Isnin, 29 Februari 2016

"Karangan Perbahasan: Internet Membawa Banyak Kebaikan Daripada Keburukan"




Kamu telah menyertai satu pertandingan perbahasan peringkat sekolah sebagai pembangkang. 
Tajuk perbahasan tersebut ialah "Internet Membawa Banyak Kebaikan Daripada Keburukan"

Tulis hujah-hujah kamu itu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pihak pencadang yang budiman, guru-guru serta rakan sekalian.

      Sungguh menarik hujah-hujah pihak pencadang dalam menegaskan tajuk perbahasan pada hari ini iaitu "Internet Membawa Banyak Kebaikan daripada Keburukan". Namun sedarkah barisan pihak pencadang bahawa hujah-hujah tersebut hanya sekadar khayalan yang tidak berpijak di alam nyata.
Hujah barisan pihak pencadang yang pertama iaitu Penggunaan internet yang meluas memudahkan penyampaian berita. Sedarkah pihak pencadang bahawa semenjak rakyat Malaysia mengenal internet, banyak berita-berita palsu dan fitnah tersebar secara berleluasa di alam maya. Berita-berita yang tidak sahih dan tidak dapat dipastikan sumbernya mudah dipercayai oleh orang ramai. Keadaan ini jika dibiarkan boleh menimbulkan permusuhan dan menggugat keamanan negara.

      Selain itu, Barisan pihak pencadang juga mengatakan bahawa murid-murid dapat belajar dengan mudah dan mendapatkan bahan-bahan pembelajaran secara dalam talian. Sememangnya diakui bahawa banyak platform, laman web, dan blog yang menyediakan sumber pembelajaran untuk diakses. Walau bagaimanapun, tahukah barisan pencadang bahawa banyak kajian yang mendedahkan bahawa kebanyakan murid-murid dan remaja banyak menghabiskan masa menggunakan media sosial untuk berbual-bual kosong secara maya berbanding penggunaan melayari laman-laman dan platform pembelajaran. Bukankah aktiviti sebegini menyebabkan murid-murid hilang tumpuan untuk belajar?

      Seterusnya, Melalui penggunaan internet yang tidak terkawal, banyak hal-hal yang negatif mudah diakses oleh orang ramai termasuk kanak-kanak dan remaja. Sebagai contoh, terdapat banyak laman-laman lucah dan "porno" mudah diakses oleh sesiapa sahaja yang menggunakan internet. Ibu bapa tidak mampu mengawal dan mengawasi anak-anak daripada melayari laman-laman sebegini kerana kesuntukan masa dan kesibukan bekerja. Hal ini menjadi lebih parah lagi sekiranya kanak-kanak dan remaja terpengaruh dan meniru perbuatan tersebut.

        Penipuan dan aktiviti jenayah juga banyak terjadi melalui penggunaan internet. Banyak penjenayah melakukan kegiatan mereka secara dalam talian untuk mempengaruhi dan menipu orang ramai. Sebagai contoh,skim cepat kaya dan "Money Scam" begitu berleluasa menipu orang ramai sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit. Adakah perkara-perkara negatif begini dapat dikatakan internet memberikan banyak kebaikan kepada kita?

       Sebagai penutup hujah-hujah saya, sekali lagi saya tegaskan kepada  barisan pihak pencadang bahawa hujah-hujah yang kalian kemukakan sekadar khayalan yang sukar menjadi kenyataan. Sedarlah wahai barisan pihak pencadang bahawa "Internet Membawa Banyak Keburukan Daripada Kebaikan".

Sekian terima kasih.
















 

Label:

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama