Khamis, 1 September 2016

Karangan UPSR " Faedah Amalan Berjimat Cermat"

Soalan:

Berjimat cermat adalah amalan yang mulia. 

Tulis sebuah karangan tentang faedah  amalan ini.

Berjimat cermat membawa maksud berhemat atau berhati-hati dalam penggunaan wang, elektrik, air ataupun lain-lain keperluan seharian kita. Amalan berjimat cermat merupakan  satu amalan yang terpuji dan membawa pelbagai faedah kepada kita.

    Antara faedah amalan ini ialah kita dapat mengurangkan perbelanjaan harian kita. Sekiranya kita berjimat cermat sudah tentu perbelanjaan harian kita sekeluarga dapat dikurangkan dan kita mempunyai lebihan wang. Lebihan wang ini boleh kita simpan untuk keperluan pada masa kecemasan.

      Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat memupuk sikap berdikari dalam diri setiap orang. Hal ini demikian kerana orang yang mengamalkan sikap berjimat cermat sudah pasti akan berusaha melakukan sendiri atau menyelesaikan sendiri sesuatu perkara atau masalah tanpa mengupah orang lain. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga menambahkan pengalaman.

       Selain itu, amalan berjimat juga boleh membantu negara menjimatkan sumber. Sebagai contoh, sekiranya kita berjimat cermat dalam penggunaan elektrik, air, dan petrol sudah pasti sumber terpenting kehidupan kita ini akan dapat dijimatkan. Secara tidak langsung kita membantu mengurangkan perbelanjaan negara.

     Di samping itu, melalui amalan yang mulia ini juga kita dapat menambahkan wang simpanan kita. Wang simpanan sangat penting dalam kehidupan kita. Orang yang mempunyai simpanan akan terjamin masa depannya. Wang simpanan juga amat diperlukan sekiranya berlaku sesuatu musibah kepada kita atau orang-orang terdekat dengan kita.

     Kesimpulannya, amalan berjimat cermat perlu menjadi amalan setiap orang. Amalan yang mulia ini jika diamalkan membawa seribu kebaikan.

Label: ,

Sabtu, 20 Ogos 2016

Penulisan UPSR Isi-isi penting / idea penulisan karangan fakta


Assalamualaikum

Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini. Kekangan masa dan kesibukan dengan tugasan menyebabkan blog ini terpaksa saya lupakan untuk sementara. walau bagaimanapun, dalam kesempatan pada kali ini, saya ingin berkongsi isi-isi atau idea untuk menulis karangan fakta. Pada perkiraan  saya,  hal ini dapat membantu calon-calon UPSR menghadapi peperiksaan tersebut yang akan menjelang kira-kira 2 minggu lagi.

1. Faktor-faktor / Punca-punca Kemalangan Jalan Raya

- Sikap cuai pemandu dan pengguna jalan raya
   memandu atau menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya - memandu ketika mabuk.

- Tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya
   Pemandu dan penunggang motosikal gemar melanggar undang-undang - mengikut hawa nafsu-    
   contohnya memotong kenderaan lain di garisan berkembar atau selekoh berbahaya.

- Kenderaan tidak diselenggara dengan sempurna
  Sikap pemilik kenderaan yang tidak menyelenggara kenderaan dengan baik- terdapat komponen  
  kenderaan yang rosak seperti tayar dan sistem brek tidak ditukar atau dibaiki- kenderaan yang  
  dipandu tidak dapat dikawal dengan sempurna- terbabas.

- Keadaan jalan raya - rosak , berselekoh, dan berbukit
  membahayakan penunggang motosikal dan    pemandu kenderaan terutama pada waktu malam -  
  banyak kemalangan berlaku kerana faktor ini.

- Keadaan cuaca - hujan lebat.
   Jalan raya menjadi licin- pengguna tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik- menyebabkan      kenderaan dipandu terbabas.

2. Cara- cara mengatasi kemalangan jalan raya

- Merancang perjalanan
  Pemandu dan penunggang  yang merancang perjalanan tidak akan terburu-buru   - mereka dapat  
  memandu dan menunggang dengan tenang dan berhemah

-Memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan
 Mengelakkan kenderaan mengalami kerosakan ketika berada di atas jalan raya- membaiki, menukar    dan meyelenggara terlebih dahulu komponen kenderaan yang rosak.

-Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya
 Pihak polis dan Jabatan Penangkutan Jalan perlu menyaman dan mendenda pengguan jalan raya  yang melanggar peraturan.- denda dan saman akan memberikan pengajaran kepada para pesalah-  serik untuk melakukan kesalahan.

- Pihak bertanggungjawab perlu membaiki kerosakan jalan raya
  jalan raya yang rosak atau berlubang perlu dibaiki segera- jalan raya yang rosak dan tidak
  sempurna akan menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan dengan baik- kenderaan  
  terbabas.

3.Punca-punca pencemaran alam

- Penggunaan bahan kimia seperti baja dan racun serangga dalam sektor pertanian secara  
   berleluasa.  menyebabkan pencemaran air- aliran air hujan membawa sisa-sisa bahan kimia ke
   dalam sungai.

- Perlepasan asap ke udara oleh kenderaan bermotor, kilang, dan pembakaran terbuka
   Gas karbon monoksida mencemarkan udara- menjejaskan kesihatan kesihatan kita

- Pelepasan sisa toksik ke sungai
  - Pemilik kilang memgambil sikap mudah- melepaskan sisa toksik secara terus ke sungai atau
    longkang besar - sisa tosik perlu dirawat terlebih dahulu sebelum dialirkan ke longkang.

 - Membuang sampah di merata-rata 

   - orang ramai gemar membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya- contoh di jalan raya dan        ke dalam sungai - menyebabkan sungai tercemar.

4. Cara-cara mengatasi pencemaran alam

    - Mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor-  orang ramai perlu berkongsi kereta atau  
      menggunakan pengankutan awam.

    - mengitar semula bahan buangan - Bahan buangan yang boleh dikitar semula seperti tin    
       aluminium, surat khabar  dan botol plastik - dapat menurangkan kuantiti bahan   buangan.

    - Mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka dan perlepasan asap industri -  dapat  
       mengurangkan pencemaran udara dengan gas karbon monoksida

   - Meningkatkan kempen kesedaran seperti kempen Sayangi Alam, Hargai Sungai , dan    
      sebagainya -       melalui media massa dan media sosial

     - menguatkuasakan  undang-undang - pihak berkuasa perlu mendenda atau menghukum pihak          yang sewenang-wenangnya mencemarkan alam- mendidik masyarakat agar bersama-sama  
       menjaga alam sekitar.

5. Cara-cara menjaga kesihatan

     - Makan makanan berkhasiat - elakkan memakan makanan segera - mengandungi banyak bahan         kimia - menjejaskan kesihatan tubuh badan dalam jangka panjang.

    - Menjaga kebersihan persekitaran - mengelakkan pembiakan haiwan dan serangga pembawa  
       penyakit - tikus, lalat dan nyamuk.

   - Menjaga kebersihan pakaian dan tubuh badan - mengelakkan penyakit kulit - panau, kudis,  
     dan  kurap.

   - Berjumpa doktor sekurang-kurangnya 6 bulan sekali - memeriksa tahap kesihatan- mendapat         rawatan awal sesuatu penyakit.

Sekian dahulu, semoga berfaedah.










Label:

Selasa, 24 Mei 2016

Karangan Syarahan UPSR "Faedah Amalan Gotong-royong"


Soalan:

 Sekolah kamu telah menganjurkan pertandingan syarahan antara kelas. Kamu telah mewakili kelas kamu dalam pertandingan tersebut. Tajuk syarahan yang akan kamu sampaikan ialah " Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".
Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa, guru-guru penolong kanan, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan. Pada pagi yang ceria ini, izinkan saya menyampaikan syarahan bertajuk "Aktiviti Gotong-royong Banyak Faedahnya".

Hadirin yang dihormati,

      Menurut Kamus Dewan edisi kedua, bergotong-royong membawa maksud sama-sama mengerjakan sesuatu, atau saling membantu ketika membuat sesuatu. Daripada huraian Kamus Dewan ini, fahamlah kita bahawa aktiviti gotong-royong adalah membuat sesuatu pekerjaan atau perkara secara bersama-sama.

     Masyarakat kita pada zaman dahulu banyak melakukan amalan bergotong-royong ini. Semua kegiatan yang melibatkan kepentingan ramai akan dilakukan secara secara gotong-royong. Hal ini demikian kerana amalan ini banyak faedahnya.

     Melalui aktiviti gotong-royong ini, sesuatu pekerjaan dapat disiapkan dengan cepat. Sesuatu pekerjaan yang sukar ataupun berat dapat diselesaikan dengan lebih cepat apabila banyak tenaga dan buah fikiran dapat digembelengkan untuk menyelesaikannya. hal ini sepertimana dijelaskan oleh peribahasa "bukit sama didaki, lurah sama dituruni".

Warga dewan yang dikasihi,

   Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga boleh mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Kita tahu, pada hari ini masyarakat kita amat sibuk dengan pelbagai urusan harian. Keadaan  ini menyebabkan kebanyakan orang tidak berkesempatan untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sekiranya diadakan aktiviti gotong-royong seperti membersihkan kawasan tanah perkuburan atau masjid, maka masyarakat setempat berpeluang mengenali dan bertanya khabar antara satu sama lain. Jadi, aktiviti  gotong-royong ini sudah pasti dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

     Selain itu, dengan bergotong-royong juga wang dapat dijimatkan. Amalan bergotong-royong ini adalah aktiviti sukarela yang tidak diberi sebarang upah berupa wang ringgit. Oleh yang demikian, kos untuk menyelesaikan sesuatu pekerjaan adalah lebih murah. Sebagai contoh amalan bergotong-royong semasa kenduri-kendara. Tuan rumah hanya mengeluarkan belanja untuk membeli alatan dan bahan mentah sahaja. kerja-kerja memasak dan mendirikan khemah dilakukan secara bergotong-royong oleh jiran-jiran sekampung. keadaan ini sudah tentu menjimatkan wang.

Hadirin-hadirat yang dikasihi,

     Sebagai kesimpulannya, amalan gotong-royong ini adalah amalan warisan nenek-moyang kita. Oleh yang demikian, setiap orang berperanan mempertahankannya kerana ia membawa banyak kebaikan kepada kita. hal ini diungkapkan oleh nenek- moyang kita melalui peribahasa yang terkenal iaitu "berat sama dipikul ringan sama dijinjing".  sekian, terima kasih



   

Label: ,

Ahad, 22 Mei 2016

Karangan laporan "Kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan"


Karangan Laporan

Soalan:

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu telah menganjurkan Minggu  kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan.

Sebagai setiausaha persatuan, kamu dikehendaki menulis sebuah laporan tentang kempen tersebut.

Tulis laporan tersebut selengkapnya.


Laporan Kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan

Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa telah menganjurkan kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan. Kempen ini berlangsung sepanjang minggu  terakhir bulan April 2016.  Objektif utama  kempen ini adalah untuk memupuk perasaan sayang dan bangga akan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan warga sekolah. 

     Kempen yang julung-julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh guru besar sekolah iaitu En. Hamzah Bin Hassan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau amat berharap agar seluruh warga sekolah menanamkan semangat cinta akan Bahasa Kebangsaan dan dapat menggunakannya dalam segala urusan dengan cara yang betul. Selain itu beliau juga berharap agar kempen ini mendapat kerjasama semua pihak dan mencapai matlamatnya.

    Selepas majlis perasmian tersebut, acara mendeklamasi sajak dan berbalas pantun yang bertemakan cinta akan Bahasa Kebangsaan diadakan. Beberapa orang murid tahap dua dan guru-guru Bahasa Melayu menjayakan acara ini dan mendapat tepukan yang gemuruh daripada guru-guru dan murid.

     Antara program yang dijalankan sepanjang kempen ini ialah pertandingan menulis esei dan cerpen dalam Bahasa Kebangsaan. Acara ini  terbuka kepada murid-murid tahap dua. Pertandingan ini memerlukan murid-murid menulis esei dan cerpen yang bertemakan cintakan Bahasa Kebangsaan. Setiap penyertaan memerlukan murid menghasilkan esei atau cerpen sepanjang 1,000 hingga 1,500 patah perkataan.

    Selain itu, pertandingan melukis poster juga diadakan. Pertandingan ini terbuka kepada murid-murid tahap satu. dalam pertandingan ini, murid-murid dikehendaki melukis poster yang menggambarkan kecintaan terhadap penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam segenap lapangan. Pertandingan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

    Acara penyempaian hadiah kepada para pemenang acara-acara yang dipertandingkan telah disempurnakan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa dalam majlis penutup. Ternyata kempen mencintai Bahasa Kebangsaan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan. Esei, cerpen dan poster yang dihasilkan oleh peserta pertandingan akan dijilid dan disimpan di pusat sumber sekolah.

       Sesungguhnya, kempen mencintai Bahasa Kebangsaan ini telah mencapai matlamatnya. Pihak Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa bercadang menjadikan Kempen Mencintai Bahasa Kebangsaan ini sebagai acara tahunan.

Laporan disediakan oleh,                                                                              10 MEI 2016

   Faisal Hakim
(MUHAMMAD FAISAL HAKIM BIN MOHD ADLAN)
Setiausaha ,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa.


Label: ,

Sabtu, 21 Mei 2016

Penulisan Bahagian B UPSR Format Baharu 2016











KARANGAN UPSR BAHAGIAN B FORMAT BAHARU 2016

Panduan umum

Soalan Bahasa Melayu Kertas 2 Penulisan terbahagi kepada 3 bahagian, iaitu A,B, dan C. Pada kali ini penulis ingin berkongsi sedikit sebanyak corak soalan dan cara menjawab bahagian B. Hal ini kerana, dalam tulisan yang terdahulu penulis telah membincangkan penulisan bahagian A (membina lima ayat lengkap), dan penulisan bahagian C (Karangan umum). 

     Sebenarnya, penulis dari awal lagi berniat menulis contoh-contoh karangan bahagian C sahaja iaitu karangan umum, dan itulah yang menjadi fokus blog ini. Walau bagaimanapun, penulis merasakan tiada masalah  jika sedikit sebanyak dan sekali sekala  penulis berkongsi bahagian-bahagian lain dalam  kertas penulisan Bahasa Melayu.

      Soalan bahagian B terdiri daripada satu soalan (tiada pilihan) yang wajib dijawab . Bahagian ini calon perlu menulis sebuah ulasan dalam bentuk perenggan yang terdiri daripada 50 hingga 80 patah perkataan berdasarkan bahan rangsangan yang diberi.  Bahan rangsangan pula boleh terdiri daripada bahan grafik dan bukan grafik

     Bahan grafik boleh terdiri daripada peta minda, graf, poster, iklan, carta dan sebagainya. Bahan bukan grafik pula boleh terdiri daripada petikan cerita, surat kiriman, laporan, berita, dialog dan sebagainya.

     Untuk menjawab bahagian ini calon perlu:
a. Memerhatikan atau membaca bahan rangsangan dengan teliti dari segenap aspek samada yang     
    tersurat atau tersirat.

b. Menulis rumusan dalam bentuk perenggan yang terdiri daripada 2, 3, atau  4 perenggan     
    berdasarkan isi yang diperoleh dari bahan rangsangan. Dalam hal ini, pada pendapat penulis ulasan     yang terdiri daraipada 3 atau 4 perenggan adalah sesuai.    
c. Calon perlu memberikan pendapat atau komentar dan membuat tafsiran kandungan bahan.

d. Secara umumnya,  calon  perlu menulis sebaris dua ayat sebagai pendahuluan pada perenggan yang     pertama. Pada perenggan yang kedua calon perlu menulis ulasan, dan perenggan yang ketiga    
    merupakan penutup ulasan.    

e. Calon perlu menyisipkan nilai murni/ amalan baik/ pengajaran /mesej yang diperoleh daripada bahan rangsangan pada bahagian penutup.

Contoh Soalan:

Rajah di bawah menunjukkan  punca-punca pencemaran alam.

Tulis ulasan tentang tentang punca pencemaran alam dalam bentuk perenggan










Pencemaran alam semakin mengancam kehidupan seharian kita. Banyak punca yang menyumbang kepada berlakunya pencemaran alam.

    Penebangan hutan secara berleluasa untuk pembalakan atau pertanian adalah salah satu punca berlakunya pencemaran alam. Selain  itu, pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pencemaran alam. Asap daripada pembakaran terbuka boleh menyebabkan berlakunya jerebu yang mengancam kesihatan kita. Selain itu,  asap daripada kenderaan bermotor juga menyebabkan udara tercemar. karbon monoksida yang dilepaskan oleh kenderaan bermotor amat berbahaya kepada kita.  Kilang-kilang perusahaan juga menjadi punca pencemaran alam. Sebagai contoh, kilang-kilang ini membuang sisa toksik ke dalam sungai atau longkang. Hal ini menyebabkan  berlakunya pencemaran air.
  
     Kesimpulannya, kita perlu bekerjasama mengatasi masalah pencemaran alam ini demi kesejahteraan hidup kita.










Label: ,

Khamis, 19 Mei 2016

Karangan UPSR " Dialog /perbualan persediaan menghadapi Peperiksaan UPSR"


Karangan Dialog/perbualan

Soalan :

Kamu berbual-bual dengan rakan kamu tentang persediaan yang telah  untuk menghadapi Peperiksaan UPSR pada tahun ini.

Tulis perbualan kamu itu  selengkapnya.

Pada suatu hari,  saya dan Faiz sedang menunggu kedatangan ibu bapa kami untuk pulang dari sekolah. Untuk menghilangkan kebosanan,  kami berdua sempat berbual-bual tentang persediaan yang telah dilakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini.

Muiz : Faiz, nampaknya Peperiksaan UPSR akan menjelang tidak lama lagi.

Faiz : Betul kata awak muiz, saya berasa risau sekarang. Banyak lagi topik-topik penting belum saya             kuasai. Bagaimana persediaan awak Muiz?

Muiz : Setakat ini saya banyak membuat latih tubi menjawab soalan-soalan tahun-tahun lepas. Selain
            itu, saya juga mengulangkaji pelajaran di rumah pada waktu petang dan malam. Saya    
             mempunyai  jadual pembelajaran sendiri di rumah.

Faiz: Rajin betul awak Muiz. Saya pula mengikuti kelas tuisyen pada hari minggu. Banyak teknik-
         teknik menjawab soalan saya peroleh daripada cikgu-cikgu yang berpengalaman. Pada waktu  
         petang pula, saya banyak melayari internet untuk mencari sumber-sumber pembelajaran.    
         Banyak juga laman web dan blog yang bermanfaat untuk calon-calon UPSR seperti kita.

Muiz: Wah,  hebat betul persediaan awak Faiz! Bolehlah kita berkongsi bahan-bahan dan nota  
           pembelajaran yang kita miliki.

Faiz: Bagus idea awak Muiz, Kalau begitu saya cadangkan kita wujudkan kumpulan perbincangan.  
         Bolehlah nanti kita berbincang tentang tajuk-tajuk yang sukar kita fahami. Di samping itu,  
         kita juga boleh bertukar-tukar nota.

Muiz: Cadangan awak sememangnya bernas Faiz. Bolehlah kita ajak Syahmi dan Hakimi bersama-
           sama. Pada pendapat  saya,  semakin ramai ahli kumpulan kita,  semakin baik.

Faiz : Eh, nampaknya  ayah saya telah datang! Apa kata kita bincang hal ini di sekolah besok.

Muiz: Baiklah, Faiz

Faiz : Saya pulang dahulu Muiz, Assalamualaikum.

Muiz  : Waalaikummussalam.


Label: ,

Sabtu, 14 Mei 2016

Karangan UPSR "Faedah-faedah apabila persekitaran sekolah dan bilik darjah ceria"


Soalan:

Kebersihan dan keceriaan persekitaran sekolah dan bilik darjah hendaklah selalu dijaga.

Bincangkan faedah-faedah apabila persekitaran sekolah dan bilik darjah bersih dan ceria.

    Persekitaran sekolah dan bilik darjah amatlah perlusentiasa  berada dalam keadaan bersih dan ceria. Hal ini sering diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah. Pelbagai cara telah dilakukan untuk memastikan persekitaran sekolah dan bilik darjah sentiasa bersih dan ceria seperti mewujudkan taman di kawasan sekolah dan menghias bangunan sekolah dengan mural yang menarik.

    Pelbagai faedah diperoleh sekiranya persekitaran sekolah dan bilik darjah berada dalam keadaan bersih dan ceria. Antaranya dapat menarik minat murid untuk berada di sekolah. Persekitaran sekolah dan bilik darjah yang bersih dan ceria membuatkan seseorang murid berasa tenang dan selesa . Hal ini akan mendorong murid-murid untuk selalu datang ke sekolah. Secara tidak langsung masalah ponteng sekolah dapat diatasi.

     Selain itu, sekolah dan bilik darjah yang bersih dan ceria juga mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif. Suasana sebegini akan memudahkan murid-murid menguasai ilmu pengetahuan yang dipelajari dan seterusnya mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan murid dalam peperiksaan adalah  kecemerlangan sekolah.

    Sekolah dan bilik darjah yang ceria juga akan menaikkan imej sekolah di mata masyarakat sekitar. Ibu bapa sudah tentu menyukai sekolah yang bersih dan ceria. Mereka pasti  berbangga sekiranya sekolah di kawasan tempat tinggal mereka memilikki persekitaran yang bersih dan  ceria. Hal ini akan mendorong mereka untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut.

   Di samping itu, persekitaran sekolah yang ceria juga akan mewujudkan suasana yang lebih selamat. Sekolah yang sentiasa bersih dan ceria akan menjauhkan serangga dan haiwan berbisa seperti kala jengking, lipan  dan ular yang boleh mengancam keselamatan warganya. Ibu bapa pasti berasa  yakin dengan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di sekolah.

   Kesimpulannya, persekitaran sekolah dan bilik darjah amat berfaedah kepada semua orang. Oleh itu setiap warga sekolah perlu memainkan peranan bersama agar sekolah kita sentiasa bersih dan ceria.

Label: ,

Karangan "Catatan sambutan hari guru di sekolah"

Karangan "Catatan sambutan hari guru di sekolah"

Soalan:

Baru-baru ini sekolah kamu telah mengadakan sambutan  Hari Guru peringkat sekolah.

Tulis catatan kamu sepanjang sambutan tersebut.


Isnin, 16 Mei 2016


8.00 pagi 

Semua guru dan murid berhimpun di Dewan Gemilang Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa. Pada pagi ini semua guru memakai baju batik bertemakan warna merah. 
Sebelum acara sambutan hari guru bermula, Cikgu Mazlan selaku pengerusi majlis pada hari itu sibuk mencuba pembesar suara.

8.15 pagi


Semua murid dan guru berdiri tegak. Kami sama-sama  menyanyikan Lagu Negaraku, Lagu Selamat Sultan dan Lagu Sekolahku Berjaya. Setelah selesai  menyanyikan lagu-lagu tersebut, semua murid dan guru dibenarkan duduk.     

     Kemudian, Cikgu Mazlan yang mempengerusikan majlis meminta semua guru berdiri di atas pentas untuk menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia dan diikuti  dengan bacaan ikrar. 

8.45 pagi


Ketua Murid tampil  ke depan  untuk  menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya Ketua Murid mengucapkan terima kasih atas jasa dan pengorbanan para guru.  Dia juga mendoakan kesejahteraan guru-guru.


9.00 pagi


Guru Besar dipersilakan menyampaikan ucapan dan membaca perutusan Menteri Pendidikan. Semua guru dan murid memberi tumpuan dan mendengar dengan teliti. Setelah itu Guru Besar merasmikan sambutan Hari Guru peringkat sekolah 2016.


9.30 pagi


Acara sukan yang melibatkan guru-guru dan murid-murid diadakan di padang sekolah. Guru lelaki bermain bola sepak dan lumba lari dalam guni manakala guru-guru perempuan pula bermain bola jaring serta berjalan dengan terompah gergasi. Kami sangat terhibur melihat telatah para guru.


11.00 pagi


Selepas rehat murid-murid dan guru-guru berkumpul semula di Dewan Gemilang. Acara seterusnya ialah persembahan murid-murid. Ramai murid yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara seperti nyanyian, deklamasi sajak, lakonan dan lawak jenaka. Suasana dewan agak gamat dengan gelak    

ketawa kami melihat aksi-aksi lucu rakan-rakan yang membuat persembahan.

12.00 tengah hari


Seterusnya diadakan pula acara pemberian hadiah oleh murid-murid kepada guru-guru. Inilah kemuncak acara sambutan hari guru pada tahun ini. Murid-murid berebut-rebut memberikan hadiah kepada guru-   

guru. Pelbagai barangan yang terbungkus rapi dijadikan hadiah oleh  murid-murid untuk para guru

1.00 tengah hari

Semua acara sambutan hari telah berakhir. Kami semua dibenarkan pulang setelah mengemas semula dewan dan peralatan yang telah digunakan. Hari ini saya berasa sangat seronok kerana berpeluang 
merayakan sambutan Hari Guru peringkat sekolah.



Label: ,

Karangan bahagian A "kegunaan lembu kepada manusia"


Penulisan Bahagian A

Soalan Latihan:


Gambar di bawah menunjukkan kegunaan-kegunaan lembu kepada manusia.

Tulis lima ayat yang lengkap tentang kegunaan lembu kepada manusia berdasarkan gambar.



1.   _________________________________________________________________________

2.   _________________________________________________________________________

3.  __________________________________________________________________________

4.  __________________________________________________________________________

5. ___________________________________________________________________________



Baca lagi »

Label: ,

Khamis, 12 Mei 2016




Soalan Latihan UPSR

Kamu mewakili sekolah kamu dalam satu pertandingan syarahan peringkat daerah sempena kempen membeli barangan buatan tempatan. Tajuk syarahan kamu ialah "Faedah-faedah Membeli Barangan Buatan Malaysia". 

Tulis syarahan kamu itu selengkapnya.

Contoh isi penulisan:

Format syarahan
1. Mulakan dengan mengucapkan terima kasih kepada pengerusi majlis dan memberi penghargaan kepada para hakim pertandingan serta tetamu lain mengikut tingkat kedudukannya.

2. Jelaskan tujuan dan tajuk syarahan.
3.Kata-kata penghadapan atau panggilan hormat perlu diselitkan di antara perenggan isi syarahan contohnya:
warga dewan yang dikasihi, hadirin yang dihormati, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati dan sebagainya sesuai dengan penonton dan warga dewan.

4. Penutup hendaklah dibuat dengan membuat rumusan terhadap isi-isi syarahan.
5. Perlu ditulis ucapan "sekian , terima kasih pada baris terakhir syarahan.

Untuk latihan kali ini,  isi-isi  daripada peta minda di bawah  boleh  dijadikan panduan.





Sekian, semoga memberikan faedah.


Label: ,

Karangan UPSR "Punca Berlakunya Kemalangan Jalan Raya"


Karangan fakta / perbincangan

Soalan:

Kemalangan jalan raya semakin meningkat setiap hari.

Bincangkan punca-punca berlakunya kemalangan di jalan raya.

Hampir setiap hari berita-berita mengenai kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan parah, kehilangan nyawa dan kerugian harta benda disiarkan melalui media massa. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemalangan adalah satu masalah serius yang sukar diatasi.

      Banyak faktor  yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Dalam hal ini, kecuaian manusialah yang menjadi penyebab utama. Ramai pemandu dan penunggang kenderaan yang gemar memandu secara cuai dan melulu. Mereka tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, ada pemandu yang gemar memotong kenderaan lain di selekoh yang mempunyai garisan berkembar. Perbuatan begini amat berbahaya kepada diri sendiri dan pemandu lain.

     Selain itu, keadaan kenderaan juga merupakan punca kepada berlakunya kemalangan. Ramai pemilik kenderaan tidak menyelenggara kenderaan mereka  dengan baik. Keadaan ini menyebabkan komponen -komponen kenderaan seperti brek dan tayar tidak dapat berfungsi dengan baik. Hal ini menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal dengan baik dan mudah terbabas ketika memandu.

     Kemalangan juga berpunca daripada keadaan jalan raya. Jalan raya  yang berselekoh , berbukit , dan berlubang-lubang amat berbahaya kepada pemandu. Seseorang pemandu yang kurang pengalaman dan tidak biasa melalui laluan sebegini sukar untuk mengawal kenderaan mereka dan amat berisiko mengalami  kemalangan.

       Di samping itu, kemalangan jalan raya juga berpunca daripada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang tidak memiliki lesen memandu.  Hal ini menyebabkan mereka tidak memahami undang-undang dan peraturan jalan raya dengan sepatutnya kerana tidak mendapat tunjuk ajar dan latihan yang diperlukan. Mereka akan terdorong memandu atau menunggang secara tidak berhemah.  Keadaan sebegini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

     Kesimpulannya, banyak faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya. Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak perlu menggemblengkan tenaga dan usaha secara lebih efektif lagi.

Label: ,

Isnin, 9 Mei 2016

Karangan /penulisan Bahagian A UPSR



Karangan UPSR Bahagian A


Panduan menulis:

1. Karangan bahagian A kertas 2 UPSR memerlukan calon menulis lima ayat lengkap 
   berdasarkan   bahan rangsangan yang diberi. Bahan rangsangan boleh terdiri daripada 
   sekeping  gambar, gambar  bersiri, gambar rajah, peta minda, dan carta serta graf.

2. Dalam bahagian ini calon diuji untuk mentafsir  dan memindahkan  maklumat 
    yang  terdapat dalam     bahan rangsangan  yang diberi.

3. Ayat yang dibina oleh calon akan dianggap lengkap dan diberikan markah 
    sekiranya calon menulis  ayat yang berkaitan maklumat dalam bahan.

4.  Aspek tatabahasa seperti  Penggunaan  kosa kata, istilah, dan struktur ayat 
     yang tepat perlu diambil perhatian oleh calon.

5. Untuk mendapat markah yang baik ayat yang dibina oleh calon perlu 
     mempunyai subjek (frasa nama) dan predikat (penerangan mengenai subjek)
     serta mempunyai keterangan yang luas.

6. Setiap ayat mestilah diletakkan nombor contoh : 1 ,2,3, 4,5. atau  i ,ii, iii, iv, v. 
     atau  a,b,c,d,e.


Contoh soalan:

Gambar di bawah menunjukkan kegunaan pokok pisang kepada manusia.


Tulis lima ayat yang lengkap tentang kegunaan pokok kelapa berdasarkan gambar.



1. Pokok pisang ialah sejenis tanaman yang memberikan  pelbagai faedah kepada kita.

2. Buah pisang boleh digoreng atau dibuat bubur yang sangat enak rasanya.

3. Daun pisang boleh digunakan untuk membungkus makanan seperti nasi lemak dan kuih- muih.

4. Kita boleh menggunakan batang pisang untuk membuat rakit dan dijadikan makanan haiwan     
    ternakan seperti lembu.

5. Jantung pisang pula boleh dijadikan sayur atau kerabu yang sangat berkhasiat kepada manusia.


Sekian , semoga bermanfaat.




Label: ,

Jumaat, 6 Mei 2016

"Karangan Ucapan Hari Guru"


Ucapan:

Soalan:

Sebagai ketua murid kamu diminta menyampaikan ucapan sempena sambutan hari guru di sekolah kamu.
Tulis ucapan kamu itu selengkapnya.


Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar , guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan semua memberikan saya ruang dan peluang untuk berucap sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah kita.

Hadirin yang dimuliakan,

    Tanggal 16 Mei setiap tahun para guru di seluruh negara merayakan satu sambutan khas. Sambutan ini bertujuan menghargai dan memartabatkan jasa para guru. Hal ini demikian kerana guru adalah insan-insan yang telah diamanahkan menaburkan jasa dan bakti mereka untuk mendidik kita. Tanpa guru, siapalah kita pada hari ini.

    Jasa dan bakti para guru tidak terbalas oleh  kita. Mereka sanggup berkorban masa , tenaga dan kadangkala wang ringgit untuk mencurahkan ilmu kepada kita. Setiap pengorbanan yang mereka lakukan tidak mengharapkan  sebarang balasan. Para guru  akan berasa gembira apabila melihat kita mencapai kejayaan. Kejayaan yang kita peroleh adalah kebahagiaan kepada mereka.

Rakan-rakan yang dikasihi,

    Sebagai murid kita sepatutnya menanamkan rasa hormat kepada semua guru. Sikap merendah diri dan bercakap secara sopan- santun setiap kali berhadapan dengan guru-guru perlu sentiasa diamalkan. Amalan  sebegini amatlah digalakkan dalam agama dan budaya kita. Murid yang mengamalkan sikap sebegini juga akan mendapat keberkatan dan kejayaan dalam hidupnya.

    Selain itu, kita juga perlulah sentiasa menumpukan perhatian setiap kali guru mengajar dan memberi nasihat. Setiap patah perkataan yang diluahkan oleh guru-guru kita sudah tentu bertujuan untuk memberi ilmu dan panduan yang berguna kepada kita. Percayalah rakan-rakan, murid yang sentiasa menumpukan perhatian ketika guru mengajar akan mencapai kejayaan dalam pelajarannya.

     Pada hari yang mulia ini saya perhatikan ramai antara kita yang membawa pelbagai hadiah untuk diberikan kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka. Hal ini sangat baik kita amalkan walaupun kita sedia mengetahui bahawa para guru tidak mengharapkan sebarang hadiah daripada kita. Tetapi sebagai murid kita juga ingin menghargai jasa dan sumbangan para guru kita.

    Sebagai mengakhiri ucapan  pada pagi ini,  terimalah serangkap pantun daripada saya:

    Panglima Megat orangnya perkasa,
    Menentang musuh dari seberang;
    Guru kita banyak berjasa,
    Mendidik kita dengan kasih sayang.

Sekian, terima kasih.

Label: ,

Rabu, 4 Mei 2016

Karangan peribahasa "seikat bagai sirih serumpun bagai serai"


Soalan: 

Tulis sebuah karangan untuk menjelaskan maksud peribahasa "Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai".

Suasana Kampung Panchor tiba-tiba kecoh.  Kejadian pecah rumah semakin kerap berlaku akhir-akhir ini. Ramai penduduk kampung menjadi mangsa dan mengalami kehilangan barang-barang berharga. Hal ini sangat merisaukan semua penduduk.

     Ketua kampung memanggil semua penduduk berkumpul di balai raya. Satu mesyuarat tergempar untuk mengatasi masalah tersebut perlu diadakan. Ketua kampung perlu berbincang dan meminta pandangan anak buahnya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

    Ketika mesyuarat berlangsung, pelbagai pendapat diajukan oleh penduduk kampung. Beberapa orang penduduk kampung  mencadangkan agar ditubuhkan pasukan rondaan sukarela. Pasukan ini akan meronda di sekeliling kampung. manakala satu kumpulan lain pula mencadangkan agar setiap rumah mesti memasang penggera dan kamera litar tertutup.

    Setiap kelompok bertegas mempertahankan cadangan masing-masing. Mereka merasakan pendapat mereka yang paling sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Berlaku perang mulut yang hampir mencetuskan pergaduhan. Ketua kampung terpaksa bertegas untuk menenangkan keadaan.

     Untuk memuaskan hati semua pihak, ketua kampung mencadangkan diadakan undian untuk menentukan pendapat mana yang mendapat sokongan ramai. Apabila undian dilakukan, cadangan menubuhkan pasukan rondaan sukarela mendapat sokongan majoriti. Keputusan ini diterima sebulat suara dan semua penduduk kampung berpuas hati.

    Apabila pasukan rondaan sukarela ditubuhkan, penduduk kampung keluar bertugas mengikut jadual yang ditetapkan. Mereka bekerjasama menyediakan makanan dan minuman kepada para petugas. Kampung mereka kini aman damai kerana kesepakatan yang terbina. Segala masalah dan kesulitan mereka hadapi dan selesaikan bersama-sama. Keadaan hidup mereka seumpama peribahasa "seikat bagai sirih serumpun bagai serai".



seikat sirih
imej:  www.kompasiana.com

serumpun serai
imej:  cida.mempaneh.blogspot.com






Label: ,

Selasa, 3 Mei 2016

"Peribahasa dan maknanya"



Peribahasa dan maknanya peringkat UPSR:

     Peribahasa                                                                               
1. Alah membeli menang memakai

    Erti: Barang yang baik memang mahal harganya, tetapi tahan lama

   Ayat: Ibu sanggup membeli barang yang mahal harganya itu kerana ia     
             bermutu tinggi dan tahan lama
                                       

2. Alang-alang berdakwat biar hitam

   Erti: Sekiranya mengerjakan sesuatu perkara hendaklah dibuat sehingga     
           Selesai.

  Ayat: “ Kamu harus menyelesaikan projek reka cipta ini sehingga selesai      
              walaupun sukar dan memerlukan perbelanjaan yang agak banyak” ,     
              kata En. Rosli kepada kakitangannya.

3. Ayam tambatan

   Erti: Orang yang dianggap hebat dan kepandaiannya diperlukan untuk   
          memenangi sesuatu perlawanan / orang harapan untuk mencapai  

          kemenangan.

   Ayat: Pemain yang berbadan tinggi itu sentiasa diawasi oleh pasukan lawan kerana dialah             ayam tambatan pasukannya.

4. Bagai aur dengan tebing

   Erti: Hidup saling menolong dan perlu memerlukan antara satu sama lain.

  Ayat: Penduduk taman perumahan itu hidup tolong-menolong antara satu sama lain       
           walaupun mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan agama

5. Bagai bulan jatuh ke riba

   Erti:  Mendapat keuntungan dan rezeki yang banyak secara tidak disangka-sangka.

  Ayat:  Para pencari rotan itu bolehlah  diibaratkan "bagai bulan jatuh ke riba" apabila 
           mereka menemui rotan-rotan yang bermutu tinggi dan mahal harganya di kawasan 
           hutan itu.

6. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

   Erti: Anak mengikut baka bapanya, sesuatu itu mengikut bentuk asalnya.

  Ayat: Perilaku dan perangai budak lelaki itu saling tak tumpah seperti ayahnya,    
          sebagaimana acuan, begitulah kuihnya.

7. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

    Erti:  Sifat tolong-menolong antara satu sama lain sama ada ketika susah atau senang,                   sama-sama merasai kesusahan dan kesenangan.

  Ayat : Keadaan penduduk kampung itu sentiasa harmoni kerana mereka sentiasa       
           berkerjasama antara satu sama lain sama ada ketika senang atau susah.

8. Berpantang maut sebelum ajal

   Erti : Tidak akan mati seseorang itu sebelum tiba waktu yang telah ditentukan Allah.

   Ayat : Perwira-perwira negara di perbatasan sangat berani menentang musuh kerana    
            mereka percaya bahawa kematian seseorang itu telah ditentukan masa dan    
            caranya.

9. Besar hati

    Erti:  Berasa bangga, berasa megah kerana mendapat sesuatu kejayaan dan keuntungan.

    Ayat: Abang berasa besar hati kerana dia berjaya mendapat maarkah yang paling tinggi               dalam kalangan rakan-rakannya.

10. Bersatu teguh, bercerai roboh

     Erti: Hidup bersatu padu akan mengukuhkan negara, negeri atau rumah tangga/    
             perpaduan akan mengukuhkan negara.
    Ayat: Penduduk Malaysia sentiasa saling bersatu dan berkerjasama antara satu sama                 lain  untuk memastikan negara sentiasa aman dan terus maju.


Bersambung...


Label:

Isnin, 2 Mei 2016

Karangan UPSR "Surat Kepada Sahabat"

Soalan:

Kamu menerima sepucuk surat daripada sahabat pena kamu  yang bertanyakan  tentang permainan-permainan tradisional yang popular di Malaysia.

Balas surat sahabat kamu itu selengkapnya.



                                                                                                                         No 19, Jalan Bendahara 2,
                                                                                                              Taman Bendahara, 
                                                                                                                       16100 Pengkalan Chepa,
                                                                                                                          Kelantan.

                                                                                                                         28 April 2016

Menemui sahabatku Abdul Rahman yang berada di Palembang, Indonesia. Doa saya semoga saudara dan keluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu. Surat saudara yang bertarikh 4 April 2016 telah saya terima pada awal minggu yang lalu. Terima kasih saya ucapkan atas ingatan saudara terhadap saya.

Saudara,

    Dalam surat tersebut saudara ada bertanyakan tentang permainan tradisional masyarakat di Malaysia. Sebenarnya, terdapat banyak pemainan tradisional yang popular di Malaysia. Antaranya ialah wau, gasing, dan congkak. Di sini saya akan menceritakan serba sedikit kepada saudara tentang permainan wau dan gasing.

    Permainan wau semangnya amat popular dalam kalangan masyarakat kampung terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu. Pemainan ini selalunya dimainkan pada waktu petang dan ketika keadaan berangin kuat. Antara wau yang terkenal ialah wau bulan, wau daun, wau kucing dan wau burung.

      Permainan wau memerlukan kawasan tanah lapang yang agak luas seperti sawah padi, padang bola, atau tepi pantai.  Dalam permainan ini, dua orang pemain diperlukan iaitu seorang bertindak untuk memegang wau manakala seorang lagi sebagai juru ajung iaitu akan menerbangkan wau ke udara. Wau akan diterbangkan dari arah bertentangan dengan tiupan angin. Permainan ini amat popular dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa lelaki. Kadangkala diadakan juga pertandingan wau antara penduduk kampung.

     Selain wau, permainan gasing juga amat terkenal. Menurut catatan sejarah, permainan ini telah terkenal semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Banyak jenis gasing yang terkenal di Malaysia antaranya ialah gasing jantung, gasing uri dan gasing berembang.  Kerja-kerja membuat gasing ini memerlukan kepakaran khas. Biasanya gasing tradisional diperbuat daripada kayu seperti kayu merbau, leban, jambu batu , dan kayu asam jawa. Pada masa kini, terdapat juga gasing yang dibuat daripada plastik. Gasing sebegini popular dalam kalangan kanak-kanak.

      Untuk bermain gasing kita memerlukan gasing dan juga seutas tali yang kukuh. Tali terlebih dahulu dililit pada jambul gasing. Kemudian gasing tersebut  dilemparkan ke tanah sambil menarik tali tersebut ke arah kita.

   Terdapat dua jenis permainan gasing yang popular iaitu gasing pangkah dan gasing uri. Gasing pangkah memerlukan kita memangkah gasing lawan yang sedang berpusing. Manakala permainan gasing uri pula menguji selama mana sesebuah gasing itu dapat berpusing.

Saudara,

      Bersama surat ini saya ada sertakan beberapa keping gambar tentang permainan wau dan gasing. Saya berharap agar saudara mendapat sedikit sebanyak gambaran akan permainan tradisional yang ada di Malaysia. Pada pendapat saya, di tempat saudarapun ada permainan tradisional yang tersendiri. Jika saudara sudi, bolehlah saudara menceritakannnya kepada saya.

         Sekian dahulu warkah saya pada kali ini. Sampai kita ketemu lagi dalam warkah yang lain pula. Sampaikan salam saya kepada kedua-dua orang tua saudara.

                                                                                                           
                                                                                                   Sahabatmu yang jauh
                                               azlan

                                                             


                                                                   







































Label: ,

Rabu, 27 April 2016

Karangan cerita "Persediaan untuk Menyertai Pertandingan Bercerita"



Soalan:
Kamu menyertai satu pertandingan bercerita anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu.

Ceritakan persediaan yang kamu lakukan untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pada minggu lepas, Persatuan Bahasa Melayu sekolah saya telah menganjurkan satu pertandingan bercerita. Saya turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut untuk mengasah kebolehan saya bercerita di hadapan orang ramai. Sebelum menyertai pertandingan ini pelbagai persediaan saya lakukan.

    Dua minggu sebelum pertandingan tersebut berlangsung,  saya telah membeli sebuah buku cerita yang menarik sesuai dengan tema pertandingan tersebut. Setelah itu, saya membaca buku cerita tersebut beberapa kali sehingga saya benar-benar faham  jalan ceritanya.

    Setelah memahami cerita daripada buku tersebut, saya mula menghafal untuk mengingati ceritanya. Untuk menguatkan lagi ingatan saya, saya menulis semula cerita tersebut dalam buku catatan. Buku tersebut saya bawa ke mana-mana sahaja, dan membacanya jika ada waktu terluang.

     Seminggu sebelum pertandingan tersebut berlangsung, saya mula berlatih menyampaikan cerita tersebut. Mula-mula saya berlatih secara bersendirian di hadapan cermin di dalam bilik. Kemudian saya meminta kakak saya menjadi pembimbing. Kakak menggunakan segala pengetahuannya untuk membetulkan gaya dan intonasi suara saya ketika bercerita. Kakak memang mahir dalam teknik bercerita kerana dia pernah menjadi johan pertandingan bercerita peringkat sekolah menengah.

    Selain itu, saya meminta  ibu menjahit satu set lengkap pakaian yang akan saya pakai semasa pertandingan tersebut. Warna dan fesyen pakaian itu sesuai dengan tema cerita yang akan saya sampaikan. Hal ini perlu saya ambil berat kerana kesesuaian dan kekemasan pakaian peserta diberi penilaian khas oleh juri pertandingan.

   Pada malam sebelum pertandingan tersebut, saya tidur lebih awal daripada biasa. Saya bimbang jika terlewat bangun pada keesokan harinya. Sebelum tidur saya berdoa kepada Nya agar saya dapat bangun awal dan tidak gugup ketika menyampaikan cerita itu nanti.

     Pada hari pertandingan tersebut,  saya tiba lebih awal di sekolah berbanding hari-hari  lain. Apabila pertandingan berlangsung, saya dapat menyampaikan cerita dengan gaya yang tersendiri dan penuh keyakinan. Saya mendapat tepukan yang gemuruh daripada para penonton. Pada akhir pertandingan, saya telah dinobatkan sebagai johan.  Saya sangat gembira kerana usaha yang saya lakukan membuahkan hasil.

Label: ,

Isnin, 25 April 2016

Karangan UPSR "Faedah Hidup Bersatu Padu"



Soalan:

Rakyat negara kita, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup bersatu padu.
Tulis sebuah karangan tentang faedah hidup bersatu padu dalam kalangan pelbagai kaum.

Malaysia ialah  negara yang unik kerana warganya terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku kaum yang dapat hidup dengan harmoni. Walaupun setiap bangsa dan suku kaum ini mengamalkan agama, adat-resam dan cara hidup yang berbeza,  namun mereka dapat hidup dengan semangat perpaduan yang tinggi.

    Banyak faedah yang diperoleh apabila rakyat Malaysia hidup dalam keadaan bersatu-padu. Antaranya ialah kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Kesannya kita dapat belajar dengan tenang dan selesa di sekolah tanpa rasa bimbang akan keselamatan diri. Hal sebegini tidak dapat dinikmati oleh anak-anak di sesetengah negara. Ramai antara mereka tidak dapat ke sekolah kerana bimbang akan keselamatan diri.

      Seterusnya, melalui perpaduan yang jitu, rakyat Malaysia dapat bekerja dan mencari rezeki dengan baik dan selesa. Hal ini demikian kerana perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dapat membantu pihak kerajaan dan swasta mewujudkan pelbagai kemudahan dan peluang pekerjaan untuk rakyat. Kita juga tidak berasa takut untuk keluar bekerja di mana-mana sahaja.

     Selain itu, perpaduan yang teguh dalam kalangan rakyat juga telah mewujudkan kestabilan dari segi politik dan ekonomi. Hal ini sudah pasti menarik minat para pelabur asing melabur dalam pelbagai sektor di negara kita. para pelabur tidak perlu risau akan mengalami kerugian dalam pelaburan kerana perpaduan yang wujud menjamin keamanan. Pelaburan ini akan membantu meningkatkan ekonomi negara kita.

      Akhir sekali,  perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum juga telah menarik minat pelancong asing untuk melancong di negara kita. Para pelancong tidak risau akan keselamatan diri mereka sepanjang berada di negara kita. Mereka juga dapat menikmati pelbagai budaya yang ada di negara kita. Kedatangan pelancong asing ini memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara kita seperti dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan bidang kraftangan.

    Kesimpulannya, perpaduan kaum yang wujud di negara kita telah banyak memajukan negara kita dalam pelbagaai bidang. Oleh yang demikian, semua warga perlu memelihara dan mengekalkan semangat hidup bersatu-padu ini.


Label: ,

Ahad, 24 April 2016

Peribahasa Melayu UPSR


Assalamualaikum

Dalam penulisan kali ini, saya akan memaparkan peribahasa yang perlu diberi perhatian dalam peperiksaan UPSR.  Peribahasa-peribahasa  ini saya  kutip daripada buku teks Bahasa Melayu tahun 4,5,6. Sepanjang pengetahuan saya, pembina soalan-soalan Bahasa Melayu UPSR akan merujuk buku teks semasa menggubal soalan. Oleh yang demikian apa-apa  sahaja yang terdapat dalam buku teks adalah penting untuk diberikan perhatian.

Antara peribahasa tersebut ialah:

1. Alah membeli menang memakai

2. Alang-alang berdakwat biar hitam

3. Ayam tambatan

4. Bagai aur dengan tebing

5. Bagai bulan jatuh ke riba

6. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya

7. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

7. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

9. Berpantang maut sebelum ajal

10. Besar hati

11. Bersatu teguh, bercerai roboh

12. Biar putih tulang, jangan putih mata

13. Gunung sama didaki, lurah sama dituruni

14. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat

15. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan

16. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

17. Bulat hati

18. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama

19. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri

Baca lagi »

Label:

Sabtu, 23 April 2016

Format surat kiriman rasmi




Semoga bermanfaat

Terima kasih.

Label:

Jumaat, 22 April 2016

Sepanjang Sejarah "Pertempuran Bersejarah Umat Islam Zaman Pertengahan : Perang Hittin"



Pertempuran Hittin 1187M (583H)

Pendahuluan

Perang Hittin merupakan salah satu siri  peperangan besar  yang dilalui oleh Umat Islam sepanjang sejarah Peperangan Salib. Peperangan ini melibatkan jumlah tentera kedua-dua pihak yang agak besar kerana peperangan ini adalah pembuka jalan kepada jatuhnya semula Baitulmaqdis ke tangan Umat Islam setelah dikuasai oleh Tentera Salib hampir satu abad.


Punca Pertempuran


     Pada tahun 1187M (kira-kira akhir 582 H) satu rombongan dagangan  kaum muslimin yang melalui Karak iaitu satu kawasan yang dikuasa Reynald Of chatillion,  telah diserang oleh pasukan Tentera Frank atas arahan Reynald sendiri. Anggota rombongan telah ditangkap dan barang-barang dagangan mereka dirampas. Sultan Salahuddin Al- Ayubi sangat marah apabila mengetaahui hal ini kerana kedua-dua pihak telah menandatangani perjaanjian damai. Perbuaatan Reynald ini dianggap oleh Sultan Salahuddin sebagai satu pelanggaran perjanjian yang tidak boleh dimaafkan.


     Ketegangan semakin memuncak apabila tuntutan Sultan Salahuddin agar orang-orang yang ditawan serta barang rampasan dibebaskan serta dikembalikan ditolak oleh Reynald. Reynald sempat menghina umat Islam apabila Raja Guy Of Lusignan meminta agar Reynald memenuhi tuntutan Sultan Salahudin. Ahli sejarah mencatakan bahawa Reynald berkata " Mereka beriman kepada

Muhammad bahawa beliau akan membebaskan mereka. Maka silakan beliau membebaskan mereka.
Imej  wikipedia
Guy Of Lusignan (Raja Jurusalem)
imej wikipedia


Sultan Salahuddin mengutus surat kepada para amirnya agar mengumpulkan bala tentera untuk melakukan jihad atas pelanggaran perjanjian damai tersebut. Pada bulan April 1187M, Sultan Salahuddin berangkat bersama angkatan tenteranya menuju Ra'sal-ma'. Pasukan-pasukan yang dipimpin oleh para amirnya  turut menyusul ke tempat tersebut.


    Sultan Salahudin telah melantik putera sulungnya , Al-Afdal sebagai pemimpin pasukan di Ra'sal-ma' sementara itu beliau sendiri berangkat ke Busra dengan sejumlah pasukan. Tujuan Sultan Salahudin ke Busra adalah untuk menjaga keselamatan rombongan haji yang akan melalui kawasan tersebut. Rombongan tersebut terselamat daripada diserang Reynald kerana kehadiran pasukan Sultan Salahudin.


    Apabila sejumlah pasukan yang baru tiba dari Mesir tiba dan bergabung dengan pasukannya, Sultan Salahudin bertindak menyerang  Karak dan menalukinya. Reynald tidak berani keluar dari Benteng karak untuk berhadapan dengan pasukan Sultan Salahudin kerana bilangan tentera sultan Salahudin lebih besar. Pasukan Frank yang lain tidak dapat datang membantu kerana terhalang oleh pasukan pimpinan Al-Afdal.


Strategi Sultan Salahudin


    Dengan perintah Sultan Salahudin, Al-Afdal menghantar Muzaffarudin Kukburi (Amir Harran dan Edessa), Qaymaz al-Najmi, dan Dildirim al-Yaruqi bersama sejumlah tentera untuk mengganggu dan menyerang Acre. Acre merupakan sebuah kota pelabuhan yang besar di bawah penguasaan Tentera Frank.

   Untuk menuju ke Acre, pasukan ini terlebih dahulu perlu melalui Tiberias yang dikuasai oleh Raymond Of Tripoli. Sultan Salahudin terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Raymond untuk melalui Tiberias. Raymond membenarkan pasukan ini melalui Tiberias dengan syarat Pasukan ini masuk dan keluar dari wilayah kekuasaan Tentera Frank dalam masa satu hari. Kebenaran ini diberikan oleh Raymond kerana menduga pasukan ini adalah pasukan rondaan biasa.

     Rombongan ini bergerak ke Acre pada waktu malam dan sampai di Saffuriya pada pagi esoknya. Apabila hal ini diketahui oleh Tentera Frank yang sedang menuju ke Tiberias, mereka segera mengubah haluan ke Saffuriya untuk menghadapi pasukan pimpinan Muzaffarudin Kukburi. Kedua-dua pasukan ini akhirnya bertempur di kawasan Spring Of Cresson iaitu di satu kawasan berdekatan Acre. Pasukan Muzaffarudin memenangi pertempuran ini. Tokoh Hospitaler, Roger des Moulins, telah terbunuh dalam pertempuran ini. Kemenangan ini, menyebabkan Kukuburi dan pasukannya mendapat ramai tawanan.  Menurut sesetengah ahli sejarah, tindakan ini dilakukan oleh Sultan Salahudin untuk menimbulkan kemarahan tentera Frank dan seterusnya mengheret mereka bertempur secara terbuka.



   Kukuburi mematuhi syarat Raymond Of Tripoli, iaitu mesti keluar dalam satu hari dari wilayah kekusaan Frank. Mereka keluar dari kawasan tersebut dan melalui Tiberias sebelum malam menjelma. setelah Sultan Salahudin mendapat berita kemenangan pasukan pimpinan Muzaffarudin Kukuburi, beliaupun  meninggalkan kepungan ke atas Karak dan bergabung semula dengan pasukan pimpinan Al-Afdal. Penyatuan semula ke dua-dua pasukan ini dilakukan di sebuah tempat bernama Ashtara pada 27 Mei 1187M (17 Rabiulawal 583H). Mereka berehat sekejap di kawasan ini sambil menunggu ketibaan pasukan-pasukan lain yang sedang bergerak untuk bergabung.


   Tidak berapa lama kemudian, pasukan-pasukan dari Hamah, yang bergabung bersama pasukan dari Mosul dan Mardin tiba di Ashtara pada bulan Jun 1187M 9 Rabiulakhir 583H). Dengan gabungan semua pasukan ini, tentera Sultan Salahudin kini berjumlah 12,000 orang tentera berkuda dan beberapa ribu tentera mujahidin yang bersemangat jihad. Sultan Salahudin kemudiannya membahagikan pasukannya kepada 3 ketumbukan utama. Salahudin dan anaknya Al-Afdal memimpin ketumbukan tengah,  Sayap kanan dipimpin oleh Taqiudin, manakala sayap kiri pula di b awah pimpinan Muzaffarudin kukburi. setelah itu, pasukan Sultan Salahudin ini bergerak ke arah Tiberias dan berkhemah di Uqhuwana.


Reaksi Tentera Frank



Gambar:tentera Turcopole
Sumber  http://archive.kaskus.co.id/
   Raja Guy Of Lusignan (Raja Jurusalem) dan Raymond Of Tripoli terpaksa melupakan perselisihan antara mereka untuk menghadapi pasukan Sultan Salahudin. Raymond berangkat ke Jurusalem dan disambut oleh Raja Guy Of Lusignan. dengan perintah Raja Guy, pasukan Frank berkumpul di Kota Acre. Setelah itu, pasukan ini bergerak ke Saffuriya lalu berkhemah di sana. Pasukan in i berjumlah 13,000 lebih yang terdiri daripada Pahlawan Knigt (sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1118 iaitu 20 tahun selepas tentera salib merampas Jerusalem) 2,000 Turcopole  (kavaleri ringan) dan 10,000 pasukan infantri biasa. Pasukan ini juga disertai oleh semua pembesar Frank .
     
Gambar: Seorang Pahlawan Knigt
(Sumber: wikipedia)




















Baca lagi »

Label: ,