Ahad, 13 Mac 2016

Karangan UPSR "Ucapan perpisahan akhir tahun"



Soalan:

Sebagai ketua kelas,  kamu diminta untuk berucap sempena majlis perpisahan akhir tahun.

Tulis teks ucapan kamu itu selengkapnya.

     Yang dihormati Pengerusi Majlis, Yang berusaha Encik Ahmad Suhardi, Guru Kelas 6 Zamrud, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan rasa berbesar hati dan ribuan terima kasih saya ucapkan atas kepercayaan kepada saya untuk mewakili rakan-rakan menyampaikan ucapan sempena majlis perpisahan kita pada hari ini.

Guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati,

    Enam tahun lamanya kita bersama-sama menuntut ilmu di sekolah ini. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai suka duka kita tempuhi bersama. Berbagai-bagai ilmu pengetahuan telah kita timba daripada barisan guru yang berdedikasi. Oleh yang demikian, amat wajar dalam ucapan ini saya mewakili rakan-rakan yang lain merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas didikan dan pengorbanan para guru sekalian.

     Sepanjang tahun 2016 ini pelbagai cabaran telah kita tempuhi bersama-sama. Tambahan pula, pada tahun ini kita menduduki Peperiksaan UPSR iaitu peperiksaan terpenting untuk menguji pencapaian kita sepanjang enam tahun berada di sekolah rendah. Terima kasih tidak terhingga kami rakamkan kepada guru kelas dan guru Bahasa Melayu  kami iaitu Cikgu Ahmad Suhardi  yang tanpa jemu memberi tunjuk ajar kepada kami. Demikian juga kepada guru-guru yang mengajar dan membimbing kami dalam mata pelajaran lain.

Rakan-rakan yang dikasihi,

    Selepas ini kita akan melangkah kaki ke sekolah menengah. Corak pembelajaran dan pergaulan sudah tentu amat berbeza daripada sekolah rendah. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan rakan-rakan  agar sentiasa menjaga nama baik guru-guru sekolah ini. Elakkan diri kita daripada terjebak masalah disiplin ketika di sekolah menengah nanti. Setiap kelakuan kita adalah cerminan guru-guru kita di sekolah rendah.

     Selain itu, pada tahun-tahun mendatang, kita akan menempuhi alam remaja. Alam remaja kata orang banyak pahit manisnya. Jika kita tidak berhati-hati, kemungkinan besar kita akan terjebak dengan perkara-perkara negatif yang akan memusnahkan hidup kita. Oleh yang demikian, sekali lagi saya mengingatkan diri saya sendiri dan rakan-rakan yang dikasihi agar sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan. Gunakan segala ilmu dan panduan yang telah diberikan oleh guru-guru kita.

        Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru. Saya juga mewakili rakan-rakan sekelas mendoakan agar semua guru berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan dapat menjalankan tugas-tugas mendidik anak bangsa dengan  sempurna.

Serangkap pantun lama adalah penutup bicara;

Kalau ada sumur di ladang;
Boleh saya menumpang mandi,
   Kalau ada umur yang panjang;
   Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.


Label: ,

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama