Jumaat, 12 Februari 2016

Karangan perbahasan "Belajar secara berkumpulan lebih baik daripada belajar secara bersendirian"


Perbahasan: (pertandingan)
Contoh soalan:

Kamu telah menyertai satu pertandingan perbahasan peringkat sekolah. Sebagai seorang pencadang, kamu di kehendaki memberikan hujah bertajuk “ Belajar secara berkumpulan lebih baik daripada belajar secara bersendirian”.

Tulis hujah-hujah kamu selengkapnya.

Yang  Dihormati Tuan  Pengerusi Majlis,  Yang Berusaha Tuan Guru Besar, Guru-Guru Penolong Kanan, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pembangkang, guru-guru dan rakan sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera.  ” Belajar  secara berkumpulan lebih baik daripada belajar secara bersendirian” begitulah tajuk perbahasan kita pada pagi ini.

    Terlebih dahulu,  izinkan saya menghuraikan maksud tajuk perbahasan pada pagi ini. Belajar adalah satu aktiviti untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Berkumpulan pula membawa maksud beramai-ramai, satu pasukan atau berkelompok. Secara ringkasnya,  tajuk pada hari ini membawa maksud belajar secara berkelompok atau berpasukan memberi banyak manfaat atau kesan positif kepada kita.

Hadirin sekalian,

   Melalui pembelajaran secara berkumpulan,  Kita dapat melakukan perbincangan secara mendalam terhadap sesuatu tajuk pembelajaran atau permasalahan yang timbul. Sudah tentu rakan sekumpulan dapat menyumbangkan idea-idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Sekiranya kita belajar secara bersendirian, hal ini tidak dapat kita lakukan.

      Selain itu, belajar secara berkumpulan juga dapat menyemai sikap setiakawan dan interaksi sesama ahli kumpulan. Sikap sebegini terhasil melalui aktiviti perbincangan ketika belajar. Ahli dapat memupuk sikap saling membantu sesama rakan sekumpulan.  Hal sebegini tidak akan kita alami sekiranya belajar secara bersendirian.


    Pembelajaran secara berkumpulan juga boleh memupuk sikap tolak ansur dan saling menghormati.  Ketika berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu perkara, pelbagai pendapat akan dikemukakan.  Sudah tentu berlaku perbahasan untuk menegaskan pendapat masing-masing.  Dari sinilah akan terpupuknya sikap tolak ansur, saling mengerti, dan menghormati pendapat orang lain. Sekiranya kita  belajar secara bersendirian,  nilai-nilai sebegini sudah tentu tidak dapat disemai dan dipupuk.

Barisan pembangkang dan hadirin yang dihormati sekalian,

   Sesungguhnya, dengan mengamalkan kaedah belajar secara  berkumpulan, pelbagai manfaat atau kebaikan akan kita peroleh. Oleh yang demikian,   Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa , belajar secara berkumpulan lebih baik daripada belajar  secara bersendirian.

Sekian , terima kasih.

Label:

1 Ulasan:

Di 23 September 2020 pada 3:12 PTG, Blogger Unknown berkata...

sangat berguna.....terima kasih!!!!

 

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama