Isnin, 29 Februari 2016

"Karangan Perbahasan: Internet Membawa Banyak Kebaikan Daripada Keburukan"




Kamu telah menyertai satu pertandingan perbahasan peringkat sekolah sebagai pembangkang. 
Tajuk perbahasan tersebut ialah "Internet Membawa Banyak Kebaikan Daripada Keburukan"

Tulis hujah-hujah kamu itu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pencadang yang budiman, guru-guru serta rakan sekalian.

      Sungguh menarik hujah-hujah pihak pencadang dalam menegaskan tajuk perbahasan pada hari ini iaitu "Internet Membawa Banyak Kebaikan daripada Keburukan". Namun sedarkah barisan pihak pencadang bahawa hujah-hujah tersebut hanya sekadar khayalan yang tidak berpijak di alam nyata.
Hujah barisan pihak pencadang yang pertama iaitu Penggunaan internet yang meluas memudahkan penyampaian berita. Sedarkah pihak pencadang bahawa semenjak rakyat Malaysia mengenal internet, banyak berita-berita palsu dan fitnah tersebar secara berleluasa di alam maya. Berita-berita yang tidak sahih dan tidak dapat dipastikan sumbernya mudah dipercayai oleh orang ramai. Keadaan ini jika dibiarkan boleh menimbulkan permusuhan dan menggugat keamanan negara.

      Selain itu, Barisan pihak pencadang juga mengatakan bahawa murid-murid dapat belajar dengan mudah dan mendapatkan bahan-bahan pembelajaran secara dalam talian. Sememangnya diakui bahawa banyak platform, laman web, dan blog yang menyediakan sumber pembelajaran untuk diakses. Walau bagaimanapun, tahukah barisan pencadang bahawa banyak kajian yang mendedahkan bahawa kebanyakan murid-murid dan remaja banyak menghabiskan masa menggunakan media sosial untuk berbual-bual kosong secara maya berbanding penggunaan melayari laman-laman dan platform pembelajaran. Bukankah aktiviti sebegini menyebabkan murid-murid hilang tumpuan untuk belajar?

      Seterusnya, Melalui penggunaan internet yang tidak terkawal, banyak hal-hal yang negatif mudah diakses oleh orang ramai termasuk kanak-kanak dan remaja. Sebagai contoh, terdapat banyak laman-laman lucah dan "porno" mudah diakses oleh sesiapa sahaja yang menggunakan internet. Ibu bapa tidak mampu mengawal dan mengawasi anak-anak daripada melayari laman-laman sebegini kerana kesuntukan masa dan kesibukan bekerja. Hal ini menjadi lebih parah lagi sekiranya kanak-kanak dan remaja terpengaruh dan meniru perbuatan tersebut.

        Penipuan dan aktiviti jenayah juga banyak terjadi melalui penggunaan internet. Banyak penjenayah melakukan kegiatan mereka secara dalam talian untuk mempengaruhi dan menipu orang ramai. Sebagai contoh,skim cepat kaya dan "Money Scam" begitu berleluasa menipu orang ramai sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit. Adakah perkara-perkara negatif begini dapat dikatakan internet memberikan banyak kebaikan kepada kita?

       Sebagai penutup hujah-hujah saya, sekali lagi saya tegaskan kepada  barisan pihak pencadang bahawa hujah-hujah yang kalian kemukakan sekadar khayalan yang sukar menjadi kenyataan. Sedarlah wahai barisan pihak pencadang bahawa "Internet Membawa Banyak Keburukan Daripada Kebaikan".

Sekian terima kasih.
















 

Label:

Jumaat, 26 Februari 2016

Karangan fakta " Kepentingan menyertai kegiatan kokurikulum kepada murid-murid"



Karangan  Fakta

Soalan:

Kegiatan kokurikulum yang diadakan di sekolah adalah aktiviti penting yang perlu disertai oleh semua murid.
Tulis sebuah karangan tentang “kepentingan kegiatan kokurikulum kepada murid-murid.”  
      
Kegiatan kokurikulum ialah kegiatan luar bilik darjah yang merangkumi tiga bidang utama iaitu pasukan pakaian seragam, sukan dan permainan serta kelab dan persatuan. Semua murid-murid diwajibkan menyertai kegiatan – kegiatan ini. Hal ini demikian, kerana kegiatan kokurikulum amat penting kepada semua murid.
   
   Menyertai kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang dan mengelakkan daripada terbuang secara sia-sia. Sekiranya masa lapang tidak terisi dengan kegiatan kokurikulum,  berkemungkinan kita akan mudah terjebak dengan kegiatan yang negatif seperti melepak, menunggang dan berlumba motosikal secara haram. Kegiatan sebegini akan menjejaskan pelajaran kita.
     
   Selain itu, menyertai kegiatan kokurikulum juga dapat membantu kita menambahkan pengetahuan dan pengalaman.  Bukan semua pengalaman dan pengetahuan boleh diperoleh di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, pengalaman berkhemah dan ilmu berkawad tidak di ajar oleh guru di dalam bilik darjah. Ilmu dan pengetahuan sebegini dapat kita peroleh apabila menyertai pasukan pakaian seragam seperti pengakap, tunas kadet remaja, dan persatuan bulan sabit merah.
      
    Seterusnya, dengan menyertai kegiatan kokurikulum murid-murid boleh melatih diri menjadi  orang yang berdisiplin, bertoleransi dan menyemai sifat setiakawan.  Hal ini demikian kerana,  melalui kegiatan kokurikulum kita akan selalu digalakkan untuk  menepati waktu, bertolak ansur dan  bekerjasama sesama rakan sepasukan. Contohnya, jika kita menyertai permainan bola sepak, kita perlu bekerjasama  dan saling bertoleransi dengan rakan sepasukan  untuk mencapai kemenangan.  
    
    Kegiatan kokurikulum juga adalah salah satu cara untuk kita membina keyakinan  diri dan belajar berhadapan dengan orang lain. Melalui kegiatan kokurikulum,  kita dapat berlajar dan berlatih  menguruskan persatuan dan kelab. Sekiranya kita aktif dalam aktiviti persatuan dan kelab yang kita sertai, guru-guru akan melantik kita menjadi pemimpin atau ahli jawatankuasa yang membantu guru mengendalikan persatuan dan kelab. Dari sini,  kita dapat membina keyakinan diri dan berlatih menjadi seorang pemimpin.


     Kesimpulannya, menyertai aktiviti kokurikulum  sangat penting kepada semua murid. Oleh itu, kita sebagai murid perlu menyertainya dan bergiat aktif dalam aktiviti luar bilik darjah ini.

Label:

Rabu, 24 Februari 2016

Karangan keperihalan "Cara-cara menghormati guru"


Soalan:

Guru seumpama ibu bapa kepada murid-murid semasa berada di sekolah. Oleh yang demikian guru perlu dihormati.

Tulis sebuah karangan bertajuk Cara-cara menghormati guru.

      Semasa kita berada di sekolah, gurulah yang menjaga dan mendidik kita. Guru seumpama ibu bapa kepada kita sepanjang masa kita berada di sekolah. Kerana peranan yang sebegini besar maka guru amat perlu dihormati sepanjang masa.

    Pelbagai cara boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Salah satu caranya adalah dengan mengucapkan salam ketika kita bertemu dengan guru. Seorang guru akan merasa senang hati apabila murid-murid mengucapkan salam dan mendoakan kesejahteraanya.

   Seterusnya, sikap tekun belajar dan mendengar dengan teliti  setiap ajaran guru ketika berada di dalam kelas juga merupakan satu cara untuk  menghormati guru. Guru akan berasa bahagia dan dihargai apabila kita mendengar dengan teliti ketika mereka  mengajar. Guru kita pasti akan mengajar kita dengan penuh kesungguhan.

     Selain itu, kita juga boleh menghormati guru dengan cara bersikap sopan santun dan berbudi bahasa ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru. Murid yang berbudi bahasa dan bersopan santun juga akan lebih disayangi oleh guru. Sekiranya kita bersikap biadap ketika bercakap dan bertanyakan soalan kepada guru, sudah pasti akan membuatkan guru berasa terhina dan tidak dihormati. Oleh yang demikian kita hendaklah menjaga kelakuan kita ketika bercakap dengan guru.

    Di samping itu, jika kita melakukan kesilapan atau terlupa menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru, kita hedaklah memohon maaf. Sebagaimana di rumah, sekiranya kita tersilap maka kita meminta maaf daripada ibu bapa kita. Demikian juga ketika berada di sekolah.  Murid yang meminta maaf dan mengakui kesilapan yang dilakukan akan membuatkan guru berasa senang hati dan berasa lebih dihargai dan dihormati.

     Kesimpulannya, banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati guru. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa menghormati guru-guru kita kerana mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka mendidik kita.

Label:

Isnin, 22 Februari 2016

Karangan "Peribahasa: Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian"


Karangan peribahasa

Soalan: 

Tulis sebuah karangan berdasarkan peribahasa “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.”

      
  Amirul berasal dari sebuah kampung di pedalaman.  Ibu bapa Amirul bekerja mengambil upah menoreh getah di sebuah kebun kepunyaan ketua kampungnya. Pendapatan ibu bapa Amirul hanya sekadar cukup untuk perbelanjaan makan dan minum seharian. Seperti kata pepatah “kais pagi makan pagi,  kais petang makan petang”.
  
  Amirul dan dua orang adik orang perempuannya mengerti kesusahan keluarga mereka.  Mereka tidak meminta perkara yang bukan-bukan daripada kedua-dua ibu bapa mereka.  Mereka hanya mengharapkan sedikit wang untuk perbelanjaan persekolahan mereka.
  
  Walaupun hidup miskin, Amirul dan kedua-dua adiknya belajar dengan tekun. Setiap hari mereka berjalan kaki bersama-sam untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka. Mereka terpaksa berjalan kaki kerana kedua-dua ibu bapa mereka tidak mampu membeli basikal untuk mereka. Walaupun jauh, mereka tetap rajin ke sekolah setiap hari. Mereka tidak pernah mengeluh walaupun setiap hari bermandi peluh ketika hari panas atau bermandi hujan ketika musim tengkujuh.
   
        Pada waktu petang atau hari cuti,  Amirul  akan berkebun di belakang rumahnya. Walaupun kawasan belakang rumahnya sempit sahaja, tetapi Amirul berjaya menanam pelbagai jenis sayuran. Tanaman Amirul hidup subur kerana dia rajin menyiram dan membaja tanamannya.  Sedikit sebanyak hasil daripada kebun Amirul dapat menambah pendapatan keluarganya.
  
     Pada sebelah malam pula Amirul dan adik-adiknya akan mengulangkaji pelajaaran bersama-sama. Walaupun bertemankan pelita minyak tanah yang malap cahayanya, mereka tetap tekun menelaah pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru-guru mereka. Lantaran sikap mereka yang tabah dan sabar, mereka sering mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.

   
    Tetapi,  itu semua kisah lima belas tahun yang lalu. Kini Amirul telah bergelar seorang jurutera di sebuah syarikat petroleum negara. Adik-adiknya juga telah berjaya dalam pelajaran. Adik pertamanya telah menjadi seorang doktor pakar di Kuala Lumpur manakala   Adik bongsunya masih menuntut di tahun akhir dalam bidang teknologi  maklumat di Universiti Malaya. Kini, kesusahan  Amirul sekeluarga pada masa lalu telah menjadi kenangan. Kisah keperitan hidup, ketabahan, dan kejayaan Amirul serta adik-adiknya ini sesuai benar dengan peribahasa “Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian”.

Label:

Jumaat, 12 Februari 2016

Karangan perbahasan "Belajar secara berkumpulan lebih baik daripada belajar secara bersendirian"


Perbahasan: (pertandingan)
Contoh soalan:

Kamu telah menyertai satu pertandingan perbahasan peringkat sekolah. Sebagai seorang pencadang, kamu di kehendaki memberikan hujah bertajuk “ Belajar secara berkumpulan lebih baik daripada belajar secara bersendirian”.

Tulis hujah-hujah kamu selengkapnya.

Yang  Dihormati Tuan  Pengerusi Majlis,  Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Guru-Guru Penolong Kanan, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pembangkang, guru-guru dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.  ” Belajar  secara berkumpulan lebih baik daripada belajar secara bersendirian” begitulah tajuk perbahasan kita pada pagi ini.

    Terlebih dahulu,  izinkan saya menghuraikan maksud tajuk perbahasan pada pagi ini. Belajar adalah satu aktiviti untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Berkumpulan pula membawa maksud beramai-ramai, satu pasukan atau berkelompok. Secara ringkasnya,  tajuk pada hari ini membawa maksud belajar secara berkelompok atau berpasukan memberi banyak manfaat atau kesan positif kepada kita.

Hadirin sekalian,

   Melalui pembelajaran secara berkumpulan,  Kita dapat melakukan perbincangan secara mendalam terhadap sesuatu tajuk pembelajaran atau permasalahan yang timbul. Sudah tentu rakan sekumpulan dapat menyumbangkan idea-idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Sekiranya kita belajar secara bersendirian, hal ini tidak dapat kita lakukan.

      Selain itu, belajar secara berkumpulan juga dapat menyemai sikap setiakawan dan interaksi sesama ahli kumpulan. Sikap sebegini terhasil melalui aktiviti perbincangan ketika belajar. Ahli dapat memupuk sikap saling membantu sesama rakan sekumpulan.  Hal sebegini tidak akan kita alami sekiranya belajar secara bersendirian.


    Pembelajaran secara berkumpulan juga boleh memupuk sikap tolak ansur dan saling menghormati.  Ketika berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu perkara, pelbagai pendapat akan dikemukakan.  Sudah tentu berlaku perbahasan untuk menegaskan pendapat masing-masing.  Dari sinilah akan terpupuknya sikap tolak ansur, saling mengerti, dan menghormati pendapat orang lain. Sekiranya kita  belajar secara bersendirian,  nilai-nilai sebegini sudah tentu tidak dapat disemai dan dipupuk.

Barisan pembangkang dan hadirin yang dihormati sekalian,

   Sesungguhnya, dengan mengamalkan kaedah belajar secara  berkumpulan, pelbagai manfaat atau kebaikan akan kita peroleh. Oleh yang demikian,   Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa , belajar secara berkumpulan lebih baik daripada belajar  secara bersendirian.

Sekian , terima kasih.

Label:

Isnin, 8 Februari 2016

"Catatan"


Catatan  (beberapa hari)

Contoh soalan:

Kamu dan rakan-rakan kamu telah mengikuti perkhemahan pasukan  beruniform yang dianjurkan oleh unit beruniform sekolah kamu di sebuah kawasan hutan lipur.
Tulis sebuah catatan sepanjang kamu mengikuti perkhemahan tersebut.

Sabtu, 15 Januari 2016
Pagi-pagi lagi kami berkumpul di perkarangan sekolah. Aku dan rakan-rakan sangat ceria kerana kami  akan menyertai satu perkhemahan yang dianjurkan oleh unit beruniform di sebuah kawasan hutan  lipur.
    Kira-kira pada pukul  8.00  pagi, bas yang disewa khas untuk membawa kami tiba . kami segera memasukkan peralatan perkhemahan dan barang-barang yang akan kami bawa ke tempat meletak bagasi. Kemudian kami beratur untuk manaikki bas.
   Setelah tiba di kawasan perkhemahan, kami terus menurunkan barang-barang daripada bas. Guru pengiring kami, Cikgu Khairul dan Cikgu Amir  mengarahkan kami mendirikan khemah mengikut  kumpulan masing-masing. Kami bekerjasama mendirikan khemah  tersebut.

Ahad, 16 Januari 2016
     Kami bangun awal pagi. Setelah mandi dan solat  Subuh berjemaah, kami pun menyediakan makanan untuk sarapan  pagi.  Setelah selesai sarapan, kami berbaris mengikut kumpulan masing-masing. Cikgu Amir segera menerangkan aktiviti yang akan kami lakukan sepanjang hari tersebut.
     Aktiviti  pertama yang akan kami lakukan ialah merentas hutan lipur melalui trek pejalan kaki yang telah disediakan. Kami dikehendaki mencatat nama tumbuh-tumbuhan yang kami temui dalam perjalanan nanti.
    Pada sebelah  petang pula kami membuat latihan untuk persembahan kebudayaan yang akan dijalankan pada malam nanti. Aku dan kumpulanku dikehendaki mempersembahkan dikir barat bertemakan perpaduan. Kami semua berlatih dengan tekun agar persembahan kami pada malam nanti berjaya.

Isnin, 17 Januari 2016
     Setelah bersolat subuh dan bersarapan, Cikgu  Amir mengarahkan kami berbaris mengikut kumpulan. Pagi ini kami akan melakukan aktiviti terakhir iaitu  pertandingan kawad antara kumpulan. Kami bersungguh-sungguh melakukan aktiviti ini kerana ingin menjadi johan.
   Setelah selesai pertandingan kawad,  kami diarahkan untuk mengemas khemah dan barang-barang. Kami juga bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar tapak perkhemahan kami. Setelah selesai, kami memasukkan barang-barang dan peralatan ke dalam bas.  Menjelang tengahari kami pun bertolak pulang.

     Walaupun  perkhemahan kami hanya selama tiga hari dua malam, tetapi kami mendapat banyak pengalaman.  Aku akan menyertai perkhemahan seperti ini lagi pada masa akan datang.

Label:

"Penjodoh bilangan"


Latihan Tatabahasa 1.

Penjodoh bilangan

Arahan: Pilih jawapan yang paling sesuai

1.  Pn Maimun mengakhiri ucapannya dengan ______________ pantun.
     A  sebatang                         C  seuntai
     B  sebuah                            D  serangkap

2. Se ________________ kerusi yang terletak di hadapan dewan adalah untuk para      
    tetamu kehormat.

    A  buah                                   C  pasang
    B  baris                                   D  batang

3. Seorang murid Tahun Enam Zamrud menghadiahi Cikgu Rosnah lima _______________      bunga ros   merah sempena sambutan Hari Guru.
 
  A  batang                                   C  ikat
  B  kuntum                                  D   berkas

4.  Beberapa _______________ batang jalan di Melaka terpaksa  ditutup kepada semua    
     kenderaan kerana dinaiki air sedalam 3 meter.

   A  buah                                   C  batang
   B  ketul                                    D  gugus

5.  Pn. Rosnita  membeli  beberapa _______________ majalah dan buku berkunjung ke    
     kedai  buku tersebut.

      A   biji                                        C  butir         
      B   naskhah                               B  helai

6.  Pak Manaf menanam beberapa _____________ serai di  belakang rumahnya untuk  
     kegunaan harian.

       A   batang                                C  rumpun

       B    jambak                               D  kuntum

Label:

Ahad, 7 Februari 2016

"Ceramah"


Ceramah

Soalan contoh: 

Sekolah kamu akan mengadakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Negara peringkat sekolah. Sebagai ketua murid kamu dikehendaki menyampaikan sebuah ceramah bertajuk “ Cara-cara menghargai kemerdekaan Negara”.
Tulis ceramah tersebut selengkapnya.

Yang Dihormati pengerusi majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, Yang dihormati guru-guru, dan rakan sekalian. Terlebih dahulu ribuan terima kasih diucapkan kerana memberi kepercayaan kepada saya mewakili rakan-rakan untuk menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “Cara-cara Menghargai Kemerdekaan Negara”.
Hadirin sekalian,

   Negara kita Malaysia telah merdeka lebih daripada setengah abad. Dalam tempoh tersebut, pelbagai kejayaan telah ditempa oleh Negara kita. Berkat pengorbanan dan buah fikiran para pemimpin terdahulu ,maka kita telah berada ditahap sekarang.

  Sebagai seorang warga yang menghargai  kemerdekaan Negara maka kita sepatutnya hidup bersatu padu antara pelbagai kaum. Dengan hidup bersatu padu maka kita akan dapat menjaga keamanan dan keharmonian negara dan seterusnya mempertahankan kemerdekaannya.

Warga dewan yang dikasihi sekalian,

   Selain itu, kita sebagai murid juga perlu belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Sebagai murid hari ini, kita adalah pemimpin pada masa yang akan datang. Kitalah yang akan mencorakkan Negara ini pada masa akan datang.
  
Untuk menghargai kemerdekaan Negara yang tercinta ini, kita juga perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan pelbagai gejala yang negatif seperti penagihan dadah dan sebagainya. Gejala sebegini akan membentuk generasi akan datang yang lemah mental dan fizikal . Generasi yang lemah tidak akan dapat mempertahankan kemerdekaan negara  dan seterusnya mudahlah musuh menakluk Negara kita.

    
       Kesimpulannya, setiap orang yang cintakan kemerdekaan negara perlu sentiasa mempunyai tahap kesedaran dan disiplin diri yang tinggi agar kemerdekaan yang sedang kita kecapi sekarang berkekalan sampai bila-bila.

Sekian, terima kasih.

Label:

Sabtu, 6 Februari 2016

Syarahan (pertandingan)




Syarahan  (pertandingan)

Soalan contoh:

Kamu akan mewakili sekolah dalam satu pertandingan syarahan. Tajuk syarahan tersebut ialah “Kepentingan disiplin kepada  murid-murid”.

Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.
   
Yang mulia  Tuan Pengerusi Majlis, yang arif lagi bijaksana barisan panel hakim, Yang dikasihi guru-guru  serta hadirin sekalian.  Kepentingan Disiplin Kepada  Murid-murid”, itulah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini.
  
Hadirin yang dimuliakan,
     Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia, Disiplin bermaksud “ latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib”. Daripada makna perkataan disiplin ini dapat kita fahami bahawa disiplin sangat mustahak  kepada murid-murid untuk mencapai kejayaan.
    Murid yang berdisiplin dapat mengawal tingkah laku mereka ketika berada di sekolah Keadaan ini akan menyebabkan mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Guru-guru juga dapat mengajar dengan sempurna.
     Selain itu, murid yang mempunyai disiplin akan bertanggungjawab terhadap pelajarannya. Mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menyelesaikan tugasan yang diberi oleh guru dengan sempurna. Sikap sebeginilah yang akan membawa kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Hadirin sekalian,
     Disiplin juga amat penting untuk membentuk warganegara yang baik dan berakhlak mulia. Murid-murid yang telah terasuh daripada awal lagi dengan disiplin diri, akan dapat membentuk jatidiri  menjadi warganegara yang baik, bertatatertib dan berakhlak mulia. Keadaan ini sangat bertepatan dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh hendaklah dari rebungnya”.

      Oleh yang demikian, suka saya tegaskan di sini bahawa disiplin sangat penting bukan sahaja kepada murid-murid bahkan kepada semua orang. Hanya orang yang berdisiplin sahaja dapat mencapai kejayaan dalam semua bidang.

     Sekian, terima kasih.

Label: ,

Jumaat, 5 Februari 2016

Karangan ucapan- majlis persaraan guru kelas

Ucapan

Contoh soalan:

 Guru kelas kamu akan bersara tidak beberapa lama lagi. Kamu dan rakan-rakan sekelas telah mengadakan satu majlis untuk meraikan persaraan tersebut. Kamu diminta untuk menyampaikan ucapan  sempena  majlis tersebut.
Tulis ucapan kamu selengkapnya.

Yang berusaha En Mazlan Bin Lazim selaku guru besar, Yang diraikkan En. Azmi Bin Salleh , yang dihormati  guru-guru serta  rakan-rakan yang dikasihi.

  Terlebih  dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang  diberikan kepada saya  mewakili kelas 6 Zamrud untuk menyampaikan ucapan sempena persaraan En.  Azmi Bin Salleh iaitu guru kelas yang sangat kita kasihi.

    Hari ini merupakan hari terakhir Cikgu Azmi berada dalam kalangan kita dan menaburkan jasa serta baktinya kepada kita semua. Sesungguhnya perkhidmatan serta jasanya di sekolah ini sangatlah besar. Hampir setahun beliau menjadi guru kelas kami dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada kami.

    Sepanjang beliau mendidik kami, begitu banyak bakti yang telah beliau taburkan tambahan pula tidak beberapa lama lagi kami akan menempuh Peperiksaan UPSR. Segala bimbingan dan tunjuk ajar yang  telah diberikan oleh Cikgu Azmi akan terus kami amalkan.

    Kami amat berharap agar Cikgu Azmi sentiasa dilimpahi rahmat dan sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera. Kami berdoa semoga Cikgu Azmi  dapat menempuh usia persaraan dengan gembira di samping keluarga tercinta.
     Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun lama buat cikgu Azmi:

   Pulau Pandan jauh ke tengah,
        Gunung Daik Bercabang tiga,
   Hancur badan dikandung tanah,
        Budi yang baik dikenang juga.


Sekian, terima kasih.

Label:

Karangan laporan - Laporan lawatan sambil belajar


Laporan

Contoh soalan: Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu telah mengadakan satu  lawatan sambil belajar ke sebuah kilang membuat kain batik.

Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, kamu dikehendaki menulis sebuah laporan tentang lawatan tersebut.
Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Batik

          Pada 3 Jun 2015 yang  lalu, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Kilang Batik Nusa Jaza yang terletak di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa.
    Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk menambahkan pengetahuan ahli-ahli persatuan cara-cara membuat kain batik. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli persatuan tentang kepentingan perusahaan batik kepada ekonomi penduduk setempat.
   Lawatan yang disertai oleh tiga puluh orang ahli persatuan dengan diiringi oleh tiga orang guru ini telah bertolak dari sekolah dengan sebuah bas. Kami bertolak pada pukul 10.00  pagi dan tiba di kilang batik tersebut pada pukul 10.30 pagi.
    Setibanya di sana,  kami telah diberi taklimat oleh pengurus kilang  tersebut. Dalam taklimatnya,  pengurus kilang iaitu En. Osman  Ahmad mengucapkan terima kasih atas kesudian kami melawat ke kilang batiknya. Setelah selesai taklimat kami diiringi oleh dua orang penyelia kilang tersebut untuk melihat cara-cara memproses kain batik.
      Kami sangat terpesona melihat kemahiran para pekerja mencanting dan melukis batik. Corak-corak batik yang  dihasilkan sangat menarik dan bermutu tinggi. Ahli-ahli persatuan juga mendapat pengetahuan baru apabila diberi peluang mencanting dan mewarna batik.
   Sebelum pulang, Pihak kilang batik telah memberikan cederamata berupa sehelai kain batik yang dilukis khas untuk Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa. Kami amat gembira menerima cenderahati tersebut.


Laporan disediakan oleh,                                                                  10 JUN 2015

Amar Muhaimmin
(AMAR  MUHAIMIN)

Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa

Label: ,

Surat kiriman tidak rasmi- surat kepada nenek di kampung

Surat kiriman tidak rasmi      
Contoh soalan:
Cuti pertengahan penggal persekolahan akan tiba tidak beberapa lama lagi. Kamu bercadang hendak tinggal bersama datuk dan nenek kamu di kampung.
Tulis sepucuk surat kepada datuk dan nenek kamu untuk memaklumkan hal tersebut.

                                                   Husna Nabila Binti Zaidi,
                                                             Lot 235, Taman Kurnia Impian,
                                                 16100 Pengkalan Chepa,
                           Kelantan.
     
                                 8 JUN 2015.

Kehadapan nenda yang diingati selalu semoga berada dalam keadaan sihat walafiat.  Cucunda sekeluarga di sini sihat-sihat sahaja.
Nenda yang diingati,
     Untuk pengetahuan nenda berdua, cuti sekolah akan tiba tidak beberapa lama lagi. Pada cuti kali ini, cucunda bercadang untuk pulang ke kampong dan tinggal bersama-sama nenda berdua. Hal ini sudah lama cucunda rancangkan. Ayahnda dan bonda pun telah bersetuju dengan  rancangan cucunda.
     Walaubagaimanapun, ayahnda tidak dapat menghantar cucunda pulang  ke kampung. Hal ini adalah kerana ayahnda tidak mendapat cuti kerana perlu menghadiri mesyuarat di pejabatnya. Oleh yang demikian, cucunda terpaksa pulang ke kampung nenda dengan menaiki bas ekspress.
     Cucunda akan menaikki bas ekspress di Bandar Kota Bharu kira-kira pada pukul 10.00 pagi. Cucunda berharap agar nenda berdua menunggu cucunda di setesen bas Gua Musang.
    Cucunda tidak sabar-sabar lagi untuk ke kampung nenda. Cucunda telah merancang pelbagai aktiviti di kampung nanti. Cucunda sangat berharap agar berpeluang belajar membuat wau daripada nenda. Selain itu, cucunda juga berkeinginan hendak memancing di sungai yang terdapat di belakang ruamah nenda. Cucunda telah terbayangkan keseronokannya.
    Sekian dahulu untuk kali ini. Cucunda mendoakan semoga kita dapat bersua pada cuti sekolah yang akan datang.

                                                                          Yang benar

                                                                                                  Husna Nabila

Label: ,

Khamis, 4 Februari 2016

Jenis-jenis penulisan Bahagian C UPSR format baru 2016



Jenis-jenis karangan UPSR bahagian C (format baru 2016)


1. Karangan berformat

SURAT KIRIMAN RASMI
SURAT  KIRIMAN TIDAK RASMI
LAPORAN
UCAPAN
SYARAHAN
CERAMAH
CATATAN
BERITA

DIALOG

2. Karangan tidak berformat

KARANGAN FAKTA
KARANGAN KEPERIHALAN
KARANGAN AUTOBIOGRAFI
KARANGAN BIOGRAFI
KARANGAN PERIBAHASA
KARANGAN PERBINCANGAN
KARANGAN CERITA (CEREKA)
MENYUDAHKAN CERITA (pendahuluan diberi)
MENULIS PERMULAAN / ISI CERITA (penutup diberi)
BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN- (Syair, pantun, lirik lagu)







1. KARANGAN BERFORMAT

Surat Kiriman Rasmi

Contoh soalan:

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu ingin mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang batik.
Tulis sepucuk surat kepada pengurus kilang tersebut untuk memohon  kebenaran mengadakan lawatan tersebut.

Contoh jawapan:


Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan.


Pengurus,
Kilang Batik Nusa Jasa,
Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa,
16100 Pengkalan Chepa,
Kelantan Darul Naim  .                                           25 MAC 2015
Tuan,
Memohon Kebenaran Mengadakan Lawatan Sambil Belajar

Merujuk kepada perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa telah merancang mengadakan lawatan ke kilang batik tuan.

2.  Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk menambahkan pengalaman dan pengetahuan ahli-ahli persatuan mengenai cara-cara memproses batik.

3. Butir-butir lawatan tersebut adalah sepertimana berikut:

                    Tarikh :               15 APRIL  2015
                    Masa   :                10 pagi-12.00 tengahari
                    Bilangan peserta : 30 0rang
                    Bilangan guru      :  3 orang

4. Besarlah harapan kami agar permohonan kami ini mendapat pertimbangan yang sewaajarnya daripada pihak tuan.

    Segala kerjasama dan perhatian pihak tuan kami dahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.

Yang benar
MRIZAL
(MUHAMAMD RIZAL BIN SALLEH)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu
SK Pengkalan Chepa