Karangan Syarahan UPSR "Faedah Amalan Gotong-royong"
Soalan:
Sekolah kamu telah menganjurkan pertandingan syarahan antara kelas. Kamu telah mewakili kelas kamu dalam pertandingan tersebut. Tajuk syarahan yang akan kamu sampaikan ialah " Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".
Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, guru-guru penolong kanan, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Pada pagi yang ceria ini, izinkan saya menyampaikan syarahan bertajuk "Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".
Hadirin yang dihormati,
Menurut Kamus Dewan edisi kedua, bergotong-royong membawa maksud sama-sama mengerjakan sesuatu, atau saling membantu ketika membuat sesuatu. Daripada huraian Kamus Dewan ini, fahamlah kita bahawa aktiviti gotong-royong adalah membuat sesuatu pekerjaan atau perkara secara bersama-sama.
Masyarakat kita pada zaman dahulu banyak melakukan amalan bergotong-royong ini. Semua kegiatan yang melibatkan kepentingan ramai akan dilakukan secara secara gotong-royong. Hal ini demikian kerana amalan ini banyak faedahnya.
Melalui aktiviti gotong-royong ini, sesuatu pekerjaan dapat disiapkan dengan cepat. Sesuatu pekerjaan yang sukar ataupun berat dapat diselesaikan dengan lebih cepat apabila banyak tenaga dan buah fikiran dapat digembelengkan untuk menyelesaikannya. hal ini sepertimana dijelaskan oleh peribahasa "bukit sama didaki, lurah sama dituruni".
Warga dewan yang dikasihi,
Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga boleh mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Kita tahu, pada hari ini masyarakat kita amat sibuk dengan pelbagai urusan harian. Keadaan ini menyebabkan kebanyakan orang tidak berkesempatan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sekiranya diadakan aktiviti gotong-royong seperti membersihkan kawasan tanah perkuburan atau masjid, maka masyarakat setempat berpeluang mengenali dan bertanya khabar antara satu sama lain. Jadi, aktiviti gotong-royong ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, dengan bergotong-royong juga wang dapat dijimatkan. Amalan bergotong-royong ini adalah aktiviti sukarela yang tidak diberi sebarang upah berupa wang ringgit. Oleh yang demikian, kos untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan adalah lebih murah. Sebagai contoh amalan bergotong-royong semasa kenduri-kendara. Tuan rumah hanya mengeluarkan belanja untuk membeli alatan dan bahan mentah sahaja. kerja-kerja memasak dan mendirikan khemah dilakukan secara bergotong-royong oleh jiran-jiran sekampung. keadaan ini sudah tentu menjimatkan wang.
Hadirin-hadirat yang dikasihi,
Sebagai kesimpulannya, amalan gotong-royong ini adalah amalan warisan nenek-moyang kita. Oleh yang demikian, setiap orang berperanan mempertahankannya kerana ia membawa banyak kebaikan kepada kita. hal ini diungkapkan oleh nenek- moyang kita melalui peribahasa yang terkenal iaitu "berat sama dipikul ringan sama dijinjing". sekian, terima kasih