Khamis, 31 Mac 2016

Karangan cerita "Pengalaman bercuti di kampung"


Karangan cerita

Soalan:

Pada cuti sekolah yang lalu, kamu  telah bercuti  di kampung datuk dan nenek kamu.
Ceritakan  pengalaman kamu sepanjang berada di sana.

    Pada cuti sekolah yang lalu, saya telah berpeluang pulang ke kampung datuk dan nenek saya yang terletak di Pasir Puteh Kelantan.  Saya bertolak  ke sana pada awal pagi dengan menaiki bas dari Kota Bharu. Datuk menunggu saya di stesen bas Pasir Puteh.

     Setibanya di rumah datuk, nenek sedang  menunggu dengan hidangan makan tengahari. Saya makan dengan berselera sekali kerana terlalu lapar,  tambahan pula masakan ikan haruan dan puyu yang nenek sediakan amat menyelerakan.
     Setelah berehat dan bersolat Zohor, datuk mengajak saya ke sungai yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk memancing dan melihat lukah yang ditahannya. Saya sangat seronok kerana inilah aktiviti yang amat saya tunggu-tunggu. Datuk mengajar saya teknik  memancing ikan di sungai. Saya bersorak kegembiraan apabila dapat memancing seekor ikan sebarau yang agak besar. Datuk hanya tersenyum melihat gelagat saya. 

      Pada sebelah petang pula, datuk mengajak saya ke sawahnya. Sawah datuk sangat luas.  Di sini,  saya berpeluang melihat beberapa orang petani bekerja di sawah mereka.  Ada yang sedang merumput, membaja dan membaiki batas-batas sawah. Datuk mengatakan bahawa padi-padi tersebut akan dituai pada bulan hadapan. Saya berasa agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat kerja-kerja menuai  padi.

    Keesokan harinya, beberapa orang sepupu saya mengajak saya ke hutan untuk mencari buluh. Mereka bercadang untuk membuat wau. Saya berasa sangat teruja kerana  ini adalah peluang keemasan kepada saya untuk belajar membuat  wau. Sepupu-sepupu saya mengajar saya menebang buluh, membelah, dan meraut buluh untuk dibuat wau. Setelah seharian bertungkus-lumus, saya berjaya membuat sebuah wau kucing yang sederhana besarnya. Wau-wau yang kami buat akan kami terbangkan di padang berhampiran rumah datuk.


   Setelah seminggu berada di rumah datuk dan nenek, ayah dan ibupun datang menjemput saya pulang kerana cuti akan berakhir  tidak beberapa lama lagi. Walaupun agak keberatan untuk meninggalkan kampung datuk dan nenek, tetapi saya berasa amat gembira kerana mendapat pelbagai pengalaman menarik pada cuti kali ini.

Label: ,

Rabu, 30 Mac 2016

karangan UPSR "Surat kiriman Rasmi"



Surat kiriman Rasmi

Soalan:

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan menganjurkan pertandingan syarahan antara kelas. Sebagai setiausaha persatuan, kamu ditugaskan menulis sepucuk surat kepada guru besar untuk meminta kebenaran menggunakan dewan dan peralatan untuk pertandingan tersebut.
Tulis surat tersebut selengkapnya.

Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.


Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.                                                                                           29 MAC 2016

Tuan,
       Memohon Kebenaran Menggunakan Dewan Dan Peralatan

Merujuk kepada perkara di atas,  Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan  Pengkalan Chepa akan  menganjurkan  satu pertandingan  syarahan antara kelas .  Oleh yang demikian, pihak persatuan ingin  memohon kebenaran untuk  menggunakan dewan sekolah dan peralatan yang berkaitan.
2. Berikut adalah butiran pertandingan tersebut:-
          Tarikh                  : 5 April 2016
           Masa                  :  8.00 – 10.30 pagi
          Tempat               : Dewan sekolah
          Bilangan Murid :  60 orang
          Bilangan guru    : 4 orang
3.  Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid-murid dalam menyampaikan syarahan di samping mencari peserta yang berkebolehan untuk mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan peringkat daerah pada bulan Mei akan datang.

4. Kami berjanji akan menggunakan dewan dan peralatan sebaik mungkin. Kami juga akan membersihkan dewan dan mengemas peralatan selepas digunakan.

5. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak tuan. Pertimbangan dan perhatian pihak tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar

Nurhusnina

(NURHUSNINA BT ZAIDI)

Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.

Label: ,

Ahad, 27 Mac 2016

Karangan fakta " punca-punca berlakunya pencemaran alam".


Karangan fakta

Soalan:

Pencemaran alam yang membawa pelbagai akibat buruk  semakin berleluasa.
Tulis sebuah karangan tentang punca-punca berlakunya pencemaran alam.



Pencemaran alam seperti pencemaran udara, pencemaran air dan pencemaran bunyi yang membawa pelbagai akibat buruk  semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Hal ini bertambah parah dari tahun ke tahun.

   Terdapat pelbagai punca berlakunya pencemaran alam. Sikap manusia yang gemar membuang sampah-sarap  dan sisa toksik ke dalam sungai dan sumber air   menjadi punca kepada pencemaran air. Rumah-rumah kediaman dan kilang-kilang yang terletak berhampiran sungai kebanyakannya mengambil langkah mudah menyalurkan bahan buangan ke sungai-sungai.  Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran air yang memusnahkan hidupan akuatik.

   Pembakaran terbuka, pelepasan asap kenderaan dan asap kilang-kilang perusahaan pula menjadi punca kepada pencemaran udara. Asap yang mengandungi karbon monoksida ini amat berbahaya kepada hidupan. Sebagai contoh,  Saban tahun negara kita dilanda jerebu yang teruk berpunca daripada sikap masyarakat yang gemar melakukan pembakaran terbuka.

     Penebangan hutan yang tidak terkawal untuk pembalakan dan penerokaan kawasan pertanian juga  menjadi  punca  berlakunya pencemaran alam. Apabila pokok-pokok ditebang, maka banyak kawasan tadahan musnah. Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran sungai apabila hujan turun dengan lebat. Lumpur-lumpur daripada kawasan hutan yang telah ditebang akan mengalir ke sungai dan seterusnya dibawa arus ke hilir sungai. Hal ini menyebabkan  sungai menjadi cetek dan tercemar oleh lumpur. Banjir lumpur yang mengancam nyawa juga mudah berlaku.

   Selain itu, bunyi enjin  kenderaan dan jentera kilang juga menyumbang kepada pencemaran bunyi.  Pertambahan bilangan kenderaan dan kilang-kilang perusahaan menyebabkan masalah pencemaran bunyi semakin parah saban tahun. Keadaan ini boleh menyebabkan kita menghadapi masalah pendengaran.


     Kesimpulannya, sikap manusialah yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam yang membawa kesan yang buruk kepada hidupan. Semua anggota masyarakat perlu peka sekiranya ingin mengatasi masalah ini.

Label: ,

Rabu, 23 Mac 2016

Karangan Peribahasa “Nasi sudah Menjadi Bubur”



Soalan:

Tulis sebuah karangan berdasarkan  peribahasa “Nasi sudah Menjadi Bubur”

    Amirul seorang anak tunggal.  Bapanya, Pak Razif telah meninggal dunia.  Arwah bapanya meninggalkan banyak harta pusaka seperti tanah sawah dan rumah-rumah sewa.  Amirul dan ibunya Mak Limah hidup mewah daripada hasil harta-harta tersebut.

    Sebagai anak tunggal,  segala kemahuan Amirul dituruti oleh Mak Limah. Bagi Mak Limah, tiada salahnya dia menghabiskan wang untuk memenuhi segala kemahuan Amirul kerana Amirullah tempat dia menumpahkan segala kasih sayang. Banyaklah perkara yang bukan-bukan diminta oleh Amirul dan ditunaikan oleh Mak Limah.

    Oleh sebab dipenuhi kemewahan, Amirul tidak memberikan perhatian terhadap pelajarannya.  Dia bersikap seperti melepaskan batuk di tangga.  Di dalam kelas pula,  Amirul selalu meyakiti hati kawan-kawannya dengan menunjuk-nunjuk barang-barang yang dibeli oleh ibunya.  Tambahan pula kebanyakan rakan-rakan sekelasnya anak orang miskin.

     Mak Limah tidak menyedari bahawa dia melakukan kesilapan dalam mendidik dan membesarkan  Amirul. Sikap Mak Limah ini membuatkan Amirul semakin degil dan keras kepala. Dia mula melawan nasihat guru-guru di sekolah kerana beranggapan pelajaran tidak penting. Amirul juga kerap ponteng sekolah dan mula bercampur dengan remaja yang tidak bersekolah.

       Amirul meminta ibunya membelikannya sebuah motosikal . Alasan Amirul, dia penat mengayuh basikal ke sekolah. Oleh sebab sayangkan Amirul, Mak Limah menuruti kehendaknya. Semenjak memiliki motosikal,  Amirul langsung tidak pergi ke sekolah. Dia lebih gemar berpeleseran dengan rakan-rakannya yang  lebih dewasa dan tidak bersekolah.

     Pada suatu hari,  ketika Amirul memboncengkan kawannya untuk ke Bandar, dia telah ditahan oleh polis di satu sekatan jalan raya.  Apabila diperiksa,  pihak polis mendapati Amirul tidak memiliki lesen motosikal kerana baru berusia 12 tahun. Selain itu,  rakan Amirul pula memilikki beberapa biji pil khayal. Akibatnya,  mereka berdua ditahan dan dibawa ke balai untuk disoal siasat.


    Apabila mengetahui hal ini Mak Limah sangat menyesal kerana terlalu mengikut kehendak Amirul. Namun segalanya telah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. 

Label: ,

Karangan perbincangan" cara-cara untuk mengatasi stres"

`

Karangan Fakta

Stres amat berbahaya kepada kita jika tidak ditangani dengan betul.

Bincangkan cara-cara untuk mengatasi stres

   Stres atau tekanan ialah gangguan emosi  dari segi pemikiran dan fizikal kita. Hal ini berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap sesuatu perkara. Stres  yang keterlaluan amat berbahaya kerana ia memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab itu kita perlu mengatasinya dengan betul.

     Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari. Apabila kita bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-buru atau tergopoh-gapah untuk bersiap dan menguruskan diri. Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan untuk bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan bas.

     Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik  yang selesa dan kemas. Sekiranya  bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita merasa tertekan dan tidak selesa untuk belajar. Kita juga tidak mendapat tidur yang cukup dan  berkualiti. Sekiranya tidur kita tidak mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.

Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa risau dan bimbang sekiranya lewat membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini akan  menyebabkan stres atau tekanan.

    Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau menceritakan masalah yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita memendamkan masalah yang dihadapi, lama-kelamaan ia akan  menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini,  Ibu bapa kita sudah pasti mempunyai  banyak pengalaman untuk membantu kita mengatasi sesuatu  masalah.


    Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang dihadapi dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan kita.

Label: ,

Sabtu, 19 Mac 2016

Karangan UPSR " Cara-cara menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal kita"


Karangan Perbincangan

Soalan:
Alam sekitar yang bersih dan indah menjamin hidup kita sentiasa sihat dan ceria.

Bincangkan cara-cara menjaga kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal  kita.


    Kebersihan dan keindahan  kawasan tempat tinggal kita sememangnya hal yang perlu diberi  perhatian agar hidup kita sentiasa sihat dan ceria. Sekiranya tempat tinggal kita kotor dan tidak ceria maka masyarakat yang mendiaminya mudah diserang pelbagai penyakit yang berbahaya. Banyak cara yang boleh kita lakukan agar kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal kita terjaga.

       Untuk menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal,  kita mestilah sentiasa mengamalkan sikap kerjasama dengan masyarakat yang tinggal di kawasan yang sama. Hal ini demikian kerana tanpa kerjasama anggota masyarakat maka sukarlah untuk  menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran tempat tinggal kita. Amalan bergotong-royong membersihkan dan menceriakan kawasan taman atau kampung perlu selalu dilakukan.

         Selain itu, Semua orang yang tinggal di sesuatu kawasan perlu sentiasa menjaga kebersihan dan keindahan rumah masing-masing.  Setiap orang perlu membuang sampah di tempat yang disediakan untuk memudahkan pihak bertanggungjawab memungut sampah-sarap dan dibawa ke tapak pelupusan. Sekiranya hal ini diamalkan, maka sesuatu kawasan tempat tinggal akan sentiasa bersih dan ceria.

       Amalan mengitar semula bahan buangan juga salah satu cara menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal. Bahan buangan seperti botol, tin aluminium,kertas dan besi-besi  lama boleh dikitar semula. Bahan-bahan ini boleh kita bawa ke pusat kitar semula. Amalan kitar semula sebenarnya sangat baik diamalkan kerana selain daripada menceriakan kawasan tempat tinggal kita ia juga membantu kita menjaga kelestarian alam negara kita.

      Penanaman pokok-pokok hiasan juga adalah cara menjaga keindahan  kawasan tempat tinggal. Pokok-pokok hiasan yang hidup subur dan menghijau sudah tentu menyejukkan mata yang memandang. Hal ini pastinya mewujudkan kawasan tempat tinggal  berudara bersih , nyaman dan ceria.


    Kesimpulannya,  pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal kita. Walaubagaimanapun pelibatan seluruh anggota masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan sangatlah mustahak untuk mewujudkan kawasan tempat tinggal yang bersih dan indah.

Label: ,

Jumaat, 18 Mac 2016

Karangan cerita "Cara-cara menjaga keselamatan diri ketika menyertai lawatan sambil belajar"



Karangan cerita

Soalan:

Kamu  telah dilantik sebagai ketua kumpulan ketika  menyertai satu  lawatan sambil belajar ke suatu tempat yang menarik .

Ceritakan cara-cara kamu menjaga  keselamatan diri  dan rakan-rakan semasa bas berhenti di kawasan rehat dan rawat.

    Pada minggu lepas, saya dan rakan-rakan telah menyertai satu lawatan sambal belajar ke Melaka. Kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan mengandungi 10 orang ahli.  Saya telah dilantik sebagai ketua Kumpulan Pintar. Salah satu tugas saya sebagai ketua kumpulan adalah untuk memastikan keselamatan ahli kumpulan dan diri sendiri.

    Apabila sampai di kawasan rehat dan rawat, kami semua turun dari bas. Saya sebagai ketua kumpulan meminta ahli kumpulan berbaris terlebih dahulu. Saya mengira bilangan ahli kumpulan agar mencukupi. Kemudian saya berpesan kepada semua ahli kumpulan agar sentiasa berhati-hati dan tidak merayau-rayau terlalu jauh dari kawasan rehat dan rawat tersebut.

     Kami semua berjalan dalam kumpulan masing-masing. Sekiranya hendak ke tandas,  saya meminta ahli kumpulan memberitahu saya terlebih dahulu. Saya juga memastikan ahli kumpulan pergi berdua-dua ke tandas atau ke kedai-kedai yang menjual cenderamata. Hal ini dilakukan agar kami tidak tersesat.

      Kemudian,  kami menuju ke kedai makan. Kami duduk dan makan  secara berkumpulan. Kami juga makan berhampiran dengan kumpulan yang lain. Hal ini dilakukan agar senang kami membayar harga makanan dan berkumpul semula untuk menaiki bas.

     Setelah selesai makan dan membayar harga makanan, kami berkumpul semula. Saya meminta ahli kumpulan saya mengira bilangan ahli. Setelah memastikan bilangan ahli kumpulan mencukupi, kami beratur untuk menaiki bas dan duduk di tempat masing-masing. Hal ini saya lakukan untuk memastikan tiada ahli kumpulan yang tertinggal bas.


   Setelah semua peserta lawatan  menaiki bas, Cikgu Mazlan meminta ketua kumpulan mengira semula ahli kumpulan masing-masing untuk memastikan semua orang  telah menaiki bas. Kemudian,  bas bergerak semula ke Melaka.

Label: ,

Khamis, 17 Mac 2016

Karangan cerita "Hobi dan Faedahnya"



Karangan cerita

Soalan:

Semua orang mempunyai hobi kerana hobi memberi pelbagai faedah kepada kita.
Ceritakan tentang hobi kamu dan faedah yang kamu peroleh daripada hobi tersebut.

       Hobi ialah kegiatan atau aktiviti yang kita lakukan pada waktu lapang. Boleh dikatakan semua orang mempunyai hobi yang tersendiri. Antara hobi yang selalu dilakukan ialah memelihara haiwan kesayangan, membaca novel, berkebun, bermain permainan komputer, memancing, menonton televisyen dan sebagainya.
      
     Seperti orang lain, saya juga mempunyai hobi . Hobi saya ialah bermain bola sepak. Hobi ini saya lakukan pada waktu petang selepas belajar dan menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru.
    
     Saya bermain bola sepak di satu kawasan lapang bersama rakan-rakan yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Biasanya kami mula bermain pada pukul 5.30 petang.  Kami sering mengadakan perlawanan sesama sendiri. Ibu bapa saya memberikan galakan kepada saya dengan membeli kasut bola dan sebiji bola sepak yang bermutu. Hal ini kerana hobi bermain bola sepak banyak faedahnya.
     
     Melalui hobi ini saya dapat menyihatkan badan. Apabila bermain bola sepak, saya menggunakan banyak tenaga dan pergerakan.  Lemak dan kalori yang berlebihan dapat dibakar. Dengan ini berat badan saya dapat dikawal dan mengelakkan terjadinya obesiti.
    
    Selain itu, melalui hobi ini saya mendapat ramai kawan. Secara tidak langsung saya dapat belajar bergaul dengan orang lain dan merapatkan hubungan persahabatan dengan jiran-jiran saya. Jiran-jiran sangat penting kepada kita kerana merekalah yang akan membantu kita jika menghadapi masalah.
   
    Seterusnya, dengan   bermain bola sepak saya dapat meningkatkan kecergasan mental dan fizikal. Hal ini demikian kerana  dalam permainan bola sepak kita perlu mahir mengawal bola dan melakukan tendangan yang baik. Kita juga perlu cepat berfikir dan bertindak sekiranya ingin mencapai kemenangan.

    
      Kesimpulannya, hobi bermain bola sepak yang saya lakukan ini memberi pelbagai faedah. Hobi ini akan saya teruskan dan amat  berharap suatu hari nanti saya dapat mewakili sekolah dalam permainan ini.

Label: ,

Rabu, 16 Mac 2016

Karangan cerita (tindakan) "Sesat di hutan"




Soalan:

Semasa menyertai satu perkhemahan pengakap berdekatan satu kawasan hutan, kamu dan rakan kamu ditugaskan mencari kayu api untuk memasak makanan dan kegunaan malam kebudayaan. Setelah selesai mencari kayu api kamu berdua  tidak menemui jalan keluar.

Ceritakan tindakan yang kamu dan rakan lakukan untuk keluar dari hutan tersebut.

      Persatuan pengakap sekolah saya telah mengadakan satu perkhemahan di tepi sebatang sungai berdekatan sebuah kawasan hutan. Aku dan seorang rakan telah ditugaskan oleh Cikgu Mazlan untuk mencari kayu api. Tanpa membuang masa aku dan rakanku Amirul terus menuju ke kawasan hutan berdekatan kawasan perkhemahan kami.

       Kami berjalan menelusuri sebatang denai di dalam hutan itu . setelah sampai di satu kawasan kami melihat terdapat sebatang pokok tumbang. Kami segera memotong ranting dan dahan-dahan kecil untuk dijadikan kayu api. Setelah selesai memotong dan mengikat kayu-kayu itu, barulah kami tersedar bahawa kami telah tersesat. Kami tidak dapat mengingati arah untuk pulang ke khemah semula. Kami berasa sangat takut tambahan pula, terdengar pelbagai suara yang pelik-pelik di dalam hutan itu. Aku segera menjerit memanggil Cikgu Mazlan dan rakan-rakan yang lain. Tetapi jeritan ku sia-sia sahaja.

      Setelah puas menjerit, kami pun duduk termenung sambil berfikir cara untuk keluar dari kawasan hutan itu. Kami berdua sepakat mencari jalan keluar. Kami berjalan menuju ke tebing sungai kerana pada pendapat kami lebih mudah menelusuri sungai untuk ke tapak perkhemahan. Kami juga teringat bahawa tapak perkhemahan kami terletak  di tepi sebatang sungai. Sambil berjalan kami mematahkan ranting-ranting kayu di sepanjang laluan kami.

     Hari semakin senja, namun kawasan perkhemahan kami masih belum ditemui. Kami bertambah takut apabila memikirkan ancaman binatang-binatang buas dan kegelapan malam menyukarkan pergerakan kami.  Setelah penat berjalan kami duduk berehat di tepi sungai tersebut. Tiba-tiba aku teringat bahawa aku ada membawa pemetik api bersama-sama.  Aku segera menghidupkan api menggunakan ranting-ranting dan daun-daun kering. Di samping untuk menghalau nyamuk dan keselamatan diri kami, aku berharap agar asap dari pembakaran tersebut dapat dilihat oleh Cikgu Mazlan dan rakan-rakan kami yang lain.

    Tidak beberapa lama kemudian aku terdengar namaku dipanggil. Rupa-rupanya Cikgu Mazlan dan beberapa orang rakan telah sampai ke tempat kami. Mereka memberitahu bahawa tindakan aku mematahkan ranting-ranting kayu dalam perjalanan dan asap daripada unggun api itulah yang membantu mereka menemui kami.

      Kami akhirnya terselamat. Cikgu Mazlan memuji tindakan kami yang dianggap bijak. Cikgu Mazlan juga mengingatkan kami agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Label: ,

Selasa, 15 Mac 2016

Karangan UPSR "Pengalaman menyaksikan sambutan ulang tahun Hari Malaysia"



Karangan pengalaman /cerita

Soalan:

16 September setiap tahun adalah ulang tahun penubuhan negara kita  Malaysia. Sempena hari ulang tahun tersebut, pelbagai acara diadakan di seluruh negara. Kamu dan rakan-rakan pernah menyaksikan acara  sambutan ulang tahun  tersebut. 

Ceritakan pengalaman kamu itu.

    Pada 16 September tahun lepas, saya dan rakan-rakan telah berpeluang menyaksikan ulang tahun sambutan hari penubuhan negara kita Malaysia. Sambutan tersebut telah diadakan di dataran perbandaran berhampiran tempat tinggal saya.

     Kami tiba di dataran perbandaran itu kira-kira pada pukul lapan pagi. Kami melihat orang ramai telah berkumpul sepanjang dataran. Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum mengibarkan Jalur Gemilang. Kami  berlima terus menyertai mereka sambil mengibarkan Jalur Gemilang yang kami bawa dari rumah.

    Seterusnya kami melihat pula perarakan kebudayaan oleh kaum-kaum utama di Malaysia. Mereka terdiri daripada Kaum Melayu, Cina, dan India. Mereka berarak dengan berpimpin tangan antara satu sama lain. Perarakan ini melambangkan perpaduan yang jitu antara kaum-kaum utama di Malaysia walaupun berbeza budaya dan agama. 

      Kira-kira pada pukul 9.30 pagi, saya dan rakan-rakan berpeluang pula menyaksikan perarakan kebudayaan oleh kumpulan etnik iaitu Bajau, Murut, Iban, Melanau, dan Orang Asli.  Mereka berpakaian tradisional mengikut budaya etnik masing-masing. Suasana sungguh ceria dan indah sekali dengan pakaian para peserta perarakan yang berwarna-warni. Kami berlima tidak melepaskan peluang merakam gambar sebagai kenang-kenangan.

      Acara terakhir yang kami saksikan pada hari tersebut ialah tayangan video pada skrin besar. Melalui tayangan ini, orang ramai berpeluang menyaksikan sejarah penubuhan negara kita Malaysia. Selain itu, video tersebut juga memaparkan keunikan negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi hidup bersatu padu antara satu dengan yang lain. Keadaan ini bertepatan dengan peribahasa Melayu iaitu "Bagai aur dengan tebing".

     Kami pulang ke rumah setelah semua acara selesai. Saya sangat gembira kerana berpeluang menyaksikan sambutan ulang tahun penubuhan Malaysia kerana mendapat pelbagai pengalaman dan pengetahuan mengenai  negara  kita Malaysia. Saya juga merasa bangga dan bertuah menjadi seorang daripada rakyat Malaysia.

Label: ,

Ahad, 13 Mac 2016

Karangan UPSR "Ucapan perpisahan akhir tahun"



Soalan:

Sebagai ketua kelas,  kamu diminta untuk berucap sempena majlis perpisahan akhir tahun.

Tulis teks ucapan kamu itu selengkapnya.

     Yang dihormati Pengerusi Majlis, Yang berusaha Encik Ahmad Suhardi, Guru Kelas 6 Zamrud, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan rasa berbesar hati dan ribuan terima kasih saya ucapkan atas kepercayaan kepada saya untuk mewakili rakan-rakan menyampaikan ucapan sempena majlis perpisahan kita pada hari ini.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,

    Enam tahun lamanya kita bersama-sama menuntut ilmu di sekolah ini. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai suka duka kita tempuhi bersama. Berbagai-bagai ilmu pengetahuan telah kita timba daripada barisan guru yang berdedikasi. Oleh yang demikian, amat wajar dalam ucapan ini saya mewakili rakan-rakan yang lain merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas didikan dan pengorbanan para guru sekalian.

     Sepanjang tahun 2016 ini pelbagai cabaran telah kita tempuhi bersama-sama. Tambahan pula, pada tahun ini kita menduduki Peperiksaan UPSR iaitu peperiksaan terpenting untuk menguji pencapaian kita sepanjang enam tahun berada di sekolah rendah. Terima kasih tidak terhingga kami rakamkan kepada guru kelas dan guru Bahasa Melayu  kami iaitu Cikgu Ahmad Suhardi  yang tanpa jemu memberi tunjuk ajar kepada kami. Demikian juga kepada guru-guru yang mengajar dan membimbing kami dalam mata pelajaran lain.

Rakan-rakan yang dikasihi,

    Selepas ini kita akan melangkah kaki ke sekolah menengah. Corak pembelajaran dan pergaulan sudah tentu amat berbeza daripada sekolah rendah. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan rakan-rakan  agar sentiasa menjaga nama baik guru-guru sekolah ini. Elakkan diri kita daripada terjebak masalah disiplin ketika di sekolah menengah nanti. Setiap kelakuan kita adalah cerminan guru-guru kita di sekolah rendah.

     Selain itu, pada tahun-tahun mendatang, kita akan menempuhi alam remaja. Alam remaja kata orang banyak pahit manisnya. Jika kita tidak berhati-hati, kemungkinan besar kita akan terjebak dengan perkara-perkara negatif yang akan memusnahkan hidup kita. Oleh yang demikian, sekali lagi saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan yang dikasihi agar sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan. Gunakan segala ilmu dan panduan yang telah diberikan oleh guru-guru kita.

        Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru. Saya juga mewakili rakan-rakan sekelas mendoakan agar semua guru berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan dapat menjalankan tugas-tugas mendidik anak bangsa dengan  sempurna.

Serangkap pantun lama adalah penutup bicara;

Kalau ada sumur di ladang;
Boleh saya menumpang mandi,
   Kalau ada umur yang panjang;
   Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.


Label: ,

Sabtu, 12 Mac 2016

Karangan UPSR "Surat Kiriman Tidak Rasmi" Surat kepada kawan




Soalan:

Pada tahun ini kamu akan menduduki Peperiksaan UPSR. Pelbagai persediaan telah kamu
lakukan.
           
Tulis sepucuk surat kepada rakan kamu untuk menceritakan tentang persediaan kamu itu.
       

                                                                                                         Nur Asmida Binti Azlan,
                                                                                                         Lot 2005, Kg Panchor Kemumin,
                                                                                                         16100 Pengkalan Chepa,
                                                                                                         Kelantan.

                                                                                                         12 MAC 2016 .

    
Menemui sahabatku, Amalin Husna yang kini berada di Johor Bharu semoga berada dalam keadaan afiat.  Apa  Khabar saudari? Saya di sini dalam keadaan sihat sejahtera. Demikian juga harapan saya terhadap saudari sekeluarga.

      Bagaimana keadaan pelajaran saudari? Saya berharap saudari sentiasa beroleh kejayaan yang cemerlang setiap kali menghadapi ujian. Tambahan pula pada tahun ini kita akan menghadapi peperiksaan yang penting yang akan menentukan hala tuju persekolahan kita pada tahun-tahun mendatang.

Saudari yang dikasihi,

     Tentunya saudari sedang sibuk membuat pelbagai persediaan untuk menghadapi Peperiksaan UPSR nanti. Saya di sini juga demikian. Pelbagai persiapan telah dan sedang saya lakukan. setakat ini,  saya belum lagi tidak hadir ke sekolah. Pada saya kehadiran ke sekolah sangat penting kerana setiap hari pasti ada sahaja topik baharu yang akan diajar oleh cikgu. Jika kita ketinggalan, maka sukarlah untuk kita memahami topik atau tajuk tersebut.

      Selain itu, saya juga mengulangkaji pelajaran pada waktu petang. Hal ini saya lakukan agar perkara yang diajar oleh guru di sekolah akan kukuh diingatan saya. Saya juga membuat latihan dengan menjawab soalan-soalan tahun-tahun lepas.

        Pada waktu malam pula saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberi oleh guru. Melalui tugasan ini saya dapat menambahkan kefahaman saya terhadap sesuatu tajuk. Hal ini akan meningkatkan prestasi pencapaian saya.

      Pada hari minggu pula, saya akan belajar bersama-sama rakan-rakan yang tinggal berdekatan rumah saya. Kami mengadakan kumpulan perbincangan. Segala topik pembelajaran yang tidak difahami, kami akan bincangkan bersama-sama. Dengan cara ini kami dapat berkongsi idea dan pandangan serta membetulkan kesilapan.

      Bagaimana pula dengan saudari? Saya berharap agar saudari dapat pula menceritakan kepada saya persiapan yang saudari lakukan. Manalah tahu jika saya dapat mencontohinya demi meningkatkan pencapaian saya.

    Sekian dahulu untuk kali ini. Saya berharap agar kita dapat bersua lagi pada warkah yang akan datang.

                                                                                                                        Yang benar

                                                                                                                           ASMIDA

Label: ,

"Kuiz oline Kata Bantu"

Label:

"Kuiz online Kata Bilangan"

Label:

TatabahasaUPSR "Kata Bilangan"

Label:

Jumaat, 11 Mac 2016

Karangan UPSR "Bagaimana Menulis karangan yang baik?"


Bagaimana Menulis karangan yang baik?   (2)

  Dalam penulisan sesebuah karangan, bahagian isi karanganlah yang paling penting dan perlu diberi perhatian. Bahagian ini merupakan nyawa kepada sesebuah penulisan. Oleh yang demikian, menulis bahagian ini perlu diberi perhatian yang serius.

Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menghasilkan isi penulisan yang baik?


  1. Karangan yang bermutu perlu mempunyai isi yang mencukupi dan relevan atau sesuai dengan tajuk atau soalan yang dikemukakan.
  2. Bina rangka karangan terlebih dahulu walaupun ringkas supaya kita tidak terkeluar daripada tajuk atau soalan yang dijawab. langkah ini juga penting untuk mengelakkan kita kehilangan idea untuk menulis.
  3. Sekiranya kita menulis karangan cerita, elakkan menulis dialog atau percakapan dalam penulisan (kecuali menulis cerpen). Ramai murid-murid yang gemar menulis dialog ketika menulis karangan cerita. hal ini menyebabkan penulisan meleret-leret dan terkeluar daripada tajuk yang ingin ditulis. Sebaik-baiknya murid-murid  menggunakan ayat dalam bentuk cakap pindah.
  4. Penggunaan tanda baca (koma, noktah, huruf besar, huruf kecil) perlu diberi perhatian. Kesilapan penggunaan tanda baca menyebabkan kesalahan yang akan ditolak markah oleh pemeriksa.
  5. Gunakan penanda wacana dan kata hubung yang sesuai untuk menyambung ayat dan menunjukkan wujudnya pertalian (pertautan) idea.

Sekian,  terima kasih.

Label:

KaranganUPSR cerita Tindakan yang dilakukan "Tindakan melihat murid tahun 1 menangis di sekolah"



Karangan Cerita (tindakan)

Soalan:

Kamu dan seorang rakan sedang berjalan ke kantin untuk rehat. Semasa dalam perjalanan kamu ternampak seorang murid tahun 1 sedang menangis.

Ceritakan tindakan kamu dan rakan ketika itu

    Setelah loceng rehat berbunyi, aku dan Syafikah terus bergegas ke kantin untuk makan. Sambil membimbit botol air,  kami berbual-bual tentang pelajaran. Tiba-tiba kami ternampak seorang budak perempuan sedang menangis di belakang kantin sekolah.

    Aku  mengajak Syafikah menyiasat perkara yang berlaku. Kami segera menuju ke arah budak perempuan itu. Aku bertanya sebab budak itu menangis. Namun dia tidak menjawabnya kerana ketakutan.
     Setelah beberapa kali memujuknya dengan pelbagai cara, akhirnya budak perempuan itu memberitahu bahawa dia kehilangan wang untuk membeli makanan. Dia menangis kerana sedih dan terasa lapar.

      Aku dan rakanku mengajak budak itu mencari wangnya di dalam kelas. Setelah mencari di dalam meja dan begnya, wang tersebut gagal ditemui. Kemudian kami berdua membawa murid tersebut bertemu dengan guru kebajikan murid sekolah kami. Ustazah Rosni iaitu guru kebajikan murid meminta aku menceritakan hal yang berlaku. Setelah beliau berpuashati dengan penerangan aku serta pengakuan budak tersebut, beliau memberikan wang sebanyak tiga ringgit kepada budak tersebut untuk membeli makanan di kantin. Wang tersebut adalah wang tabung kebajikan murid.

     Kemudian, aku,  Syafikah, dan budak perempuan itu segera menuju ke kantin untuk membeli makanan. Aku menolong budak perempuan itu membeli makanan dan minuman. Setelah itu, kami duduk di tempat yang disediakan dan makan bersama-sama. Budak perempuan itu mengucapkan terima kasih atas pertolongan kami berdua.

      Setelah loceng berakhirnya waktu rehat berbunyi, kami segera menuju ke kelas masing-masing. Aku dan Syafikah berasa sangat gembira kerana kami telah berjaya membantu murid lain yang ditimpa masalah.

Label: ,

Rabu, 9 Mac 2016

Karangan UPSR "Bagaimana menulis karangan bahagian C yang baik?"

Bagaimana menulis karangan bahagian C yang baik?


Bahagian 1

Semua calon UPSR atau mana-mana calon  di semua peringkat peperiksaan ingin menulis karangan atau esei yang baik kerana hal ini yang akan menentukan markah yang bakal diperoleh oleh setiap murid atau calon. Tetapi persoalannya, bagaimana menulis atau menghasilkan karangan yang baik?

      Semua guru Bahasa Melayu menekankan hal ini dan memberikan tip-tip, petua atau kaedah yang hampir sama. Walau bagaimanapun, saya ingin menarik perhatian calon-calon UPSR tentang beberapa hal atau perkara asas yang perlu diperhatikan melalui tajuk saya pada kali ini "Bagaimana menulis karangan yang baik?"  Sebagai permulaan beberapa perkara asas perlu diketahui oleh murid-murid antaranya ialah:-

  •  Murid-murid atau calon perlu memahami kehendak soalan atau tajuk yang diberi. Hal ini    sangat penting supaya murid-murid tidak terkeluar daripada tajuk atau tugasan yang   diarahkan.  Ramai calon-calon tidak memahami kehendak soalan.

  • Murid-murid perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi (banyak) tentang sesuatu tajuk terutamanya karangan berbentuk fakta, ceramah, syarahan, ucapan dan perbahasan.


  • Murid-murid  juga perlu menguasai format penulisan yang betul sekiranya ingin menulis karangan berformat seperti syarahan, ucapan, ceramah, laporan, perbahasan, surat kiriman dan sebagainya. Kegagalan menguasai format penulisan menyebabkan calon dianggap tidak menjawab tugasan yang diberikan.

  • Murid-murid  juga hendaklah mencatat isi-isi penting yang akan ditulis dalam karangan  terlebih dahulu.


  • Isi-isi penting atau utama perlu dihuraian dan diberi contoh yang sesuai untuk menunjukkan isi tersebut relevan atau sesuai dengan tajuk.

  • Murid-murid perlu menggunakan perbendaharaan kata yang pelbagai dan tepat ketika menghuraikan isi-isi karangan. Elakkan penggunaan perkataan  yang berulang-ulang kerana hal ini menunjukkan kita ketiadaan idea atau miskin kosa kata. 


  • Jangan sesekali menggunakan isi yang sama atau mengulang isi dalam perenggan. Elakkan juga menulis dua isi utama dalam satu perenggan.

  • Penggunaan penanda wacana yang tepat sangat penting untuk menunjukkan wujudnya pertautan antara isi dalam setiap perenggan (adanya koheran).


  • Untuk peringkat UPSR, karangan dengan 4 isi yang ditulis dalam 4 perenggan lengkap sudah dikira mencukupi.

  • Murid-murid juga perlu menulis pendahuluan karangan yang sesuai iaitu pendahuluan yang dapat memberi gambaran isi-isi penulisan yang akan dikemukakan (ditulis).
  • Membuat penutup atau kesimpulan yang baik dan sesuai kepada isi-isi yang dibincangkan. Jangan menulis isi atau mengulang semula isi pada bahagian penutup atau kesimpulan.
Secara keseluruhannya, sesebuah karangan yang baik untuk peringkat UPSR seharusnya mempunyai  6 perenggan iaitu :-

1 perenggan pendahuluan.

4 perenggan isi.

1 perenggan penutup

Dengan jumlah perkataan keseluruhan antara 80 patah perkataan hingga 120 patah perkataan.


Sekian, terima kasih.


akan bersambung ke bahagian 2..

Label:

Selasa, 8 Mac 2016

Karangan UPSR keperihalan (cerita) "Persediaan menghadapi peperiksaan UPSR"


Soalan:

Persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan amat penting agar kita berjaya dengan cemerlang.
Ceritakan persediaan yang kamu lakukan untuk menduduki peperiksaan UPSR.

   Semua murid berkeinginan mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan. Demikian juga dengan saya. Saya akan menduduki Peperiksaan UPSR pada tahun ini. Untuk memastikan saya berjaya dengan cemerlang pelbagai persediaan telah saya lakukan.

      Pada waktu petang setelah pulang dari sekolah, saya akan mengulangkaji pelajaran di rumah. Ulangkaji ini saya lakukan untuk mengukuhkan ingatan saya terhadap pengajaran guru pada hari tersebut. Dengan cara ini ingatan dan kefahaman saya terhadap sesuatu tajuk bertambah kukuh.

      Selain itu, pada waktu malam saya akan menyiapkan semua tugasan sekolah yang diberikan oleh guru. Sesuatu tugasan yang sukar atau tidak dapat saya selesaikan, saya akan bertanya kepada abang atau kakak saya. dengan cara ini saya dapat memahami tajuk-tajuk yang sukar dengan lebih baik lagi.

   Saya juga membentuk kumpulan belajar dengan rakan-rakan yang tinggal berhampiran dengan rumah saya dan belajar di sekolah lain.  Kami berbincang dan membuat latihan bersama-sama dengan menggunakan buku rujukan yang kami beli. Dengan cara ini saya dapat berkongsi idea dan pendapat. Banyak tajuk-tajuk dan corak soalan yang sukar dijawab dapat saya selesaikan apabila mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekumpulan.

     Ketika berada di dalam kelas, saya memberi perhatian dan mendengar dengan tekun setiap pengajaran guru. Saya tidak segan untuk bertanya kepada guru sekiranya saya tidak memahami sesuatu perkara yang diajar.  hal ini demikian kerana  saya menganggap  setiap patah ajaran guru ialah ilmu yang amat bernilai harganya.

  Saya amat berharap dengan persediaan sebegini, saya akan lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan UPSR yang akan diadakan pada bulan September nanti. Saya ingin belajar di sekolah yang terpilih sepertimana kakak dan abang saya.
 

Label: ,

Sabtu, 5 Mac 2016

Karangan fakta UPSR "Cara-cara berbelanja dengan berhemat".


Karangan fakta 

Soalan: 

Setiap orang digalakkan berjimat cermat ketika berbelanja supaya kita tidak menghadapi masalah kewangan.
Tulis sebuah karangan berdasarkan tajuk "Cara-cara berbelanja dengan berhemat".

    Setiap orang seharusnya berbelanja secara berhemat atau berjimat cermat agar tidak akan menghadapi masalah kewangan atau kekurangan wang ketika memerlukan sesuatu yang penting. Terdapat banyak cara berbelanja secara berhemat.

     Kita seharusnya tidak menghabiskan wang perbelanjaan harian. sebagai contoh, sekiranya kita memperuntukkan wang belanja harian kita sebanyak lima ringgit sehari, kita sepatutnya tidak menghabiskan sebanyak wang  lima ringgit tersebut. Kita haruslah mempunyai sedikit baki untuk disimpan di dalam tabung. Simpanan ini dapat kita gunakan untuk perbelanjaan perkara-perkara yang penting sahaja.

   Selain itu, kita juga perlu mempunyai sebuah buku catatan untuk mencatat perbelanjaan kita. Dalam catatan tersebut kita masukkan jumlah wang yang kita terima dan jumlah wang yang dibelanjakan. Dengan cara ini kita dapat mengetahui jumlah perbelanjaan harian kita dan jumlah wang yang dapat kita simpan.

Di samping itu kita seharusnya membelanjakan wang untuk barang-barang keperluan sahaja seperti membeli makanan, minuman dan barang-barang keperluan persekolahan kita. Elakkan diri daripada membeli barangan yang kurang diperlukan. Dengan cara ini kita dapat memastikan keperluan asas kita mencukupi dan tidak berlaku pembaziran atau bersikap boros.

    Kita juga perlulah sentiasa memilih tempat dan masa yang sesuai  untuk membelanjakan wang kita. Contohnya,  jika sesuatu barangan yang kita perlukan itu mahal di pasaraya, kita boleh membelinya di tempat lain yang lebih murah seperti di pasar malam atau pasar tani. Demikian juga jika kita ingin berbelanja seperti membeli pakaian kita perlulah membelinya ketika di adakan jualan murah atau potongan harga. Dengan cara ini kita boleh menjimatkan wang kita.

       Kesimpulannya, banyak cara boleh kita lakukan agar perbelanjaan kita dibuat secara berhemat dan mengelakkan kita daripada bersikap boros ketika berbelanja.

Label:

Nota Tatabahasa UPSR "Kata Hubung"



Kata Hubung

Apakah kata hubung?

Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menyambung dua atau lebih perkataan, frasa  dan ayat tunggal menjadi ayat majmuk atau ayat berlapis.

Kata hubung terbahagi kepada tiga jenis iaitu:-
Kata hubung pancangan

1. Berfungsi menyambungkan klausa tak setara pada klausa induk.
2. Kata hubung pancangan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

    - Kata hubung pancangan relatif
    - Kata hubung pancangan komplemen
    - Kata hubung pancangan keterangan

3. Kata hubung pancangan relatif 

   berfungsi  untuk  menghubungkan  klausa     utama dengan klausa yang kecil.  Contoh kata hubung jenis ini ialah perkataan    yang
   Contoh ayat:
  •  Lelaki bermisai  tebal yang segak  itu ialah  ayah saya.
  •  Bapa sayalah yang sedang bekerja itu.
  •  Banduan yang melarikan diri itu telah ditangkap


4. kata hubung pancangan komplemen

 berfungsi menghubungkan satu klausa   yang menjadi pelengkap pada satu klausa    induk

5.  Terdapat dua kata hubung pancangan komplemen iaitu bahawa  dan  untuk.

     Contoh ayat:
  •          Ibu memberitahu saya bahawa  kuih itu sangat sedap.
  •          Untuk  kesana dia perlu menyemberangi sebatang anak sungai.


6. Kata hubung pancangan keterangan

    bertugas untuk menghubungkan  antara ayat induk dengan ayat yang lebih   
    kecil ( tidak setara) dan berfungsi    sebagai keterangan kepada predikat.

Contoh ayat:

  •          Dia tidak hadir kerana sakit kepala.
  •          Tatkala saya sampai ke rumahnya, dia masih tidur.
  •          Andaikata pencuri itu menceroboh, kita akan laporkan kepada polis.


7. Kata hubung gabungan

  berfungsi menghubungkan dua kalusa atau lebih yang  bersifat setara atau sama  taraf.   Kata hubung jenis ini selalunya diletakkan   ditengah ayat. Ayat yang terhasil    daripada kata hubung ini dipanggil ayat majuk   gabungan.  Kata  hubung jenis ini    tidak boleh diletakkan pada pangkal ayat.

   Contoh ayat:
  •          Bapa masuk lalu duduk di atas kerusi.
  •          Bukan saya sahaja yang menulis malahan adik saya juga berbuat demkian.


8. kata hubung berpasangan 

berfungsi menggabungkan dua atau lebih ayat yang setara (setaraf) dan selalunya menunjukkan wujudnya pertentangan antara dua keadaan. Penggunaan kata hubung berpasangan akan menghasilkan ayat majmuk gabungan.

     Contoh ayat:
  •    Sama ada dia atau adiknya perlu menyelesaikan hal ini.
  •    Daripada kamu menonton televisyen lebih baik kamu membaca buku.
  •  Sedangkan  pada peringkat ini pun kita tewas, apatah lagi  pada peringkat      suku akhir.


Kesimpulannya, kata hubung berfungsi untuk:
Menghubungkan  perkataan dengan perkataan dan ayat dengan ayat untuk membentuk ayat majmuk.



Rujukan: buku tatabahasa dewan
                 Laman web Pusat rujukan persuratan melayu DBP









Label:

Jumaat, 4 Mac 2016

Karangan UPSR "Syarahan Cara-Cara Menjaga Keselamatan Di Jalan Raya"


Soalan: 

Kemalangan jalan raya yang ngeri sering berlaku. Antara penyebabnya ialah kelalaian pengguna jalan raya sendiri. Kamu telah mewakili kelas kamu  dalam satu pertandingan syarahan peringkat sekolah.
Tajuk syarahan tersebut ialah , "Cara-cara Menjaga  Keselamatan Di Jalan Raya".

Tulis teks syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Yang dihormati barisan para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan rakan-rakan.  Assalamualaikum dan selamat sejahtera.   Pada pagi yang ceria ini, saya mewakilli kelas saya tahun 6 Zamrud,  akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk "Cara-cara Menjaga Keselamatan Di Jalan Raya".

Hadirin sekalian,

       Saban hari kita mendengar dan membaca banyak berita mengenai kemalangan jalan raya yang ngeri sehingga mengorbankan banyak nyawa dan pada masa yang sama ramai yang mengalami kecederaan parah dan kehilangan anggota badan. Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2014 oleh Universiti Michigan Amerika Syarikat, negara kita menduduki tempat ke 17 teratas jumlah kematian di jalan raya di dunia. Kajian oleh MIROS menunjukkan bahawa kebanyakan kemalangan adalah berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya sendiri. Oleh yang demikian adalah penting setiap dari kita menjaga keselamatan di jalan raya.

     Antara cara-cara menjaga keselamatan di jalan raya ialah dengan merancang perjalanan kita terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana banyak kemalangan berpunca daripada pemanduan yang terburu-buru dan hendak cepat sampai ke destinasi. Perjalanan yang tidak dirancang menyebabkan seseorang itu memandu laju dan secara melulu kerana bimbang terlewat. Jika sesuatu perjalanan dirancang terlebih dahulu maka seseorang itu boleh memandu dengan tenang.

       Selain itu, kita semua sepatutnya mematuhi semua undang-undang dan peraturan jalan raya. Banyak kemalangan jalan raya berpunca daripada kegagalan mematuhi undang-undang dan peraturan. Sebagai contoh, kemalangan ngeri selalu berlaku di kawasan jalan raya yang berselekoh tajam. Ada pemandu yang gemar memotong kenderaan lain di tempat-tempat sebegini walaupun berbahaya dan boleh mengundang padah. Mereka tidak menghiraukan papan tanda "Dilarang memotong" atau garisan berkembar.

hadirin yang dikasihi sekalian,

    Kita juga perlu bertindak bijak sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Kita sepatutnya memeriksa terlebih dahulu kenderaan kita. Kita mesti memastikan semua komponen keadaan kita berfungsi dengan baik. Sistem brek, lampu isyarat, lampu hadapan dan tayar kenderaan kita perlu berada dalam keadaan terbaik sebelum memulakan perjalanan.

     Sebagai kesimpulannya, Menjaga keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua orang. Jika semua pengguna jalan raya menjaga  keselamatan, maka kemalangan dapat dielakkan. akhir kata, menjaga keselamatan di jalan raya adalah tanggung jawab bersama.

Sekian, terima kasih.

Label:

Rabu, 2 Mac 2016

Kuiz Online "Bahasa Melayu Kertas 1 (Bahagian A)"

Label: