16 April 2016

Karangan Cerita / pengalaman "Menyaksikan majlis perkahwinan"



Karangan Cerita / pengalaman

Kamu sekeluarga  telah menghadiri satu majlis kenduri  perkahwinan sepupu kamu.

Ceritakan pengalaman kamu sepanjang kenduri perkahwinan tersebut.

Pada cuti sekolah yang lalu, saya dan keluarga telah menghadiri satu majlis perkahwinan sepupu saya di kampung. Kami bertolak ke sana sehari sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung.

     Pada awal pagi hari majlis perkahwinan itu berlangsung, saya melihat saudara-mara sibuk bergotong –royong membuat pelbagai persiapan. Kaum lelaki dan wanita  sibuk memasak makanan dan lauk-pauk yang akan dihidangkan kepada para jemputan dan rombongan pengantin lelaki.  Sesetengah saudara-mara saya pula sibuk menghias bilik untuk pengantin.

      Setelah lauk-pauk dan makanan siap dimasak, saya membantu saudara-mara menghidangkan makanan dan minuman di atas meja. Menjelang waktu tengah hari, ramai tetamu dan  jemputan tiba untuk menikmati hidangan. Suasana ketika itu sangat sibuk. Ayah dan Pak Long  tidak menang tangan melayan para tetamu yang datang bersalaman dan mengucapkan tahniah.      

     Pada pada pukul 3.00 petang, rombongan pengantin lelaki tiba. Ketibaan mereka disambut dengan paluan kompang dan pertunjukan seni silat. Kemudian ,kedua-dua pengantin disandingkan di atas pelamin. Suasana ketika itu sungguh meriah. Saya dan adik-adik tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pengantin
     Menjelang senja, majlis persandingan pun tamat. Saya dan saudara-mara yang lain membantu mengemas meja, pinggan mangkuk dan peralatan yang digunakan. Kami  bekerjasama agar segala-galanya dapat dikemas dan dibersihkan sebelum malam menjelang.


     Kami sekeluarga bertolak pulang menjelang waktu malam. Walaupun letih, saya berasa seronok kerana dapat menyaksikan satu majlis perkahwinan yang sangat meriah.

Label: ,

Sabtu, 9 April 2016

Karangan cerita

Soalan:

Pada cuti sekolah yang lalu, kamu  telah bercuti  di kampung datuk dan nenek kamu.
Ceritakan  pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

    Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan nenek saya yang terletak di Pasir Puteh Kelantan.  Saya bertolak  ke sana pada awal pagi dengan menaiki bas dari Kota Bharu. Datuk menunggu saya di setesen bas Pasir Puteh.

     Setibanya di rumah datuk, nenek sedang  menunggu dengan hidangan makan tengah hari. Saya makan dengan berselera sekali kerana terlalu lapar.  Tambahan pula, masakan ikan haruan dan puyu yang nenek sediakan amat menyelerakan.
     Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang ditahannya. Saya sangat seronok kerana inilah aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk mengajar saya teknik  memancing ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan apabila dapat memancing seekor ikan Sebarau yang agak besar. Datuk hanya tersenyum melihat gelagat saya. 

      Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah datuk sangat luas.  Di sini saya berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di sawah mereka.  Datuk mengatakan bahawa padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan. Saya berasa agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai  padi.

    Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk mencari buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat gembira kerana  ini adalah peluang  saya untuk belajar membuat  wau. Sepupu-sepupu saya mengajar saya cara menebang, membelah, dan meraut buluh untuk dibuat wau. Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan kami terbangkan di padang berhampiran rumah datuk.


   Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibu pun datang untuk menjemput saya pulang kerana cuti akan berakhir  tidak beberapa lama lagi. Walaupun agak keberatan untuk meninggalkan kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa amat gembira kerana mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.

Label: ,

Sabtu, 2 April 2016

Karangan perihal "cara-cara kamu menjaga keselamatan diri ketika menunggang basikal di jalan raya".


Soalan:

Kamu selalu menunggang basikal untuk pergi dan pulang dari sekolah.

Ceritakan cara-cara kamu menjaga keselamatan diri ketika menunggang di jalan raya.

     Setiap hari saya menunggang basikal untuk ke sekolah yang  terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah saya.  Saya terpaksa melalui sebatang  jalan raya yang sibuk. Oleh yang demikian,  saya terpaksa mengamalkan  langkah-langkah  keselamatan agar tidak terjadi perkara yang buruk.

     Setiap hari saya akan turun awal untuk ke sekolah. Saya berbuat demikian untuk mengelakkan menunggang dalam keadaan tergopoh-gapah dan melulu. Sekiranya saya terlewat sudah pasti saya terpaksa menunggang dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan diri.

     Sebelum menunggang,  saya memeriksa basikal saya terlebih dahulu. Saya memastikan brek, tayar dan komponen lain dalam keadaan baik. Hal ini saya lakukan  kerana menyedari bahawa sekiranya brek dan tayar rosak, basikal tersebut tidak selamat untuk ditunggang.

   Selain itu, saya juga memakai topi keledar dan jaket keselamatan yang memantulkan cahaya. Jaket dan topi keledar yang memantulkan cahaya amat penting agar pengguna jalan raya yang lain boleh melihat saya dengan lebih jelas. Banyak kemalangan terjadi kerana pemandu kenderaan lain  tidak dapat melihat kita dengan jelas.

     Ketika menunggang di jalan raya, saya sentiasa berhati-hati.  Saya mematuhi semua undang-undang dan peraturan jalan raya. Saya juga menunggang di laluan basikal. Saya melintas di tempat melintas yang dikhaskan. Saya juga menunggu semua kenderaan berhenti terlebih dahulu sebelum melintas.


    Setelah tiba di sekolah, saya meletakkan basikal di tempat yang disediakan. Saya juga mengunci terlebih dahulu basikal  saya.  Saya memastikan keselamatan diri dan basikal sentiasa terjaga.  

Label: ,

Khamis, 31 Mac 2016

Karangan cerita "Pengalaman bercuti di kampung"


Karangan cerita

Soalan:

Pada cuti sekolah yang lalu, kamu  telah bercuti  di kampung datuk dan nenek kamu.
Ceritakan  pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

    Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan nenek saya yang terletak di Pasir Puteh Kelantan.  Saya bertolak  ke sana pada awal pagi dengan menaiki bas dari Kota Bharu. Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir Puteh.

     Setibanya di rumah datuk, nenek sedang  menunggu dengan hidangan makan tengahari. Saya makan dengan berselera sekali kerana terlalu lapar,  tambahan pula masakan ikan haruan dan puyu yang nenek sediakan amat menyelerakan.
     Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang ditahannya. Saya sangat seronok kerana inilah aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk mengajar saya teknik  memancing ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan apabila dapat memancing seekor ikan sebarau yang agak besar. Datuk hanya tersenyum melihat gelagat saya. 

      Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah datuk sangat luas.  Di sini,  saya berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di sawah mereka.  Ada yang sedang merumput, membaja dan membaiki batas-batas sawah. Datuk mengatakan bahawa padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan. Saya berasa agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai  padi.

    Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk mencari buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat teruja kerana  ini adalah peluang keemasan kepada saya untuk belajar membuat  wau. Sepupu-sepupu saya mengajar saya menebang buluh, membelah, dan meraut buluh untuk dibuat wau. Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan kami terbangkan di padang berhampiran rumah datuk.


   Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibupun datang menjemput saya pulang kerana cuti akan berakhir  tidak beberapa lama lagi. Walaupun agak keberatan untuk meninggalkan kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa amat gembira kerana mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.

Label: ,

Ahad, 27 Mac 2016

Karangan fakta " punca-punca berlakunya pencemaran alam".


Karangan fakta

Soalan:

Pencemaran alam yang membawa pelbagai akibat buruk  semakin berleluasa.
Tulis sebuah karangan tentang punca-punca berlakunya pencemaran alam.



Pencemaran alam seperti pencemaran udara, pencemaran air dan pencemaran bunyi yang membawa pelbagai akibat buruk  semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Hal ini bertambah parah dari tahun ke tahun.

   Terdapat pelbagai punca berlakunya pencemaran alam. Sikap manusia yang gemar membuang sampah-sarap  dan sisa toksik ke dalam sungai dan sumber air   menjadi punca kepada pencemaran air. Rumah-rumah kediaman dan kilang-kilang yang terletak berhampiran sungai kebanyakannya mengambil langkah mudah menyalurkan bahan buangan ke sungai-sungai.  Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran air yang memusnahkan hidupan akuatik.

   Pembakaran terbuka, pelepasan asap kenderaan dan asap kilang-kilang perusahaan pula menjadi punca kepada pencemaran udara. Asap yang mengandungi karbon monoksida ini amat berbahaya kepada hidupan. Sebagai contoh,  Saban tahun negara kita dilanda jerebu yang teruk berpunca daripada sikap masyarakat yang gemar melakukan pembakaran terbuka.

     Penebangan hutan yang tidak terkawal untuk pembalakan dan penerokaan kawasan pertanian juga  menjadi  punca  berlakunya pencemaran alam. Apabila pokok-pokok ditebang, maka banyak kawasan tadahan musnah. Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran sungai apabila hujan turun dengan lebat. Lumpur-lumpur daripada kawasan hutan yang telah ditebang akan mengalir ke sungai dan seterusnya dibawa arus ke hilir sungai. Hal ini menyebabkan  sungai menjadi cetek dan tercemar oleh lumpur. Banjir lumpur yang mengancam nyawa juga mudah berlaku.

   Selain itu, bunyi enjin  kenderaan dan jentera kilang juga menyumbang kepada pencemaran bunyi.  Pertambahan bilangan kenderaan dan kilang-kilang perusahaan menyebabkan masalah pencemaran bunyi semakin parah saban tahun. Keadaan ini boleh menyebabkan kita menghadapi masalah pendengaran.


     Kesimpulannya, sikap manusialah yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam yang membawa kesan yang buruk kepada hidupan. Semua anggota masyarakat perlu peka sekiranya ingin mengatasi masalah ini.

Label: ,

Rabu, 23 Mac 2016

Karangan perbincangan" cara-cara untuk mengatasi stres"

`

Karangan Fakta

Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul.

Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stres

   Stres atau tekanan ialah gangguan emosi  dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres  yang keterlaluan amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab itu kita perlu mengatasinya dengan betul.

     Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.

     Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik  yang selesa dan kemas. Sekiranya  bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita merasa tertekan dan tidak selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan  berkualiti. Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.

Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini akan  menyebabkan stres atau tekanan.

    Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi, lama-kelamaan ia akan  menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini,  Ibu bapa kita sudah pasti mempunyai  banyak pengalaman untuk membantu kita mengatasi sesuatu  masalah.


    Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.

Label: ,

Sabtu, 19 Mac 2016

Karangan UPSR " Cara-cara menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal kita"


Karangan Perbincangan

Soalan:
Alam sekitar yang bersih dan indah menjamin hidup kita sentiasa sihat dan ceria.

Bincangkan cara-cara menjaga kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal  kita.


    Kebersihan dan keindahan  kawasan tempat tinggal kita sememangnya hal yang perlu diberi  perhatian agar hidup kita sentiasa sihat dan ceria. Sekiranya tempat tinggal kita kotor dan tidak ceria maka masyarakat yang mendiaminya mudah diserang pelbagai penyakit yang berbahaya. Banyak cara yang boleh kita lakukan agar kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal kita terjaga.

       Untuk menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal,  kita mestilah sentiasa mengamalkan sikap kerjasama dengan masyarakat yang tinggal di kawasan yang sama. Hal ini demikian kerana tanpa kerjasama anggota masyarakat maka sukarlah untuk  menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran tempat tinggal kita. Amalan bergotong-royong membersihkan dan menceriakan kawasan taman atau kampung perlu selalu dilakukan.

         Selain itu, Semua orang yang tinggal di sesuatu kawasan perlu sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan rumah masing-masing.  Setiap orang perlu membuang sampah di tempat yang disediakan untuk memudahkan pihak bertanggungjawab memungut sampah-sarap dan dibawa ke tapak pelupusan. Sekiranya hal ini diamalkan, maka sesuatu kawasan tempat tinggal akan sentiasa bersih dan ceria.

       Amalan mengitar semula bahan buangan juga salah satu cara menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal. Bahan buangan seperti botol, tin aluminium,kertas dan besi-besi  lama boleh dikitar semula. Bahan-bahan ini boleh kita bawa ke pusat kitar semula. Amalan kitar semula sebenarnya sangat baik diamalkan kerana selain daripada menceriakan kawasan tempat tinggal kita ia juga membantu kita menjaga kelestarian alam negara kita.

      Penanaman pokok-pokok hiasan juga adalah cara menjaga keindahan  kawasan tempat tinggal. Pokok-pokok hiasan yang hidup subur dan menghijau sudah tentu menyejukkan mata yang memandang. Hal ini pastinya mewujudkan kawasan tempat tinggal  berudara bersih , nyaman dan ceria.


    Kesimpulannya,  pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal kita. Walaubagaimanapun pelibatan seluruh anggota masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan sangatlah mustahak untuk mewujudkan kawasan tempat tinggal yang bersih dan indah.

Label: ,

Jumaat, 18 Mac 2016

Karangan cerita "Cara-cara menjaga keselamatan diri ketika menyertai lawatan sambil belajar"



Karangan cerita

Soalan:

Kamu  telah dilantik sebagai ketua kumpulan ketika  menyertai satu  lawatan sambil belajar ke suatu tempat yang menarik .

Ceritakan cara-cara kamu menjaga  keselamatan diri  dan rakan-rakan semasa bas berhenti di kawasan rehat dan rawat.

    Pada minggu lepas, saya dan rakan-rakan telah menyertai satu lawatan sambal belajar ke Melaka. Kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan mengandungi 10 orang ahli.  Saya telah dilantik sebagai ketua Kumpulan Pintar. Salah satu tugas saya sebagai ketua kumpulan adalah untuk memastikan keselamatan ahli kumpulan dan diri sendiri.

    Apabila sampai di kawasan rehat dan rawat, kami semua turun dari bas. Saya sebagai ketua kumpulan meminta ahli kumpulan berbaris terlebih dahulu. Saya mengira bilangan ahli kumpulan agar mencukupi. Kemudian saya berpesan kepada semua ahli kumpulan agar sentiasa berhati-hati dan tidak merayau-rayau terlalu jauh dari kawasan rehat dan rawat tersebut.

     Kami semua berjalan dalam kumpulan masing-masing. Sekiranya hendak ke tandas,  saya meminta ahli kumpulan memberitahu saya terlebih dahulu. Saya juga memastikan ahli kumpulan pergi berdua-dua ke tandas atau ke kedai-kedai yang menjual cenderamata. Hal ini dilakukan agar kami tidak tersesat.

      Kemudian,  kami menuju ke kedai makan. Kami duduk dan makan  secara berkumpulan. Kami juga makan berhampiran dengan kumpulan yang lain. Hal ini dilakukan agar senang kami membayar harga makanan dan berkumpul semula untuk menaiki bas.

     Setelah selesai makan dan membayar harga makanan, kami berkumpul semula. Saya meminta ahli kumpulan saya mengira bilangan ahli. Setelah memastikan bilangan ahli kumpulan mencukupi, kami beratur untuk menaiki bas dan duduk di tempat masing-masing. Hal ini saya lakukan untuk memastikan tiada ahli kumpulan yang tertinggal bas.


   Setelah semua peserta lawatan  menaiki bas, Cikgu Mazlan meminta ketua kumpulan mengira semula ahli kumpulan masing-masing untuk memastikan semua orang  telah menaiki bas. Kemudian,  bas bergerak semula ke Melaka.

Label: ,

Khamis, 17 Mac 2016

Karangan cerita "Hobi dan Faedahnya"



Karangan cerita

Soalan:

Semua orang mempunyai hobi kerana hobi memberi pelbagai faedah kepada kita.
Ceritakan tentang hobi kamu dan faedah yang kamu peroleh daripada hobi tersebut.

       Hobi ialah kegiatan atau aktiviti yang kita lakukan pada waktu lapang. Boleh dikatakan semua orang mempunyai hobi yang tersendiri. Antara hobi yang selalu dilakukan ialah memelihara haiwan kesayangan, membaca novel, berkebun, bermain permainan komputer, memancing, menonton televisyen dan sebagainya.
      
     Seperti orang lain, saya juga mempunyai hobi . Hobi saya ialah bermain bola sepak. Hobi ini saya lakukan pada waktu petang selepas belajar dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru.
    
     Saya bermain bola sepak di satu kawasan lapang bersama rakan-rakan yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Biasanya kami mula bermain pada pukul 5.30 petang.  Kami sering mengadakan perlawanan sesama sendiri. Ibu bapa saya memberikan galakan kepada saya dengan membeli kasut bola dan sebiji bola sepak yang bermutu. Hal ini kerana hobi bermain bola sepak banyak faedahnya.
     
     Melalui hobi ini saya dapat menyihatkan badan. Apabila bermain bola sepak, saya menggunakan banyak tenaga dan pergerakan.  Lemak dan kalori yang berlebihan dapat dibakar. Dengan ini berat badan saya dapat dikawal dan mengelakkan terjadinya obesiti.
    
    Selain itu, melalui hobi ini saya mendapat ramai kawan. Secara tidak langsung saya dapat belajar bergaul dengan orang lain dan merapatkan hubungan persahabatan dengan jiran-jiran saya. Jiran-jiran sangat penting kepada kita kerana merekalah yang akan membantu kita jika menghadapi masalah.
   
    Seterusnya, dengan   bermain bola sepak saya dapat meningkatkan kecergasan mental dan fizikal. Hal ini demikian kerana  dalam permainan bola sepak kita perlu mahir mengawal bola dan melakukan tendangan yang baik. Kita juga perlu cepat berfikir dan bertindak sekiranya ingin mencapai kemenangan.

    
      Kesimpulannya, hobi bermain bola sepak yang saya lakukan ini memberi pelbagai faedah. Hobi ini akan saya teruskan dan amat  berharap suatu hari nanti saya dapat mewakili sekolah dalam permainan ini.

Label: ,

Rabu, 16 Mac 2016

Karangan cerita (tindakan) "Sesat di hutan"




Soalan:

Semasa menyertai satu perkhemahan pengakap berdekatan satu kawasan hutan, kamu dan rakan kamu ditugaskan mencari kayu api untuk memasak makanan dan kegunaan malam kebudayaan. Setelah selesai mencari kayu api kamu berdua  tidak menemui jalan keluar.

Ceritakan tindakan yang kamu dan rakan lakukan untuk keluar dari hutan tersebut.

      Persatuan pengakap sekolah saya telah mengadakan satu perkhemahan di tepi sebatang sungai berdekatan sebuah kawasan hutan. Aku dan seorang rakan telah ditugaskan oleh Cikgu Mazlan untuk mencari kayu api. Tanpa membuang masa aku dan rakanku Amirul terus menuju ke kawasan hutan berdekatan kawasan perkhemahan kami.

       Kami berjalan menelusuri sebatang denai di dalam hutan itu . setelah sampai di satu kawasan kami melihat terdapat sebatang pokok tumbang. Kami segera memotong ranting dan dahan-dahan kecil untuk dijadikan kayu api. Setelah selesai memotong dan mengikat kayu-kayu itu, barulah kami tersedar bahawa kami telah tersesat. Kami tidak dapat mengingati arah untuk pulang ke khemah semula. Kami berasa sangat takut tambahan pula, terdengar pelbagai suara yang pelik-pelik di dalam hutan itu. Aku segera menjerit memanggil Cikgu Mazlan dan rakan-rakan yang lain. Tetapi jeritan ku sia-sia sahaja.

      Setelah puas menjerit, kami pun duduk termenung sambil berfikir cara untuk keluar dari kawasan hutan itu. Kami berdua sepakat mencari jalan keluar. Kami berjalan menuju ke tebing sungai kerana pada pendapat kami lebih mudah menelusuri sungai untuk ke tapak perkhemahan. Kami juga teringat bahawa tapak perkhemahan kami terletak  di tepi sebatang sungai. Sambil berjalan kami mematahkan ranting-ranting kayu di sepanjang laluan kami.

     Hari semakin senja, namun kawasan perkhemahan kami masih belum ditemui. Kami bertambah takut apabila memikirkan ancaman binatang-binatang buas dan kegelapan malam menyukarkan pergerakan kami.  Setelah penat berjalan kami duduk berehat di tepi sungai tersebut. Tiba-tiba aku teringat bahawa aku ada membawa pemetik api bersama-sama.  Aku segera menghidupkan api menggunakan ranting-ranting dan daun-daun kering. Di samping untuk menghalau nyamuk dan keselamatan diri kami, aku berharap agar asap dari pembakaran tersebut dapat dilihat oleh Cikgu Mazlan dan rakan-rakan kami yang lain.

    Tidak beberapa lama kemudian aku terdengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya Cikgu Mazlan dan beberapa orang rakan telah sampai ke tempat kami. Mereka memberitahu bahawa tindakan aku mematahkan ranting-ranting kayu dalam perjalanan dan asap daripada unggun api itulah yang membantu mereka menemui kami.

      Kami akhirnya terselamat. Cikgu Mazlan memuji tindakan kami yang dianggap bijak. Cikgu Mazlan juga mengingatkan kami agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Label: ,

Selasa, 15 Mac 2016

Karangan UPSR "Pengalaman menyaksikan sambutan ulang tahun Hari Malaysia"



Karangan pengalaman /cerita

Soalan:

16 September setiap tahun adalah ulang tahun penubuhan negara kita  Malaysia. Sempena hari ulang tahun tersebut, pelbagai acara diadakan di seluruh negara. Kamu dan rakan-rakan pernah menyaksikan acara  sambutan ulang tahun  tersebut. 

Ceritakan pengalaman kamu itu.

    Pada 16 September tahun lepas, saya dan rakan-rakan telah berpeluang menyaksikan ulang tahun sambutan hari penubuhan negara kita Malaysia. Sambutan tersebut telah diadakan di dataran perbandaran berhampiran tempat tinggal saya.

     Kami tiba di dataran perbandaran itu kira-kira pada pukul lapan pagi. Kami melihat orang ramai telah berkumpul sepanjang dataran. Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum mengibarkan Jalur Gemilang. Kami  berlima terus menyertai mereka sambil mengibarkan Jalur Gemilang yang kami bawa dari rumah.

    Seterusnya kami melihat pula perarakan kebudayaan oleh kaum-kaum utama di Malaysia. Mereka terdiri daripada Kaum Melayu, Cina, dan India. Mereka berarak dengan berpimpin tangan antara satu sama lain. Perarakan ini melambangkan perpaduan yang jitu antara kaum-kaum utama di Malaysia walaupun berbeza budaya dan agama. 

      Kira-kira pada pukul 9.30 pagi, saya dan rakan-rakan berpeluang pula menyaksikan perarakan kebudayaan oleh kumpulan etnik iaitu Bajau, Murut, Iban, Melanau, dan Orang Asli.  Mereka berpakaian tradisional mengikut budaya etnik masing-masing. Suasana sungguh ceria dan indah sekali dengan pakaian para peserta perarakan yang berwarna-warni. Kami berlima tidak melepaskan peluang merakam gambar sebagai kenang-kenangan.

      Acara terakhir yang kami saksikan pada hari tersebut ialah tayangan video pada skrin besar. Melalui tayangan ini, orang ramai berpeluang menyaksikan sejarah penubuhan negara kita Malaysia. Selain itu, video tersebut juga memaparkan keunikan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi hidup bersatu padu antara satu dengan yang lain. Keadaan ini bertepatan dengan peribahasa Melayu iaitu "Bagai aur dengan tebing".

     Kami pulang ke rumah setelah semua acara selesai. Saya sangat gembira kerana berpeluang menyaksikan sambutan ulang tahun penubuhan Malaysia kerana mendapat pelbagai pengalaman dan pengetahuan mengenai  negara  kita Malaysia. Saya juga merasa bangga dan bertuah menjadi seorang daripada rakyat Malaysia.

Label: ,

Jumaat, 11 Mac 2016

KaranganUPSR cerita Tindakan yang dilakukan "Tindakan melihat murid tahun 1 menangis di sekolah"



Karangan Cerita (tindakan)

Soalan:

Kamu dan seorang rakan sedang berjalan ke kantin untuk rehat. Semasa dalam perjalanan kamu ternampak seorang murid tahun 1 sedang menangis.

Ceritakan tindakan kamu dan rakan ketika itu

    Setelah loceng rehat berbunyi, aku dan Syafikah terus bergegas ke kantin untuk makan. Sambil membimbit botol air,  kami berbual-bual tentang pelajaran. Tiba-tiba kami ternampak seorang budak perempuan sedang menangis di belakang kantin sekolah.

    Aku  mengajak Syafikah menyiasat perkara yang berlaku. Kami segera menuju ke arah budak perempuan itu. Aku bertanya sebab budak itu menangis. Namun dia tidak menjawabnya kerana ketakutan.
     Setelah beberapa kali memujuknya dengan pelbagai cara, akhirnya budak perempuan itu memberitahu bahawa dia kehilangan wang untuk membeli makanan. Dia menangis kerana sedih dan terasa lapar.

      Aku dan rakanku mengajak budak itu mencari wangnya di dalam kelas. Setelah mencari di dalam meja dan begnya, wang tersebut gagal ditemui. Kemudian kami berdua membawa murid tersebut bertemu dengan guru kebajikan murid sekolah kami. Ustazah Rosni iaitu guru kebajikan murid meminta aku menceritakan hal yang berlaku. Setelah beliau berpuashati dengan penerangan aku serta pengakuan budak tersebut, beliau memberikan wang sebanyak tiga ringgit kepada budak tersebut untuk membeli makanan di kantin. Wang tersebut adalah wang tabung kebajikan murid.

     Kemudian, aku,  Syafikah, dan budak perempuan itu segera menuju ke kantin untuk membeli makanan. Aku menolong budak perempuan itu membeli makanan dan minuman. Setelah itu, kami duduk di tempat yang disediakan dan makan bersama-sama. Budak perempuan itu mengucapkan terima kasih atas pertolongan kami berdua.

      Setelah loceng berakhirnya waktu rehat berbunyi, kami segera menuju ke kelas masing-masing. Aku dan Syafikah berasa sangat gembira kerana kami telah berjaya membantu murid lain yang ditimpa masalah.

Label: ,

Selasa, 8 Mac 2016

Karangan UPSR keperihalan (cerita) "Persediaan menghadapi peperiksaan UPSR"


Soalan:

Persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan amat penting agar kita berjaya dengan cemerlang.
Ceritakan persediaan yang kamu lakukan untuk menduduki peperiksaan UPSR.

   Semua murid berkeinginan mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan. Demikian juga dengan saya. Saya akan menduduki Peperiksaan UPSR pada tahun ini. Untuk memastikan saya berjaya dengan cemerlang pelbagai persediaan telah saya lakukan.

      Pada waktu petang setelah pulang dari sekolah, saya akan mengulangkaji pelajaran di rumah. Ulangkaji ini saya lakukan untuk mengukuhkan ingatan saya terhadap pengajaran guru pada hari tersebut. Dengan cara ini ingatan dan kefahaman saya terhadap sesuatu tajuk bertambah kukuh.

      Selain itu, pada waktu malam saya akan menyiapkan semua tugasan sekolah yang diberikan oleh guru. Sesuatu tugasan yang sukar atau tidak dapat saya selesaikan, saya akan bertanya kepada abang atau kakak saya. dengan cara ini saya dapat memahami tajuk-tajuk yang sukar dengan lebih baik lagi.

   Saya juga membentuk kumpulan belajar dengan rakan-rakan yang tinggal berhampiran dengan rumah saya dan belajar di sekolah lain.  Kami berbincang dan membuat latihan bersama-sama dengan menggunakan buku rujukan yang kami beli. Dengan cara ini saya dapat berkongsi idea dan pendapat. Banyak tajuk-tajuk dan corak soalan yang sukar dijawab dapat saya selesaikan apabila mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekumpulan.

     Ketika berada di dalam kelas, saya memberi perhatian dan mendengar dengan tekun setiap pengajaran guru. Saya tidak segan untuk bertanya kepada guru sekiranya saya tidak memahami sesuatu perkara yang diajar.  hal ini demikian kerana  saya menganggap  setiap patah ajaran guru ialah ilmu yang amat bernilai harganya.

  Saya amat berharap dengan persediaan sebegini, saya akan lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan UPSR yang akan diadakan pada bulan September nanti. Saya ingin belajar di sekolah yang terpilih sepertimana kakak dan abang saya.
 

Label: ,