Karangan UPSR "Surat Kiriman Tidak Rasmi" Surat kepada kawan
Soalan:
Pada tahun ini kamu akan menduduki Peperiksaan UPSR. Pelbagai persediaan telah kamu
lakukan.
Tulis sepucuk surat kepada rakan kamu untuk menceritakan tentang persediaan kamu itu.
Nur Asmida Binti Azlan,
Lot 2005, Kg Panchor Kemumin,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.
12 MAC 2016 .
Menemui sahabatku, Amalin Husna yang kini berada di Johor Bharu semoga berada dalam keadaan afiat. Apa Khabar saudari? Saya di sini dalam keadaan sihat sejahtera. Demikian juga harapan saya terhadap saudari sekeluarga.
Bagaimana keadaan pelajaran saudari? Saya berharap saudari sentiasa beroleh kejayaan yang cemerlang setiap kali menghadapi ujian. Tambahan pula pada tahun ini kita akan menghadapi peperiksaan yang penting yang akan menentukan hala tuju persekolahan kita pada tahun-tahun mendatang.
Saudari yang dikasihi,
Tentunya saudari sedang sibuk membuat pelbagai persediaan untuk menghadapi Peperiksaan UPSR nanti. Saya di sini juga demikian. Pelbagai persiapan telah dan sedang saya lakukan. setakat ini, saya belum lagi tidak hadir ke sekolah. Pada saya kehadiran ke sekolah sangat penting kerana setiap hari pasti ada sahaja topik baharu yang akan diajar oleh cikgu. Jika kita ketinggalan, maka sukarlah untuk kita memahami topik atau tajuk tersebut.
Selain itu, saya juga mengulangkaji pelajaran pada waktu petang. Hal ini saya lakukan agar perkara yang diajar oleh guru di sekolah akan kukuh diingatan saya. Saya juga membuat latihan dengan menjawab soalan-soalan tahun-tahun lepas.
Pada waktu malam pula saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah yang diberi oleh guru. Melalui tugasan ini saya dapat menambahkan kefahaman saya terhadap sesuatu tajuk. Hal ini akan meningkatkan prestasi pencapaian saya.
Pada hari minggu pula, saya akan belajar bersama-sama rakan-rakan yang tinggal berdekatan rumah saya. Kami mengadakan kumpulan perbincangan. Segala topik pembelajaran yang tidak difahami, kami akan bincangkan bersama-sama. Dengan cara ini kami dapat berkongsi idea dan pandangan serta membetulkan kesilapan.
Bagaimana pula dengan saudari? Saya berharap agar saudari dapat pula menceritakan kepada saya persiapan yang saudari lakukan. Manalah tahu jika saya dapat mencontohinya demi meningkatkan pencapaian saya.
Sekian dahulu untuk kali ini. Saya berharap agar kita dapat bersua lagi pada warkah yang akan datang.
Yang benar
ASMIDA
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama