Jumaat, 22 April 2016

Sepanjang Sejarah "Pertempuran Bersejarah Umat Islam Zaman Pertengahan : Perang Hittin"



Pertempuran Hittin 1187M (583H)

Pendahuluan

Perang Hittin merupakan salah satu siri  peperangan besar  yang dilalui oleh Umat Islam sepanjang sejarah Peperangan Salib. Peperangan ini melibatkan jumlah tentera kedua-dua pihak yang agak besar kerana peperangan ini adalah pembuka jalan kepada jatuhnya semula Baitulmaqdis ke tangan Umat Islam setelah dikuasai oleh Tentera Salib hampir satu abad.


Punca Pertempuran


     Pada tahun 1187M (kira-kira akhir 582 H) satu rombongan dagangan  kaum muslimin yang melalui Karak iaitu satu kawasan yang dikuasa Reynald Of chatillion,  telah diserang oleh pasukan Tentera Frank atas arahan Reynald sendiri. Anggota rombongan telah ditangkap dan barang-barang dagangan mereka dirampas. Sultan Salahuddin Al- Ayubi sangat marah apabila mengetaahui hal ini kerana kedua-dua pihak telah menandatangani perjaanjian damai. Perbuaatan Reynald ini dianggap oleh Sultan Salahuddin sebagai satu pelanggaran perjanjian yang tidak boleh dimaafkan.


     Ketegangan semakin memuncak apabila tuntutan Sultan Salahuddin agar orang-orang yang ditawan serta barang rampasan dibebaskan serta dikembalikan ditolak oleh Reynald. Reynald sempat menghina umat Islam apabila Raja Guy Of Lusignan meminta agar Reynald memenuhi tuntutan Sultan Salahudin. Ahli sejarah mencatakan bahawa Reynald berkata " Mereka beriman kepada

Muhammad bahawa beliau akan membebaskan mereka. Maka silakan beliau membebaskan mereka.
Imej  wikipedia
Guy Of Lusignan (Raja Jurusalem)
imej wikipedia


Sultan Salahuddin mengutus surat kepada para amirnya agar mengumpulkan bala tentera untuk melakukan jihad atas pelanggaran perjanjian damai tersebut. Pada bulan April 1187M, Sultan Salahuddin berangkat bersama angkatan tenteranya menuju Ra'sal-ma'. Pasukan-pasukan yang dipimpin oleh para amirnya  turut menyusul ke tempat tersebut.


    Sultan Salahudin telah melantik putera sulungnya , Al-Afdal sebagai pemimpin pasukan di Ra'sal-ma' sementara itu beliau sendiri berangkat ke Busra dengan sejumlah pasukan. Tujuan Sultan Salahudin ke Busra adalah untuk menjaga keselamatan rombongan haji yang akan melalui kawasan tersebut. Rombongan tersebut terselamat daripada diserang Reynald kerana kehadiran pasukan Sultan Salahudin.


    Apabila sejumlah pasukan yang baru tiba dari Mesir tiba dan bergabung dengan pasukannya, Sultan Salahudin bertindak menyerang  Karak dan menalukinya. Reynald tidak berani keluar dari Benteng karak untuk berhadapan dengan pasukan Sultan Salahudin kerana bilangan tentera sultan Salahudin lebih besar. Pasukan Frank yang lain tidak dapat datang membantu kerana terhalang oleh pasukan pimpinan Al-Afdal.


Strategi Sultan Salahudin


    Dengan perintah Sultan Salahudin, Al-Afdal menghantar Muzaffarudin Kukburi (Amir Harran dan Edessa), Qaymaz al-Najmi, dan Dildirim al-Yaruqi bersama sejumlah tentera untuk mengganggu dan menyerang Acre. Acre merupakan sebuah kota pelabuhan yang besar di bawah penguasaan Tentera Frank.

   Untuk menuju ke Acre, pasukan ini terlebih dahulu perlu melalui Tiberias yang dikuasai oleh Raymond Of Tripoli. Sultan Salahudin terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Raymond untuk melalui Tiberias. Raymond membenarkan pasukan ini melalui Tiberias dengan syarat Pasukan ini masuk dan keluar dari wilayah kekuasaan Tentera Frank dalam masa satu hari. Kebenaran ini diberikan oleh Raymond kerana menduga pasukan ini adalah pasukan rondaan biasa.

     Rombongan ini bergerak ke Acre pada waktu malam dan sampai di Saffuriya pada pagi esoknya. Apabila hal ini diketahui oleh Tentera Frank yang sedang menuju ke Tiberias, mereka segera mengubah haluan ke Saffuriya untuk menghadapi pasukan pimpinan Muzaffarudin Kukburi. Kedua-dua pasukan ini akhirnya bertempur di kawasan Spring Of Cresson iaitu di satu kawasan berdekatan Acre. Pasukan Muzaffarudin memenangi pertempuran ini. Tokoh Hospitaler, Roger des Moulins, telah terbunuh dalam pertempuran ini. Kemenangan ini, menyebabkan Kukuburi dan pasukannya mendapat ramai tawanan.  Menurut sesetengah ahli sejarah, tindakan ini dilakukan oleh Sultan Salahudin untuk menimbulkan kemarahan tentera Frank dan seterusnya mengheret mereka bertempur secara terbuka.



   Kukuburi mematuhi syarat Raymond Of Tripoli, iaitu mesti keluar dalam satu hari dari wilayah kekusaan Frank. Mereka keluar dari kawasan tersebut dan melalui Tiberias sebelum malam menjelma. setelah Sultan Salahudin mendapat berita kemenangan pasukan pimpinan Muzaffarudin Kukuburi, beliaupun  meninggalkan kepungan ke atas Karak dan bergabung semula dengan pasukan pimpinan Al-Afdal. Penyatuan semula ke dua-dua pasukan ini dilakukan di sebuah tempat bernama Ashtara pada 27 Mei 1187M (17 Rabiulawal 583H). Mereka berehat sekejap di kawasan ini sambil menunggu ketibaan pasukan-pasukan lain yang sedang bergerak untuk bergabung.


   Tidak berapa lama kemudian, pasukan-pasukan dari Hamah, yang bergabung bersama pasukan dari Mosul dan Mardin tiba di Ashtara pada bulan Jun 1187M 9 Rabiulakhir 583H). Dengan gabungan semua pasukan ini, tentera Sultan Salahudin kini berjumlah 12,000 orang tentera berkuda dan beberapa ribu tentera mujahidin yang bersemangat jihad. Sultan Salahudin kemudiannya membahagikan pasukannya kepada 3 ketumbukan utama. Salahudin dan anaknya Al-Afdal memimpin ketumbukan tengah,  Sayap kanan dipimpin oleh Taqiudin, manakala sayap kiri pula di b awah pimpinan Muzaffarudin kukburi. setelah itu, pasukan Sultan Salahudin ini bergerak ke arah Tiberias dan berkhemah di Uqhuwana.


Reaksi Tentera Frank



Gambar:tentera Turcopole
Sumber  http://archive.kaskus.co.id/
   Raja Guy Of Lusignan (Raja Jurusalem) dan Raymond Of Tripoli terpaksa melupakan perselisihan antara mereka untuk menghadapi pasukan Sultan Salahudin. Raymond berangkat ke Jurusalem dan disambut oleh Raja Guy Of Lusignan. dengan perintah Raja Guy, pasukan Frank berkumpul di Kota Acre. Setelah itu, pasukan ini bergerak ke Saffuriya lalu berkhemah di sana. Pasukan in i berjumlah 13,000 lebih yang terdiri daripada Pahlawan Knigt (sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1118 iaitu 20 tahun selepas tentera salib merampas Jerusalem) 2,000 Turcopole  (kavaleri ringan) dan 10,000 pasukan infantri biasa. Pasukan ini juga disertai oleh semua pembesar Frank .
     
Gambar: Seorang Pahlawan Knigt
(Sumber: wikipedia)





















Api Pertempuran


Setelah Sultan Salahudin mendapat maklumat mengenai pergerakan pasukan Frank ke Saffuriya, beliaupun bermesyuarat dengan para amirnya untuk menentukan tindakan yang bakal diambil dan langkah-langkah terbaik. Dalam hal ini terdapat beberapa pendapat yang diperoleh antaranya ialah:


1. Kebanyakkan Amir memberikan pendapat agar melakukan pertempuran bertahap terhadap wilayah     Frank dan mengelakkan pertempuran terbuka.

2. Seorang Amir pula berpendapat bahawa mereka perlu menyerang, menghancurkan dan menaluki         wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Frank. Sekiranya Tentera Frank bertindak balas, satu                     peperangan terbuka perlu dilakukan.

3. Sultan Salahudin sendiri berpendapat bahawa jalan terbaik ialah menumpukan seluruh kekuatan pasukan untuk bertempur secara terbuka dengan berjihad sepenuh tenaga dan menentukan samada menang atau tewas.

      Kesepakatan diambil untuk menerima pendapat Sultan Salahudin. Maka pada 2 Julai 1187M ( 22 Rabiulakhir 538H) , Seluruh pasukan bergerak dari Uqhuwana menuju ke Saffuriya. Sultan Salahudin bertekad untuk bertempur secara terbuka dengan Tentera Frank. Namun hal ini tidak terjadi. Oleh yang demikian Sultan Salahudin memerintahkan pasukannya berkhemah di satu kawasan berdekatan Saffuriya. Sultan Salahudin memerintahkan sekumpulan tenteranya bertindak sebagai pengakap untuk meninjau keadaan Tentera Frank di Saffuriya.

        Pada malam 2 Julai, Sultan Salahudin disertai sejumlah tenteranya mengepung benteng Tiberias. Benteng Tiberias yang dikuasai oleh Raymond jatuh ke tangannya satu jam kemudian. Isteri dan anak-anak Raymond dan beberapa orang Tentera Frank berlindung di dalam Citadel Tiberias. Tentera Salahudin menghancurkan Tiberias dan menawan sejumlah orang. Hal ini dilakukan Sultan Salahudin untuk membakar emosi Tentera Frank agar mahu berperang secara bersemuka.

       Mendengar berita yang terjadi di Tiberias, Tentera Frank berkumpul. Para pemimpin bermesyuarat tentang langkah-langkah yang perlu di ambil. Raymond, penguasa Tiberias sangat terbeban akan hal ini kerana dia tidak memilikki apa-apa lagi setelah kejatuhan Tiberias. Pasukan Frank mengambil keputusan untuk bergerak ke arah Tiberias menghadapi pasukan Sultan Salahudin. Mereka bergerak pada hari Jumaat 3 Julai 1187M. Apabila mengetahui hal ini, Sultan Salahudin mengumpul seluruh pasukannya lalu memintas Tentera Frank yang dalam perjalanan menuju Tiberias.

     Sultan Salahudin memilih satu tempat yang baik untuk mengepung Tentera Frank. Pasukannya menguasai kawasan mata air dan menutup bebrapa mata air yang lain. Pada hari tersebut tidak berlaku sebarang pertempuran.

Pertempuran Dan Kemenangan


      Pertempuran yang sengit antara kedua-dua pasukan ini tercetus  pada pagi Sabtu 4 Julai 1187M (24 Rabiulawal 583H). Pertempuran ini tercetus di sebuah dataran di Lubia. Pada ketika ini Tentera Frank sedang kehausan keran kekurangan bekaln air. Keadaan ini menyebabkan semangat kebanyakkan mereka merudum.

     Tentera sultan Salahudin menghujani mereka dengan anak-anak panah. Ramai antara mereka terbunuh. Sejumlah Tentera Frank berusaha menuju Tiberias untuk mendapatkan bekalan air. Apabila menyedari hal ini, Sultan Salahudin memerintahkan sekumpulan  Mujahidin membakar rumput-rumput kering untuk menutup laluan mereka. Cuaca panas musim kemarau dibantu tiupana angin telah memerangkap Tentera Frank ini dalam asap pembakaran tersebut.

Gambar: Gambaran Tentera Sultan Salahudin
Sumber: wikipedia

     Pasukan Sultan Salahudin kemudiannya menyerang Pasukan Frank dengan kekuatan penuh. Hal ini menyebabkan Tentera Frank terdesak. Raymond merasakan bahawa tiada harapan untuk mencapai kemenangan. hal ini menyebabkan dia dan pasukannya menyerang secara habis-habisan sayap kanan pasukan Sultan Salahudin yang dipimpin oleh Taqiudin. Taqiuddin menyedari bahawa tindakan Raymond ini bukan bertujuan untuk mencapai kemenangan tetapi untuk berundur dari medan pertempuran. Menyedari hal ini, dan kerana dahsyatnya asakan pasukan Raymond, Taqiudin memerintahkan agar pasukannya membuka laluan untuk Raymond berundur. Raymond dan pasukannya berundur ke Tyre. Pengunduran Raymond bersama sejumlah Tentera Frank menyebabkan mereka yang berada di medan semakin terdesak. lantas mereka mengambil keputusan untuk menyerang secara habis-habisan. Serangan hebat ini menyebabkan beberapa sisi Tentera Sultan Salahudin terdesak dan beralih kedudukan. Tujuan utama mereka bukan lagi untuk mencapai kemenangan tetapi lebih kepada strategi untuk berundur. Hal ini menyebabkan mereka menyerang dan bertempur secara kumpulan-kumpulan. Jika berkesempatan mereka akan berundur dari medan sepertimana Raymond. Antara yang berjaya melakukan hal ini ialah Balian dan pasukannya.

      Pasukan Frank semakin berkurangan kerana terbunuh dan berundur dari medan pertempuran. Pasukan utama yang mendgawal Raja Guy Of Lusignan berbaki kira-kira 150 orang. Walaupun begitu, pasukan ini adalah yang paling terlatih berpengalaman. Guy dan pasukannya bergerak ke arah Tanduk Hittin. Mereka berkhemah di atas bukit tersebut. Pasukan Sultan mengepung dan menyerang dari pelbagai sisi. Saki baki tentera Fraank ini mempertahankan diri dan Raja Guy dengan bersungguh-sungguh dan sukar ditewaskan. Disinilah berlakunya kemuncak dan pengakhiran pertempuran Hittin.
   Beberapa kali pasukan Sultan Salahudin terpaksa berundur oleh hebatnya serangan balas Tentera Frank. Setelah itu apabila mendengar kata-kata semangat Sultan Salahudin mereka kembali menyerang pasukan Frank. Pada ketika yang lain pasukan Frank pula terpaksa berundur ke atas bukit tersebut diasak oleh Pasukan Sultan Salahudin. Hal ini berlaku berkali-kali.

    Kemenangan akhirnya dicapai oleh pasukan Sultan Salahudin setelah khemah Raja Guy di atas Bukit Hittin berjaya ditawan. Sultan Salahudin segera turun dari kudanya lalu bersujud syukur.

     Kemenangan ini menyebabkan banyak tentera Frank dan para pemimpinya tertawan. antaranya ialah Raja Guy Of Lusignan, Reynald Of Chatillon, Hugh II  Embriaco (penguasa benteng Jubayl), Gerard Of Ridfort (Pemimpin Templar) pemimpin Hospitaler dan ramai yang lain. Guy Of Lusignan dan Reynald di bawa bertemu Sultan Salahudin di khemahnya.

   Sultan Salahudin memberi segelas minuman kepada Raja Guy. Raja Guy meminumnya separuh lalu menghulurkan bakinya kepada Reynald. Perbuatan Raja Guy tidak disenangi oleh Sultan Salahudin kerana telah menjadi adat pemimpin pada zaman itu, sesiapa yang ditawan dan diberi minuman bermakna dia mendapat jaminan keselamatan. tetapi jaminan sebegitu hanya untuk Raja Guy, bukan untuk Reynald. Sultan Salahudin sangat marah kepada Reynald kerana keangkuhannya menghina Islam dan mencabuli perjanjian damai serta pernah cuba melancarkaan peperangan ke atas Kota Mekah dan Madinah. Sultan telah bersumpah hendak membunuh Reynald.

       Sultan Salahudin kemudian membunuh Reynald dan menghantar Raja Guy Of Lusignan beserta beberapa orang pemimpin Frank ke penjara di Damaskus. kira-kira 200 orang yang terdiri daripada pemimpin Templar dan Hospitaler juga dijatuhkan hukuman mati.

    Menurut ahli-ahli sejarah, kemenangan Umat Islam dalam pertempuran ini adalah pembuka jalan ke arah penaklukan semula Kota Al Quds setelah dikuasai oleh Tentera Salib selama hampir satu abad.

catatan: Knigt of Templar - Satu pasukan khusus seumpama pasukan khas  pada hari ini

              

  








Label: ,

1 Ulasan:

Di 30 Jun 2017 pada 12:40 PTG, Anonymous Tanpa Nama berkata...

I like it

 

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama