Ahad, 22 Mei 2016

Karangan laporan "Kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan"


Karangan Laporan

Soalan:

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu telah menganjurkan Minggu  kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan.

Sebagai setiausaha persatuan, kamu dikehendaki menulis sebuah laporan tentang kempen tersebut.

Tulis laporan tersebut selengkapnya.


Laporan Kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan

Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa telah menganjurkan kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan. Kempen ini berlangsung sepanjang minggu  terakhir bulan April 2016.  Objektif utama  kempen ini adalah untuk memupuk perasaan sayang dan bangga akan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan warga sekolah. 

     Kempen yang julung-julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh guru besar sekolah iaitu En. Hamzah Bin Hassan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau amat berharap agar seluruh warga sekolah menanamkan semangat cinta akan Bahasa Kebangsaan dan dapat menggunakannya dalam segala urusan dengan cara yang betul. Selain itu beliau juga berharap agar kempen ini mendapat kerjasama semua pihak dan mencapai matlamatnya.

    Selepas majlis perasmian tersebut, acara mendeklamasi sajak dan berbalas pantun yang bertemakan cinta akan Bahasa Kebangsaan diadakan. Beberapa orang murid tahap dua dan guru-guru Bahasa Melayu menjayakan acara ini dan mendapat tepukan yang gemuruh daripada guru-guru dan murid.

     Antara program yang dijalankan sepanjang kempen ini ialah pertandingan menulis esei dan cerpen dalam Bahasa Kebangsaan. Acara ini  terbuka kepada murid-murid tahap dua. Pertandingan ini memerlukan murid-murid menulis esei dan cerpen yang bertemakan cintakan Bahasa Kebangsaan. Setiap penyertaan memerlukan murid menghasilkan esei atau cerpen sepanjang 1,000 hingga 1,500 patah perkataan.

    Selain itu, pertandingan melukis poster juga diadakan. Pertandingan ini terbuka kepada murid-murid tahap satu. dalam pertandingan ini, murid-murid dikehendaki melukis poster yang menggambarkan kecintaan terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam segenap lapangan. Pertandingan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

    Acara penyempaian hadiah kepada para pemenang acara-acara yang dipertandingkan telah disempurnakan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa dalam majlis penutup. Ternyata kempen mencintai Bahasa Kebangsaan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan. Esei, cerpen dan poster yang dihasilkan oleh peserta pertandingan akan dijilid dan disimpan di pusat sumber sekolah.

       Sesungguhnya, kempen mencintai Bahasa Kebangsaan ini telah mencapai matlamatnya. Pihak Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa bercadang menjadikan Kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan ini sebagai acara tahunan.

Laporan disediakan oleh,                                                                              10 MEI 2016

   Faisal Hakim
(MUHAMMAD FAISAL HAKIM BIN MOHD ADLAN)
Setiausaha ,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.


Label: ,

2 Ulasan:

Di 22 Jun 2017 pada 9:18 PG, Anonymous Tanpa Nama berkata...

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

 
Di 18 September 2017 pada 9:06 PTG, Anonymous Tanpa Nama berkata...

Perkhemahan dalam hutan

 

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama